Kesedihan Saiyidina Wahsyi RA

Kongsikan kepada yang lain
Share
Makam Wahsyi bin Harb

Ada sejarah hitam dalam hidupmu, lebih hitam dari warna kulitmu hingga baginda Rasul enggan melihat wajahmu tetapi semua itu telah kau tebus dengan menghapuskan pengkhianat agama.

Siapakah orang yang melukakan hati Rasulullah saw ketika bapa saudara baginda, Saiyidina Hamzah terbunuh syahid di medan Uhud?!
Tetapi selepas itu, dia juga yang menyembuhkan luka hati orang-orang Islam ketika berjaya membunuh Musailimatul Kazzab.

Dia adalah Wahsi bin Harb, berbangsa Habsyah. Diberi gelaran Abu Dasmah.Ia adalah satu kisah yang menyedihkan, ganas, penuh
darah dan air mata.Dengarlah kisah tragis dari mulutnya sendiri, kata Wahsyi: Dahulu aku adalah hamba kepada Jubair bin Mat’am,
seorang ketua kaum Quraisy.Bapa saudara Jubair bernama Tu’aimah telah terbunuh di dalam peperangan Badar di tangan Saiyidina Hamzah
bin Abdul Muttalib. Jubair sangat sedih dan bersumpah dengan nama Latta dan Uzza, dia akan membalas dendam dan membunuh Hamzah yang
membuatkan dia sentiasa menanti peluang untuk membunuhnya.

Tidak beberapa lama selepas itu, kaum Quraisy telah mengadakan persetujuan untuk keluar berperang melawan Nabi Muhammad dan membela kematian kaum keluarga mereka di Badar. Mereka mula mengumpul kekuatan, menyusun tentera dan mempersiapkan bekalan. Lalu menyerahkan kepimpinan tentera kepada Abu Sufian bin Harb.

Abu Sufian merancang strategi dengan menempatkan wanita-wanita yang kematian bapa-bapa mereka, anak-anak mereka, atau saudara mara mereka (di dalam peperangan Badar) di belakang pasukan tentera.Tugas mereka adalah memberi semangat kepada tentera agarterus berperang dan menghalang mereka lari ke belakang dengan diketuai oleh isterinya  sendiri, Hind binti Utbah yang ayahnya, bapa saudaranya serta adiknya semuanya terbunuh di dalam peperangan badar.

Ketika pasukan tentera hampir bergerak, Jubair menoleh ke arahku lalu berkata: “Engkau mahukah wahai Abu Dasmah, engkau bebaskan kan dirimu dari perhambaan? Bagaimana caranya? Kalau kau berjaya membunuh Hamzah bin Abdul Muttalib sebagai membela kematian bapa saudaraku Tu’aimah, engkau bebas…merdeka. Siapa yang akan menjaminmu menunaikan janji? Siapa sahaja. Panggillah seramai orang untuk menjadi saksi. Baiklah, akan aku lakukan.

Aku orang Habsyi. Biasanya Orang Habsyi pakar melontar lembing. Jika aku melontar lembing, pasti tidak akan tersasar. Lalu aku ambil lembingku dan berjalan bersama tentera tetapi di hujung sebelah belakang, berdekatan dengan kumpulan wanita kerana aku bukan ingin berperang.

Setiap kali aku berjalan berdekatan dengan Hind, melihat kepada mata lembingku yang berkilat-kilat di bawah panahan matahari, dia akan berkata: Abu Dasmah….. ubati hati kami, (bunuhlah musuh kami hingga puas hati kami)

Apabila kami sampai ke medan Uhud dan kedua pasukan mula bertempur, aku mula mencari-cari Hamzah yang memang aku kenali sebelum itu. Saiyidina Hamzah tidak pernah menyembunyikan diri dari sesiapa kerana dia meletakkan bulu burung unta di serbannya agar dikenali oleh orang yang layak bertarung dengannya, seperti yang biasa dibuat oleh panglima-panglima Arab yang gagah berani.

Tidak lama lepas itu aku melihat Hamzah mengharung pertempuran seperti seekor unta kelabu (unta yang sangat kuat), tiada siapa yang mampu bertahan di depannya. Ketika aku sedang menyorok-nyorok diantara pokok-pokok dan batu, menunggu Hamzah dekat denganku tiba-tiba muncul seorang panglima Quraisy bernama Siba’ bin Abd Uzza: Mari bertarung denganku Hamzah…. mari… Hamzah menjawab: Mari ke sini anak lelaki perempuan musyrik!! Belum sempat Quraisy ini bertindak, Saidina Hamzah telah memancungnya dengan pedangnya, lalu jatuh tersungkur berlumuran darah.ketika itu aku berdiri di jarak yang sesuai, lalu aku mengoyang-goyangkan tombakku sehingga aku yakin ia mengenai sasaran,terus lontar ke arahnya.tombak itu kena tepat di bawah perutnya, keluar menembusi celah kakinya. Dia sempat melangkah dua langkahke arahku lalu rebah sedangkan tombak masih tertusuk di badannya. Aku biarkannya seketika sehingga aku yakin dia sudah mati lalu aku datang kepadanya, mencabut lembingku. kemudian aku terus ke khemah dan duduk di sana kerana aku datang bukan untuk berperangtetapi semata-mata untuk bebas dari penghambaan.

Perang semakin bertambah dahsyat tetapi kelihatan kematian lebih ramai di pihak tentera Muhammad. ketika itu aku melihat Hind binti’Utbah dan beberapa wanita Quraisy merobek-robek perut mayat tentera Islam, memotong hidung-hidung dan telinga-telinga mereka.Mereka menjadikan hidung-hidung dan telinga yang dipotong sebagai kalung dan subang. Malah Hind membuka dua anting-anting emasnya dan menghadiahkan kepadaku kerana tersangat gembira.

Selepas perang, aku dan tentera kembali ke Mekah dan Jubair menunaikan janjinya lalu membebaskan aku, tetapi apa yang terjadi, kekuatan Muhammad dan orang-orangnya bertambah dari hari-ke hari, setiap jam dan saat membuatkan aku bertambah cemas, takut dan gementar. Apakah nasibku nanti jika kaum muslim bertambah kuat? Beginilah keadaanku sehingga Muhammad dan tenteranya masuk ke Mekah di hari Fathu Makkah, aku terus melarikan diri ke Thoif demi keselamatanku. Tetapi tidak beberapa lama setelah itu, penduduk Thoif pula masuk Islam. Ketika itu dunia seolah-olah gelap bagiku. Ke mana akuhendak melarikan diri? Ke Syam atau Yaman atau negara-negara lain….Ketika aku dalam kebingungan itu datang seorang menasihatiku:

“Celaka engkau wahai Wahsyi, sesungguhnya Muhammad -demi Allah- tidak akan membunuh sesiapa yang masuk agamanya. Masuklah Islam.

Apabila aku mendengar sahaja kata-katanya, aku terus bergerak menuju yathrib untuk bertemu Muhammad.
Apabila sampai ke Yathrib, aku mencari maklumat di mana dia berada, hinggalah aku ketahui dia berada di masjid. Maka aku pergi kepadanya dengan bersembunyi dan berhati-hati hingga aku sampai betul-betul di hadapannya lalu aku mengucapkan:  شهد أن لا إله إلا الله و أن محمدا عبده و رسولi

Apabila dia mendengar dua kalimah syahadah dibaca, dia mengangkat mukanya memandang ke arahku.Apabila dia mengenaliku, serta merta dia memalingkan pandangannya dariku lantas berkata:

“Wahsyikah engkau ni?” Aku jawab: “Ya wahai Rasulullah.”
Dia berkata: “Duduklah, ceritakan padaku bagaimana kamu membunuh Hamzah.”

Maka aku duduk lantas menceritakan semua kisah pembunuhan itu.Apabila selesai sahaja aku bercerita, Rasulullah terus memalingkan mukanya dariku lalu berkata: “Celaka engkau wahai Wahsyi!!! Jangan nampakkan muka kamu dariku, aku tidak mahu langsung melihatmu selepas ini!!! Maka sejak hari itu, aku sentiasa menjauhi dari dilihat oleh Nabi yang mulia. Jika sahabat-sahabat sudah berada dalam majlis, aku akan mengambil tempat di bahagian belakang agar tidak dilihat oleh Rasululah saw. Begitulah keadaanku sehingga wafat Rasulullah saw bertemu Tuhannya.

Aduh… menangis membaca kisah Wahsyi. Begitu mahalnya kebenaran. Walaupun Nabi Muhammad seorang Rasul, baginda juga manusia yang ada perasaan. Sedih mengingatkan bapa saudaranya yang membelanya, dibunuh dengan kejam. Bukan dengan pertarungan, bunuh ‘curi’. Maka sangat adillah hukuman untuk Wahsyi, hanya sekali melihat wajah Rasulullah saw di dunia. Begitu juga, betapa lurusnya hati Wahsyi, sanggup menurut arahan, tidak menampakkan dirinya di hadapan Rasulullah saw. Adakah lagi orang-orang yang begini? Kalau dihukum oleh pemimpin, sanggup menerimanya walaupun menderita. Malanglah kalau kita baru diuji dengan di hantar ke kampung, terus merajuk dari perjuangan. Baru di pindahkan ke pulau, mengungkit-ungkit. Baru diuji berpisah dengan anak isteri, sudah meragam. Ya Allah, kuatkan hati kami seperti Saiyidina Wahsyi. Luruskan hati kami seperti hatinya. Selamatkan kami dari ujian yang kami tidak mampu menanggungnya.

( Bersambung )

Ikhwan Homestay, Jerash, Jordan.
4.26pm Jun 10, 2011.

  • wahsyi bin harb wafat (103)
  • wahsyi meninggal (90)
  • wahsyi (74)
  • wahsyi bin harb (41)
  • makam wahsyi (1)
  • meninggalnya washi (1)
  • wahsyi makam nya (1)
Kongsikan kepada yang lain
Share

One thought on “Kesedihan Saiyidina Wahsyi RA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *