***AgungNya***

Kongsikan kepada yang lain
Share

.Salam ceria. Ibarat seseorang yang telah disediakan segala-galanya untuk makan tengahari. Nasi telah siap ditanak. Nasi beras cap Masjid yang menyelerakan. Sotong RM17/kg telah sedia di mangkuk, masak sambal tumis cili giling dengan petai. Fuuh. Sawi tanam sendiri, masak sup dengan fish cake, berasap-asap dalam mangkuk. Hirisan cili padi bersama bawang besar dipotong dadu lalu dituang budu chap buah Ketereh telah tersedia. Minuman yogurt mangga MariGold 0% lemak, baru dikeluarkan dari peti ais. Sejuk. Sedap. Semuanya terhidang di atas meja marble yang ekslusif… Tinggal… Tinggal apa? Apa lagi? Tinggal nak makan je. Kalau tinggal nak makan je pun tak nak. Tak nak suap. Bukan salah orang yang sediakan. Bukan salah orang lain. Salahkan diri sendiri.

Itulah perumpamaan diri ini. Kuliah tentang bacaan dan perbuatan dalam sembahyang telah banyak kali BUJ buat. Setiap kali kuliah bertambah mendalam maksudnya. Semakin membantu untuk bagaimana berperasaan dalam sembahyang. Bagaimana sepatutnya perasaan hamba terhadap Tuhannya. Tapi malang, kesungguhan kurang, malah tiada untuk membaiki sembahyang. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Malah kadang-kadang macam tak masuk langsung. Sedangkan Allah tak pilih semua orang mampu mencapai ilmu ini. Mampu pula mengungkapkannya untuk dikongsi bersama. Bertuahlah kita ada bonda wasilah. Dapat perkongsian luar biasa ini. Nak harapkan jemaah tanpa wasilah, hanya mampu senaraikan ‘kesalahan’ orang je, yang belum tentu salah. Dulu kata GISB makan duit rumah amal. Tup-tup… grup dia pun buat rumah amal. Siapa penghuninya? Anak-anak sendiri la. Nampak beratur amik sumbangan patern muka macam sama je. Adik beradik, memanglah agak sama.

Tapi dah agak longgar syariatnya. Dalam GISB isteri-isteri nak dijadikan serikandi dan bidadari, tapi jemaah tanpa wasilah, isteri dah tak pandai pakai stokin. Syariat lahir pun dah terbarai. Bukan mudah nak buat jemaah Islam. Cakap mudah la. Pastu upload you tube, itu simple. Nak buat, yang kecik-kecik je, kalau bukan faktor janji, tak semudah itu.

Moga kita semua kekal dalam jemaah dan terus diberi panduan dan pimpinan. Beruntungnya di usia dah melewati 40’an ni, dapat ilmu tentang Al Fatehah yang agung. Ilmu atas ilmu. Ilmu di dalamnya ilmu. Rupanya bila Allah cakap ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang’, kita patut respon. Bonda wasilah beritau bila baca kita kena respon. Itu panduan yang beliau dapat, yang dikongsikan pada kita.

i-Bila baca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ responlah di hati….. ‘AgungNya….’. Ada ke manusia yang mampu istihar dirinya Maha Pemurah, Maha Penyayang. Kalla!! Wa alfu kalla!!.. Tiada, sama sekali tiada. Tiada, siapa berani?!. Hanya Allah yang mampu istihar. Hanya Tuhan yang mampu. Ohh agungNya.

ii-‘Alhamdulillahirobbil’alamin…jawablah ‘AgungNya’. Seluruh alam ini milikNya. Kita tak miliki apa-apa. Syurga Neraka Dia yang tadbir. Namun kita baru sedikit diberi kuasa, dah nak sombong, dah tak boleh berkasih sayang. Allah kata, ‘Segala pujian itu hanya milikKu, Tuhan Pentadbir sekelian alam’ kita sepatutnya menjawab, ‘AgungNya’.

iii-‘Ar Rahmanir Rahim’…Dia yang Maha Pemurah dan Maha penyayang. Dia memerintah di bumi yang nyata ini dengan sifat Maha Pemurah dan Maha PenyayangNya…’AgungNya’. Kalaulah Tuhan memerintah di dunia ini dengan keadilanNya, yang baik diberi rezki, yang jahat tidak, nescaya ramailah yang kelaparan. Agungnya. iv-‘Malikiyaumiddin’.. Allah Penguasa di hari Pembalasan. Di sana hanya ada 2 tempat. Imma syurga imma neraka. Di manakah kita?! Takutnya. Responlah di hatimu: ‘Agungnya’. 

v-‘Iyyakana’budu wa iyyaka nasta’ein’… Di ketika hati masih takut, bimbang, rasa tidak selamat di hari pembalasan nanti Allah memberi pengharapan kepada hamba-hambaNya, mengimbangkan antara perasaan takut dan harap. ‘Hanya kepadaMu kami menyembah, hanya kepadaMu kami memohon pertolongan. Maka kita sepatutnya berkata di hati:’AgungNya!’. 

vi-‘Ihdinassirotolmustaqim’. Tunjukkan kami jalan yang lurus….’. 

Allah mempunyai satu jambatan di akhirat, sehalus 1 per 7 diameter sehelai rambut, nun di bawah adalah neraka Allah yang menyala-nyala, semua mukallaf diminta melaluinya. tentu kecutnya perut kita. Lepaskah aku melaluinya? Mustahil boleh lepas cara biasa. Ia hanya boleh dilepasi dengan cara ajaib. Dengan bantuan Allah. Lalu kita memohon tunjukilah kami jalan yang lurus. Maka berkata dalam hatimu: ‘Agungnya!’. 

vii-‘Sirotollazina an’amta ‘alaihim, ghairil marghdubi ‘alaihim walad dholin…. Kita minta untuk menjadi orang-orang soleh, para Siddiqin dan Syuhada’ kerana mereka akan ke syurga. Kita berlindung dari Tuhan dari mengikuti jalan orang yang menurut nafsu dan orang-orang yang sesat, yahudi dan nasoro, yang akan terjun ke neraka. Ini menjadikan kita hampir hilang harapan semula, lalu kecut perut, silih berganti antara takut dan harap. ‘Khauf’ dan ‘Roja”. Maka katakanlah: ‘AgungNya!’.

Ucaplah ‘Amin…’ ‘Kabulkanlah wahai Tuhan…’ Dengan penuh ketakutan dan pengharapan.

Sebuah skrip yang bernama Ummul Quran, Ibu Al Quran. Hakikatnya keseluruhan pengertian Al Quran terkandung di dalamnya. Salah satu rukun dalam sembahyang. Ertinya, paling kurang seorang lelaki Muslim pasti akan mengungkapkannya di hadapan Tuhan, dalam sehari semalam bagi yang bermukim sebanyak 17 kali. Setiap hari dibaca untuk menerapkan dalam diri kita bahawa Tuhan mempunyai 7 ayat, 7 cerita, 7 undang-undang langit dan bumi. Fahamilah, berperasaanlah terhadap Allah melalui Al Fatehah, kita akan sentiasa dalam keadaan lemah lutut dan kecut perut. 

Allah Tuan punya alam…. AgungNya. Manusia hanya ada 2 pilihan, syurga atau neraka. Takkan tak takut? AgungNya. Titian sirotulmustaqim yang sebesar rambut dibelah 7. Ikutilah jalan orang-orang soleh untuk melepasinya. Allah tutup rang undang-undangNya dengan berkata: ‘Selamatkan diri kamu dari menjadi orang nafsu dan Yahudi!’. Di bawah jambatan halus ini adalah neraka. Berguguranlah orang yang memperturutkan nafsu dan yahudi di dunia ke neraka nanti di Akhirat. 

Suratul Fatihah terlalu agung. Manusia sekalipun Nabi tak mampu bercerita begini. Ia benar-benar dari Tuhan. Ia memberi getaran pada dada manusia dan keselamatan kepada manusia.

Mangaji Al Fatihah ni sahaja sesungguhnya seseorang boleh menjadi alim, boleh jadi ikhwan tetapi ramai yang membacanya tanpa kefahaman. Ramai yang mengaji, tapi tak serius memahami dan menghayati. Tak fikirkan soal kualiti sembahyangnya. Tak yakin yang sembahyang itu agung. Bukan nak ikut Abuya betul-betul pun. Moga kita semua tak termasuk golongan ini. Terutama anjang ni. Sembahyang sangat membentuk pemikiran dan peribadi manusia.

Ustazah Habibah, bekas DJ di RTM lebih 20 tahun, satu kampung dengan Ibu Amanah di Panchor Muar, yang mengiringi artis-artis ‘Hijrah’ melawat istana RSA diberi peluang memasuki bilik SS. Ketika keseorangan di dalam bilik dia berkata di hatinya: ‘Apa istimewanya bilik ini? Memang cantik dan kemas, tapi macam bilik-bilik biasa je…’ Lalu dia mencapai Al Quran, membukanya dan membaca suratul Fatihah di dalamnya. Ketika sampai di ayat: ‘Ihdinassirotolmustaqim’, tiba-tiba dadanya berombak, terasa satu perasaan yang luar biasa, terasa takut dan gementar. Dia teruskan bacaan hingga selesai dan keluar dari bilik tersebut dengan satu persoalan. Apakah perasaan yang datang kepadanya? Adakah orang lain dapat perasaan begitu? Bila dirujuk kepada BUJ, Bonda mengatakan, memang setiap kali membaca suratul Fatihah sepatutnya kita digoncangkan dengan berbagai-bagai gelombang perasaan. Di bilik itu, Ustazah Habibah direzkikan mendapat perasaan yang sepatutnya ada pada setiap muslim yang membaca suratul Fatihah. Beruntunglah ustazah. 

Oh… Moga kita juga beruntung kerana cuba serius memahami dan berperasaan dalam seluruh bacaan dan perbuatan dalam solat sesuai dengan seorang hamba berhadapan dengan Tuhannya. Ampunkan kami Tuhan.  

 

Bilik ASZ, BCH.

3.41pm, Jul 1, 2012

Anjangmuor.wordpress.comImage

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

4 thoughts on “***AgungNya***

  • July 1, 2012 at 5:58 pm
    Permalink

    Assalammualaikum&Selawat dari ana.Syukran,Ustadz.Syukran.Akan ana PRAKTIKKAN,insya’Allah.Fi Amanillah,Syukran,Selawat & Salam dari ana.

    Reply
  • July 2, 2012 at 2:13 pm
    Permalink

    Salam dan selawat dari ana. semuga Allah berkati diatas perkongsian ilmu ini,Ya Allah berkati,rahmati dan panjangkan umur Bonda Ummu.

    Reply
  • July 6, 2012 at 9:24 am
    Permalink

    Slm, teruskan menulis dgn penuh rasa dgn hati, tajamkan akal dgn roh

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *