***Muharram, Hijrah dan ‘Ibrah***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria. Bi barakah ASZ aktubu.
Berkhidmat dengan jemaah demi Allah dan Rasul, demi Islam membawa anjang merantau ke merata negeri dan negara. 2005, anjang bertugas di Syria. 2006 dipanggil balik. Kena singgah Jordan. Ketika itu Allah rezkikan anak ke 9. Bertarikh 11 Muharram. Kelahiran Jordan. Untuk keberkatan dan itulah yang diamalkan di dalam jemaah sufi, mohon nama dari Syeikh. Kalau kami minta dari Abuya. Melalui isteri-isteri Abuya. Orang-orang yang tak faham mengatakan, “Kamu isteri pun guru kamu pilih kerana kamu tak ada keyakinan diri!”, itulah satu komen dari pembaca blog ini. Kerana background pendidikan berbeza. Kita percaya dengan keberkatan, ketaatan. Mereka percaya dengan kemampuan diri. Sangat berbeza. Ketika itu Abuya beri nama Muharram sebab lahir di Bulan Muharram yang mulia. Bila daftar di Pejabat Pendaftaran Kelahiran di Jabal Amman kalau tak silap, staf tu berulang kali tanya, “Nak namakan Muharram?” Sambil tersenyum sinis. Mungkin dah lama bangsa Arab tak gunakan ia sebagai nama orang. Tak seperti Ramadhan. Terpulanglah pada mereka. Pada anjang, apa yang dari Mursyid, semuanya indah.
Muharram bererti ‘diharamkan’ kerana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah di bulan ini dan 3 bulan lagi iaitu Zulhijjah, Zulqaidah, dan Rejab, tetapi larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).
Ramai yang menyangka bahwa penetapan bulan Muharram sebagai awal tahun Hijrah adalah karena peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah terjadi pada bulan itu. Sebenarnya Rasulullah SAW memulakan perjalanan hijrahnya pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada awal bulan Rabi’ul Awal.
Muharram ditetapkan sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam kerana pada bulan ini kaum muslimin telah pulang dari melaksanakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang terakhir.
Dikaitkan dengan peristiwa hijrah pula kerana bulan Muharram dianggap sebagai awal bermula keinginan untuk berhijrah kerana peristiwa Bai’atul Aqabah kedua terjadi pada pertengahan bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat untuk beransur-ansur berhijrah pada suatu malam setelah kematian Abu Talib. Diantara yang berhijrah lebih awal adalah beberapa orang sepupu Nabi SAW, Saiyidina Umar RA dengan keluarganya dan Saiyidina Usman RA serta keluarganya, Saiyidina Hamzah RA dan Saiyidina Zaid RA. Pada mulanya Saiyidina Abu Bakar RA juga ingin turut serta, tetapi Rasulullah SAW melarangnya dan memintanya untuk menunggu petunjuk dari Allah mengenai keberangkatannya. Malam hijrah pertama para sahabat inilah yang ditetapkan sebagai tarikh pertama taqwim Islam, iaitu 1 Muharram tahun I Hijrah. Ini bertepatan dengan tarikh 16 Julai 622 M. Manakala Rasulullah SAW memulakan perjalanan hijrah bersama Saiyidina Abu Bakar RA satu bulan kemudian seperti yang kita sebutkan di atas.
Ramai yang mengetahui perkiraan Tahun Hijrah (taqwim al-Qamari) adalah berdasarkan bulan mengelilingi bumi, berbeza dengan Tahun Masihi (taqwim as-syamsi) yang perkiraannya berdasarkan dari bumi mengelilingi matahari. Oleh itu tahun Hijrah adalah lebih pendek daripada tahun Masihi. Kedua-duanya ada manfaat kepada kita semua, taqwim as-syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Melalui kalendar Masihi inilah manusia mengenal peredaran musim panas, gugur, sejuk dan bunga. Musim membajak, menyemai, atau menuai kepada para petani. Musim berniaga ke rehlatas syita’I was soif, bagi saudagar-saudagar zaman dahulu. Sementara kalendar Hijri atau tarikh al-Qamari pula menentukan masa-masa ibadat. Permulaan puasa dan Eid. Wuquf di Arafah dan Aiyam tasyriq dll. Peredaran yang tidak sama antara dua taqwim ini menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa, boleh jadi ia berlaku dalam dalam musim sejuk atau musim panas. Di musim sejuk malamnya panjang, malamnya pendek. Di musim panas siangnya pula panjang, malamnya pendek.
Oleh itu para pencinta Allah berkata di musim Syita’, “Alangkah baiknya Tuhan menjadikan Musim Sejuk, dapat aku berlama-lama beribadah malam. Di musim Soif pula, mereka berkata, “Indahnya Tuhan jadikan siang panjang di Musim Panas, untuk aku berpuasa.” Mereka bahagia dalam penderitaan kerana Tuhan. Sebenarnya musim sejuk sangat mengazab fizikal, begitu juga musim panas. Tapi, oleh kerana roh mereka hidup… Mereka bahagia. Ooh bilalah kita dapat mencapai tahap roh mereka. RSA bantulah kami.
Nabi SAW keluar dari rumah baginda ke rumah Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28hb Safar, tahun ke 14 selepas kerasulan. Dari situ, baginda bersama Saiyidina Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan sahabatnya itu keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi SAW sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah Rasulillah.
Apa pengajarannya? Yang penting pengajarannya. Tentang sejarah, faktanya mungkin ada sedikit perbezaan. Yang paling penting ‘ibrah. Apakah Pekara Besar semasa peristiwa Hijrah?
Menurut BUJ, antara perkara besar yang utama ialah kesanggupan meninggalkan zon selesa. Berada di gua, sedangkan sebelum itu di rumah. Sempit, kesejukan, ketakutan, kelaparan, diburu, penuh cemas dan bimbang, diancam binatang berbisa. Di rumah selesa, aman, tenang, ada kemudahan. Begitulah yang berlaku pada Rasulullah SAW dan para sahabat yang berhijrah.
Dan demi kebangkitan Islam kali ke 2 di akhir zaman ini, para Ikhwan sedang membuktikan, melakukan hijrah. Keluar dari Zon Selesa. Berapa ramai yang berhenti kerja, berpindah randah, dari Sabah Sarawak ke Semenanjung, dari Semenanjung ke Sabah Sarawak, dari Singapore ke Perak, dari Perak ke Mansuroh. Malah ke Eropah, Australia, ke Papua. Paling ramai, ke Haramain. Ke Mekah dan Madinah. Ke Kampung Rasulullah SAW. Ke Bandar Rasulullah SAW. Di sisi maqam baginda yang mulia. Dari Malaysia, Indonesia, Thailand, dari Australia. Tinggalkan rumah, anak-anak, isteri-isteri, suami-suami, kereta-kereta, projek-projek peribadi. 1001 keselesaan. Demi membangunkan iman, roh, taqwa, projek atas nama Tuhan menuju Daulah Islamiyah dan Empayar Islam. Menyuap kesusahan. Mengunyah kesedihan. Menelan kepahitan. Itulah kebahagiaan. Kebahagiaan Para Ikhwan demi Rindu Rasul.
Muharram 1434H -Islam Tak Akan Kalah-kalah Lagi.
Duwar Qubbah, Irbid
10.19am, Nov 16, 2012

PERISTIWA PENTING DALAM MUHARAM
1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 haribulan Muharram sebagai hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijrah).
10 Muharam – Juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada hari tersebut, banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah dalam menegakkan keadilah dan kebenaran.
Antara peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada 10 Muharram ialah:
1.Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2.Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3.Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4.Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5.Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6.Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7.Penglihatan Nabi Yaakub yang kabur dipulihkan Allah.
8.Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9.Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11.Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12.Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13.Hari pertama Allah menciptakan alam.
14.Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15.Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16.Allah menjadikan ‘Arasy.
17.Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18.Allah menjadikan alam.
19.Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20.Nabi Isa diangkat ke langit.
21.Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.
22.Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.
23.Allah menjadikan Siti Hawa.
24.Allah menjadikan Syurga.
25.Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.
26.Nabi Ibrahim dilahirkan .
27.Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.
28.Pada tanggal 10 Muharram 61H, terjadilah peristiwa yang memilukan dalam sejarah Islam, yaitu terbunuhnya Husein cucu Rasulullah di sebuah tempat yang bernama Karbala. Peristiwa ini kemudian dikenal dengan “Peristiwa Karbala”.
Inilah antara peristiwa besar pada 10 muharram yang telah berlaku.
29.Begitu juga dalam beberapa hadis riwayat Nu’aim bin Hammad menyatakan bahawa pembaiahan Imam Mahdi juga berlaku dalam 10 Muharram!

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *