***Tujuan Umrah***

Kongsikan kepada yang lain
Share

ImageSalam ceria.

Haji itu ertinya pada bahasa qasad. Dalam BM qasad itu menuju/tujuan. Ertinya pergi haji itu menuju Allah. Umrah itu disebut juga sebagai haji kecil. Ertinya pergi umrah juga menuju Allah. Untuk dapatkan Tuhan. Tuhan bukan di Kaabah. Sebab Tuhan tidak bertempat. Tetapi Allah perintahkan kita beribadah di Kaabah. Ia adalah perintah Allah untuk mendapatkanNya. 

Mendapatkan Allah adalah mendapatkan cinta dan takut Allah. Rasulullah SAW menanamkan cinta dan takutkan Tuhan selama 13 tahun di era Mekah walhal Allah itu Esa tetapi hanya 10 tahun memperjuangkan syariat Allah, walhal hukum hakam syariah ribuan jumlahnya. Ayat hukum hakam sahaja tak kurang 500 ayat. Ertinya mendapatkan Tuhan lebih utama daripada syariatNya. Dengan cintakan Allah, manusia akan membuat sebanyak-banyak kebajikan demi Tuhannya. Tetapi ia belum mencukupi. Mungkin saja dia terlibat dalam maksiat walaupun lebat syariatnya. Di sini manusia perlu takut Tuhan. Dengan takutkan Tuhan, manusia akan meninggalkan laranganNya. Rasa cinta dan takutkan Tuhan inilah yang akan mengawal hidupnya sesuai dengan kehendak Allah Taala.

Pergi umrah ertinya menuju Allah yang Esa. Membawa hati dan diri yang hina. Memakai pakaian serba putih. Menyerah diri umpama mayat. Untuk diperlakukan apa saja. Sanggup bersusah payah meninggalkan larangan di dalam ihram. Demi menagih kasih sayangNya. Kalau orang lelaki, hanya dengan dua helai kain. Tanpa jahitan. Tanpa tutup kepala. Tanpa kasut kulit berkilat. Hanya selipar yang menampakkan 10 jari kaki. Bersesak-sesak. Berhimpit-himpit. Mengelilingi Kaabah 7 pusingan. Moga Allah kaabahkan hati. Sayukan hati apabila mengenang Tuhan. Sedih dengan sikap dan perangai buruk yang masih belum berubah sedangkan usia semakin lanjut. Otot-ototmu sudah tidak gagah lagi. 7 pusingan pun sudah sangat melelahkan. Kematian sebenarnya semakin dekat. Mohon Allah buang nafsu dan yahudi dalam hati. Jangan dibawa hingga mati.

Diteruskan dengan bersaie. Mengenangkan sejarah bonda kita, Siti Hajar. Bagaimana sabarnya beliau dengan penderitaan dan kesusahan. Hidup berdua dengan anaknya di Padang pasir kontang. Malu rasanya nak protes Tuhan. Selemah manapun penginapan masih di hotel. Jika makanan di kantin habis, masih ada duit di tangan untuk membeli makanan, minuman mengalas perut. Tidaklah sampai berlari-lari ke hujung, ke pangkal mencari air seperti bonda Siti Hajar. 

Malu mengenangkan taatnya bonda kepada suami, tak protes langsung keputusan suami meninggalkannya di situ kerana yakin itulah arahan Allah dan Allah pasti akan membela. 

Moga 7 kali berulang alik saie akan membina sifat-sifat mahmudah seperti keluarga Nabi Ibrahim AS. Taat, sabar, tawakkal, sanggup susah, sanggup menderita, sanggup berkorban dan dikorbankan demi agama. InsyaAllah akan hidup Islam dalam diri, dalam keluarga hingga mampu merubah masyarakat hasil dari umrah yang dihayati.

Bercukurlah, guntinglah rambut untuk bertahallul. Moga-moga gugurnya rambutmu Tuhan gantikan dengan rasa cinta dan takutkanNya, yang akan mengawal dirimu agar tetap di atas siratal mustaqim.

Akhir kata, selamat menjadi tetamu Allah. Selamat datang ke bumi Haramain untuk menunaikan umrah dan berziarah ke maqam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Surau Mator Malik Abd Aziz, Jeddah. 

10.22pm, Feb 21, 2013.

  • tujuan umrah (16)
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *