***Rukun Umrah***

Kongsikan kepada yang lain
Share

ImageSalam ceria.

Ketika memulakan niat ihram di miqat, antara peringatan yang sangat perlu diulang-ulang ialah tentang pantang larang dalam ihram. Tetapi post kali ni, anjang nak fokus kepada rukun umrah dahulu. Agar sentiasa diingati oleh semua, khasnya para mutawwif. Al maklumlah, amalan umrah bukan sentiasa dibuat setiap hari seperti sembahyang. Banyak yang kita lupa. lebih-lebih lagi jemaah umrah yang sibuk dengan kerja harian di Malaysia, tiba-tiba ambil masa beberapa hari untuk tunaikan amal ibadah di rumah Allah. Sudah tentu banyak perkara yang yang dilupa.

 

Rukun Umrah

Terdapat lima perkara dalam Rukun Umrah yang mesti dilaksanakan oleh para mu’tamirun. Pelaksanaan Rukun Umrah tidak boleh dibuat dengan mewakilkannya kepada orang lain. Sekiranya salah satu daripada Rukun Umrah ditinggalkan secara sengaja atau tak sengaja, ibadah umrah tu tak sah. 

 

Lima Rukun Umrah ialah:

1- Niat

2- Tawaf

3- Sai’e

4- Tahallul

5- Tertib

 

Niat

Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Kalau seseorang itu tak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya tak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berikut ialah lafaz niat umrah:

 نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى

Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan aku berihram untuknya kerana Allah Ta’ala.”

Boleh ditambah: “…dan jika aku terhalang oleh sesuatu, maka aku jadi halal.” Kelebihan ta’li’ ini ialah jika berlaku apa-apa halangan untuk teruskan ibadah umrah seperti haid bagi perempuan, automatik dia dikira halal/tahallul.

 

Tawaf

Tawaf adalah rukun yang sangat penting dalam ibadah umrah. Kalau tidak dibuat mengikut syarat-syaratnya, tak sah. Akibatnya Sai’e tak sah, tahallul pun tak sah. Dia dikira dalam ihram lagi. Kalau dia lakukan larangan umrah seperti memakai pakaian berjahit bagi lelaki dia akan kena dam. Risiko Beb!!! Lainlah kalau korang banyak duit atau ada ternak kambing.

 

Syarat- syarat sah tawaf

1- Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T.

Niat-Tawaf-Umrah

Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”

2-Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram. 3-Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah. (Oleh kerana sekarang sedang direnovate, tak boleh tawaf di bahagian atas.

4-Tak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk  Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf. Kalau buat batal pusingan itu.

5-Tak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijir Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).

6-Laluan tawaf hendaklah suci daripada najis.

7-Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hajarul Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama. (sekarang dah tak ada garisan)

8- Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan  sempurna dan yakin.

9-Mesti menjadikan Ka’abah di sebelah kiri (bahu kiri) sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.

10-Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).

11-Mesti suci daripada hadas besar.

12-Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.(mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf tak sah, begitu juga membawa selipar yang telah terkena najis).

13-Mesti menutup aurat.

 

Sai’e

Sai’e juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Sahnya Sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka Sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut jadi tidak sah.

 

Syarat-syarat sah Sai’e:

1-Hendaklah dilakukan selepas tawaf.

2-Tujuan (qasad) hendaklah semata-mata untuk Sai’e.

3-Hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah.

4-Dilakukan sempurna bilangan sebanyak tujuh kali.  

5-Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit. Tetapi sekurang-kurangnya ialah jarak yang ditentukan untuk mereka yang menggunakan kereta sorong.

6-Perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya tidak terputus yakni seseorang  itu tidak melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu lain.

 

Tahallul

Bertahallul maknanya melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah seseorang itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan Sai’e.

 

Syarat Tahallul

Menggunakan sekurang-kurangnya tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain. Tetapi adalah afdhal bagi lelaki mencukur kepalanya. Bagi orang yang kepalanya tidak berambut memadai jika dilalukan pisau di atas kepalanya.

 

Perkara-perkara yang berkaitan dengan jemaah wanita:

1-Perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.

2-Suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.

3-Perempuan haid boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.

4-Tertib

Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu, mengikut tertibnya (aturan).

 

Ok, wajib Umrah kita cerita di post akan datang, insyaAllah.

 

Bilik BOD, villa Mekah

8.48pm, Feb 22, 2013.

  • rukun umrah (12)
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *