***Reaksi Alam***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria,
Di bulan maulid ini kita selalu mengulang kaji sejarah manusia agung yang kita cintai, penghulu segala Nabi dan Rasul, Saiyidina Muhammad SAW. Moga bertambah ingatan kita padanya. Bertambah dalam rasa cinta padanya. Di antara yang disebut di dalam kitab berkenaan peristiwa pelik sebelum kelahiran baginda SAW ialah:

“Ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.”

Bukan sahaja manusia dan jin yang diberi faham tentang kemuliaan baginda, meraikan ulangtahun kelahiran baginda merata-rata di seluruh dunia. Allah memuliakan kekasihNya dengan bumi, pohon kayu, haiwan di darat dan laut juga bereaksi menyambut kedatangannya. Ia termasuk dalam perkara yang mencarik adat, atau luar dari kebiasaan. ia adalah tanda kebesaran Allah dan tanda kemuliaan yang dipakaikan kepada baginda Rasulullah SAW.

Di akhir bulan maulid ini, alam bereaksi menyalahi kebiasaan. Tak tahu apakah maksud Tuhan melakukannya. Cuaca sejuk melanda banyak tempat di dunia. Tak terkecuali di Malaysia, tanah air tercinta. Mungkin juga isyarat Tuhan agar kembali mengenangkan baginda Nabi dan menambah rindu padanya. Makhluk Tuhan yang paling mulia. Kerananyalah dijadikan bulan matahari, syurga neraka, dunia akhirat dan seluruh kejadian. Betapa kita terhutang budi padanya.

Tak ketinggalan ASH akan mengadakan sambutan Maulidur Rasul di pekarangan ASH, Tg Malim malam esok 25hb Jan 2014. Sambutan yang bergabung dengan seluruh masyarakat Islam moga-moga menambah rindu kita semua kepada Saiyidina Muhammad SAW dan membina kasih sayang sesama kita.

Seronok mendengar Hub Maju menyumbang ayam, Restoran Karim meminjamkan peralatan katering restorannya, pengusaha kanopi sponsor 6 buah kanopi, PA ada yang sponsor. Ada juga yang sponsor bajet untuk sediakan satay sebagai hidangan utama. GH pula sanggup datang membuat persembahan. Anjang menyeru kepada para pembaca yang cintakan Nabi, mari sama-sama meraikan majlis yang mulia ini dengan tenaga, doa, bantuan kewangan dan sebagainya. Boleh berhubung terus dengan En Megat Jiwa, 0165533441.

Anjang doakan dari permusafiran moga semuanya berjalan lancar. Ampunkan kami ya Allah.

Rumah Tetamu Ikhwan Palembang, Jakabaring, Palembang.
2.00pm, Jan 24, 2014
……………………………………………
Suhu sejuk mula melanda negara

Kuala Krai: Suhu sejuk melanda jajahan ini sejak seminggu lalu menyebabkan ramai penduduk mengehadkan kegiatan, selain memakai pakaian tebal, terutama pada waktu malam.

Penduduk menyifatkan situasi ketika ini sebagai kejadian luar biasa kerana selalunya pada awal tahun, suhu jajahan terbabit kembali panas, selepas negeri dilanda banjir baru-baru ini.

Surirumah dari Kampung Sungai Dala, Rosmanita Zainal Abidin, 42, berkata suhu terlalu sejuk pada waktu pagi, menyebabkan beliau terpaksa menjerang satu periuk besar air untuk kegunaan anaknya mandi sebelum ke sekolah.
Jerang air panas

“Biasanya, anak saya mandi air paip pada waktu pagi tanpa masalah. Namun, sekarang, tengah hari pun air paip masih terasa sejuk seperti dicampur ais, membuatkan anak yang baru balik sekolah enggan mandi.

“Suasana dalam rumah pada waktu malam juga terasa bagaikan dipasang pendingin hawa hingga memerlukan selimut tebal untuk mengurangkan kesejukan.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan suami saya, R Azmi Jaafar, 48, yang mengalami angin ahmar sejak tujuh bulan lalu,” katanya.

Warga tua, Mohamed Mustapha Baharum, 62, berkata cuaca sejuk menyebabkan dia mengelak keluar rumah pada waktu malam dan awal pagi kerana bimbangkan masalah kesihatan diri.
“Suasana sejuk mula dirasai selepas jam 5 petang membuatkan kami bagaikan berada di luar negara seperti yang sering ditonton dalam televisyen,” katanya.

Penduduk Kampung Tualang, Rohaida Mohamed, 36, berkata suasana sejuk dialami ketika ini menyebabkan mereka tidak perlu menghidupkan kipas kerana keadaan terasa seperti menggunakan pendingin hawa. Pakai stokin, selipar

“Sepanjang masa kalau berjalan dalam rumah pun perlu memakai selipar atau stokin bagi mengurangkan rasa sejuk,” katanya.

Sementara itu, suhu serendah 17 darjah celsius sekitar Kuala Krai, Kelantan dan 19 darjah di Besut, disifatkan tahap paling sejuk pernah direkodkan di Pantai Timur.

Pengarah Meteorologi Terengganu/Kelantan, Jenuwa Husin, berkata penurunan suhu itu disifatkan rekod berbanding suhu biasa dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius.

Di Sabah, Pengarah Meteorologinya, Abdul Malek Tusin, berkata fenomena cuaca sejuk sejak lima hari lalu menyaksikan Keningau mencatat suhu terendah 17 darjah Celsius, lebih rendah berbanding tanah tinggi Kundasang pada tahap 20 darjah Celsius.

Katanya, walaupun tidak dilakukan sebarang pengukuran, namun suhu di puncak Gunung Kinabalu, dijangka lebih sejuk berbanding suhu normal iaitu di bawah 15 darjah Celsius
Sumber: Berita Harian online

Jenuwa menunjukkan data suhu yang dicatatkan di Sabah.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *