***Catuan Air***

Kongsikan kepada yang lain
Share

IMG_00006361Salam ceria.
“Hari ni ada beli air?” tanya anjang kepada En Zul usai solat magrib di musolla GISB Jerash, Jordan. Dia singgah sembahyang dengan En Ghazali Othman, En Jamal, En Shidi dan Arif setelah ziarah maqam-maqam sahabat di sekitar Agwar. Mereka semua wakil-wakil zon yang berkhidmat di Haramain. En Zali akan masuk semula ke Saudi hari ini bersama-sama Aizat dan Zakwan. Yang lain-lain akan pulang ke Malaysia kerana kerajaan Saudi menetapkan setiap orang yang mengerjakan umrah hanya boleh mendapatkan visa semula setelah 6 bulan. En Zali dan teamnya terlepas ‘qarar’ ini kerana mereka perolehi visa kali ke 2 sebelum keputusan ini dibuat.

“Dah 3 hari berturut-turut beli air.” kata En Zul. “Fuuh cepatnya habis.” getus anjang dalam hati. Mujur Tn Salleh ada memberi titipan untuk membantu serba sikit keperluan di Irbid. Di Irbid memang dah lama air dicatu. Paling banyak, air masuk seminggu 3 kali, itupun yang ke 3, ibarat kata En Lan, meleleh je. Kadang-kadang 2 kali je seminggu. Sebab itu semua rumah mempunyai tangki bawah tanah untuk simpanan air. Maka setiap rumah juga mempunyai pam untuk menaikkan air ke tangki di bumbung rumah. Al hasil, untuk menggunakan air, kos air kena bayar ditambah dengan kos elektrik.

Setiap kali air kerajaan sampai, ketika itulah beratur untuk menggunakan mesin basuh, membasuh pakaian yang kotor. Banyak, koleksi seminggu punya. Mungkin dengan sebab itulah mesin basuh cepat rosak kerana lasak digunakan khasnya oleh ‘banat’ kerana memaksa ia bekerja dengan muatan yang banyak sepanjang hari.

Bila penghuni semakin ramai, maka cepatlah air simpanan yang tak seberapa itu habis. Ketika kecemasan begini, botol-botol mineral yang telah En Lan penuhkan air di tandas dan bawah sinki itulah yang berjasa menyelamatkan keadaan. Samada untuk istinjak atau berwhudu’. Tak tau la, siapa pelapis En Lan.

Demi menjaga taharah dan ibadah, kena beli air juga. Satu meter padu berharga RM20, biasanya 1 lori tanki kecil itu 3 meter padu kosnya JD13 (RM60). Itulah antara cabaran hidup di Irbid, Jordan. Jordan yang sumber air hanya dari hujan dan salji semata-mata. Bila hujan tak banyak turun tahun ini, bekalan air agak kritikal. Kalau pembekal air terpaksa mengambil dari sumber yang lebih jauh, kos akan bertambah.
Kalau ikut zon b
Bagaimana pula di Malaysia. Ikut logiknya, orang Malaysia tak akan melalui catuan air begini. Sebab di Malaysia, sungai punyalah banyak. Malah kalau gali-gali tanah, insyaAllah boleh jumpa air. Petuanya, cari busut, gali di bawahnya, insyaAllah ada sumber air. Tapi tiba-tiba terjadi, Malaysia pun kena catuan air. Selangor negeri terkaya dan paling maju di Malaysia (anjang rasalah, tak tau faktanya) terpaksa mencatu air untuk keperluan rakyatnya. Apa dah jadi? Air yang merupakan keperluan kita adalah rahmat Tuhan. Tapi kalau dah jadi banjir, bukan rahmat, azab, Tiada air pula biasanya dikaitkan dengan bala’ dan ujian.

Tengok jadual catuan air yang kawan-kawan hantar, terasa ujiannya. Kalau dah biasa, tak la teruji sangat. ‘Alah bisa, tegal biasa.’ Tapi kalau memang air sentiasa ada, buka je paip, ada air. Tak pernah tergambar ada 20 botol mineral 1.5 liter, berisi air simpanan tersusun di tandas kolam Kuang. Pendek kata, sentiasa ada air. Tiba-tiba dicatu. Memanglah satu ujian.

Biasa boleh mandi 3 kali sekali, mungkin kena kurangkan jadi 2 kali je. Biasa sekali mandi 10 gayung. Sekali ceduk dan jirus setelah berpeluh-peluh buat kerja usrah, terasa nikmat, nak lagi. Selepas bersabun, nak bilas lagi. Lepas ni tentu kena bajet kurangkan. Ada yang lebih penting dari mandi, istinja’ dan taharah perlukan air. Untuk masak, makan dan minum perlukan air. Maka berjimat-jimatlah jalan yang terbaik ketika ini. Jangan pentingkan diri sendiri, fikirkan juga orang lain.

Moga Allah kembalikan nikmat air tanpa catuan di seluruh dunia. Air adalah keperluan, seperti udara juga. Sepatutnya semua rakyat mendapatkan secara percuma. Kalau ada bayaran pun sekadar kos operasi sahaja, bukan mengambil keuntungan berganda-ganda dari keperluan asasi manusia. Bagaimana kalau Allah mengambil bayaran atas setiap nafas kita yang turun naik?

Wahai Tuhan Pemberi nikmat, Engkau berhak menarik balik nikmat-nikmatMu dari kami hamba-hambaMu. Kerana ia adalah milik mutlakMu. Tetapi Kau kan Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Lemah Lembut, Maha Pemaaf. Janganlah tarik nikmat iman dan islam dari kami. Janganlah tarik hidayah dan taufik dari hati-hati kami. Tolong jangan cabut nikmat berjemaah yang indah ini. Kekalkan kami dalam rahmatMu Tuhan. Ampunkan kami.

Mzb.

Bilik SS, Jerash, Jordan.
6.36am, Mac2 2014

Catuan air

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *