Ucapan Penangguhan Abd Hadi menenggelami ucapan dasar beliau

Kongsikan kepada yang lain
Share

Ucapan penangguhan Abdul Hadi menenggelami ucapan dasar beliau

Zefry Dahalan | Nov 7, 14 11:02am

Ucapan penggulungan Presiden telah merobohkan kembali kesemuanya itu sehingga akhirnya perwakilan kembali dari Muktamar dalam keadaan sama seperti apabila mereka datang

PETALING JAYA: Pertembungan diantara golongan Ulama dengan golongan profesional dan aktivis dalam PAS semakin hari semakin ketara, apabila kepimpinan daripada kedua-dua fraksi hampir setiap hari, saling mengeluarkan kenyataan kritikan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (PAS) melahirkan rasa sedihnya dan berkata ucapan penangguhan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menenggelami ucapan dasar beliau pada Muktamar PAS ke-60, pada bulan September lepas.

“Bagi saya, perkara ini adalah di antara yang paling menyedihkan. Ucapan Dasar Presiden telah ditenggelamkan oleh ucapan penangguhan.

“Sedangkan Ucapan Dasar Presiden adalah ucapan hala-tuju dan arahan tahunan yang disampaikan Presiden kepada seluruh anggota parti.

“Ia menggariskan tindakan yang perlu diambil secara jelas dan matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang ingin dicapai.

“Malangnya Ucapan Dasar Presiden tahun ini tenggelam dengan apa yang telah disampaikan Presiden semasa ucapan penggulungannya.

“Sehingga anggota parti di semua peringkat bagaikan terpinga-pinga berhubung apa yang perlu mereka lakukan seterusnya selepas muktamar selesai.

“Persoalannya, samada PAS bersama dengan Pakatan Rakyat sepenuh hati atau sebaliknya menjadi soalan di bibir hampir semua ahli.

“Ini adalah kerana walaupun dalam Ucapan Dasar dikatakan istiqamah bersama, tetapi di dalam ucapan penggulungan seolah-olah mempersoalkan kewajaran bersama dan bahayanya bersama,” katanya.

Khalid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata, walaupun semua yang menyampaikan ucapan penggulungan telah menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan, sambil menegaskan kesepaduan bersama Pakatan Rakyat, ucapan penggulungan Presiden telah merobohkan kembali kesemuanya itu sehingga akhirnya perwakilan kembali dari Muktamar dalam keadaan sama seperti apabila mereka datang.

“Segala keraguan terhadap kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat, perpecahan dalaman PAS sendiri atas usaha adu-domba ‘golongan baru’ dan sebagainya, semuanya telah tidak diselesaikan dengan baik, malahan tidak diusahakan sesuatu penyelesaian pun.

“Saya turut sedih kerana tindakan keterlaluan terhadap Timbalan Presiden (Mohamad Sabu) sendiri tidak ditegur oleh Presiden dan ini seolah-olah merupakan lampu hijau untuk ianya diteruskan oleh mereka yang menentang.

“Maka Timbalan Presiden akan terpaksa harungi sendiri suasana ini sepertimana juga kami yang lain yang turut dijadikan sebagai sasaran mereka. Namun, InsyaAllah akan mampu dengan bantuan Allah,” kata beliau.

 

Sumber: FMT

 

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *