Aktiviti haram di Cameron serius, SPRM kemuka 12 syor.

Kongsikan kepada yang lain
Share

Aktiviti haram di Cameron serius, SPRM kemuka 12 syor

FMT | Nov 9, 14 7:49pm

SPRM yang menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut sejak tahun yang lalu mendapati penerokaan tanah kerajaan secara haram tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati isu penerokaan tanah kerajaaan secara haram dan “lebih usaha” kawasan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) telah menjadi semakin serius – dipercayai menjadi salah satu punca ‘tragedi’ di kawasan tumpuan pelancongan dan pertanian itu.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang ini, SPRM yang menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut sejak tahun yang lalu mendapati penerokaan tanah kerajaan secara haram tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.

“Malah, ia meliputi seluruh subdaerah Cameron Highlands. Kesalahan-kesalahan pelanggaran syarat lesen yang terlalu lama dibiarkan tanpa diambil tindakan mengakibatkan ia sukar ditangani pada masa sekarang.

“Keadaan ini memerlukan tindakan yang tegas dan bersepadu oleh semua pihak berkaitan bagi menyekat kemusnahan alam sekitar dan kehilangan hasil Kerajaan Negeri Pahang,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Dalam kenyataan media, SPRM menggariskan 10 isu hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM.

Isu-isu lain ialah:

– Dasar kerajaan negeri di bawah Rancangan Tempatan Cameron Highlands mengiktiraf Cameron Highlands sebagai special management area (Akta Pemuliharaan Tanah 1960), yang membenarkan aktiviti pertanian, agro dan ekotourism, tetapi tidak membataskan had keluasan tertentu untuk aktiviti dan kaedah pertanian.

– Wujud kontraktor ‘kilat’ yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengelakkan kerja-kerja teroka haram dikesan pihak berkuasa.

– Keperluan diwujudkan bidang kuasa yang berasingan iaitu Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, yang kini kedua-duanya dipimpin oleh Pegawai Daerah. Keupayaan Pegawai Daerah mentadbir Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands terbatas kerana bidang tugas yang luas dan wujud konflik skop pentadbiran.

– Tiada pewartaan yang jelas dan menyeluruh ke atas kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Cameron Highlands, menyebabkan pekebun sayur dan masyarakat Orang Asli menjadi peneroka haram mengusahakan tanaman di kawasan HSK. Alasan yang sering dikemukakan adalah tidak tahu sempadan.

– Tiada penandaan kekal sempadan LPS. Kewajipan memasang papan tanda yang memaparkan butiran LPS tidak dikuatkuasakan menjadi punca peneroka haram mengusahakan tanah tanpa had dan pemilik LPS mengusahakan tanah lebih luas dari yang dilesenkan.

– Kurang koordinasi tindakan antara agensi terlibat menyebabkan tindakan penguatkuasaan tidak dapat dibuat secara profesional, di mana keterangan dan bukti sukar diperoleh bagi tujuan pendakwaan. Akibatnya, peneroka haram terlepas dari tindakan undang-undang dan akan terus melakukan kesalahan. Hal ini juga menyebabkan moral penguat kuasa menurun.

– Pekebun sayur berselindung di sebalik keistimewaan Orang Asli sebagai pribumi yang menjadikan HSK sebagai kawasan rayau, mengutip hasil hutan dan bercucuk tanam dengan membuka kebun-kebun baru di dalam kawasan HSK.

– Dakwaan dan tohmahan penggunaan nama ahli politik dan ahli keluarga diraja oleh pihak tertentu bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.

– Tiada saluran aduan sistematik bagi membolehkan orang awam membuat aduan ke atas salah laku dan kegiatan menyalahi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Berdasarkan penemuan tersebut, kata Mustafar, SPRM telah membentangkan isu dan syor pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 22 Julai lalu.

Katanya, satu pembentangan juga telah dibuat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada 11 Julai lalu.

Sehubungan itu jelas Mustafar, pihaknya juga telah mengesyorkan 12 syor kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi menangani isu yang melanda Cameron Highlands.

Salah satu syor ialah mengkaji semula dasar pemberian LPS bagi tujuan menyekat penerokaan tanah kerajaan secara haram.

Selian itu katanya, SPRM juga mengesyorkan pandangan tersebut bagi mengelakkan pembinaan bangunan kekal di atas tanah LPS serta menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Tanah 1960/Enakmen Pahang No. 13.

Syor lain termasuklah:

– Menentukan dasar yang jelas berhubung pembangunan tanah tinggi Cameron Highlands. Penetapan dasar ini perlu bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah Cameron Highlands.

– Mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing khusus di Cameron Highlands supaya pembukaan kawasan pertanian secara haram dapat dibendung.

– Keperluan kepada dua bidang kuasa berasingan antara Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa (grey areas) yang boleh menyebabkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dan beban tugas tidak dapat diurus secara berkesan kerana wujud percanggahan kepentingan atau tanggungjawab.

– Mewarta dan menanda/menanda halus sempadan HSK dengan jelas. Penandaan semula amat perlu bagi tujuan penyelenggaraan persempadanan HSK yang kritikal. Zon bercucuk tanam diwujudkan kepada masyarakat Orang Asli dan menghadkan kawasan tanaman pindah.

– Menanda/menanda halus sempadan Rancangan Penempatan Semula (RPS) dengan jelas. Mengehadkan kawasan tanaman pindah kepada masyarakat Orang Asli dalam kawasan RPS sahaja atau mewujudkan zon bercucuk tanam khusus kepada mereka.

– Mewujudkan Task Force bagi tujuan penguatkuasaan berkesan. Memberi kebebasan kepada pasukan Task Force untuk mengambil tindakan dengan adil tanpa tekanan atau pengaruh mana-mana pihak.

– Mensyaratkan penandaan sempadan secara kekal dan pemasangan papan tanda tanah LPS bagi memudahkan penguatkuasaan dan meningkatkan ketelusan.

– Menilai semula sistem dan prosedur penguatkuasaan bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan memperkemaskan pelaksanaan penguatkuasaan Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara serta mengenakan syarat-syarat baru LPS jika perlu.

– Melaksanakan tindakan pentadbiran yang bersesuaian bagi melicinkan pengurusan dan penguatkuasaan penerokaan haram seperti mengehadkan penggunaan jentera berat berantai, memantau kebanjiran pekerja asing ke Cameron Highlands dan meningkatkan operasi penguatkuasaan pada hujung minggu dan cuti umum.

– Mewujudkan Sistem Pengesahan bagi menghindari dakwaan yang melibatkan anggota kerabat, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dalam apa-apa urusan bagi menjaga nama baik pihak berkenaan.

– Mewujudkan sistem aduan yang berfungsi sebagai satu mekanisme kepada mana-mana pihak menyalurkan aduan, laporan dan maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang, peraturan dan salah laku. Tindakan ke atas sesuatu aduan perlu dilakukan dengan cepat dan tegas.

Mustafar berkata, tindakan proaktif SPRM ini adalah supaya satu usaha bersepadu akan diambil oleh semua pihak bagi menutup ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta kelemahan pentadbiran dalam mengendalikan isu penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands.

“SPRM juga telah membentangkan tindakan dan hasil penemuan awal ini kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), yang merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

“PPPR, yang dipengerusikan oleh Y.Bhg Tan Sri Johan Jaaffar, telah mengambil maklum mengenai tindakan SPRM dan mengalu-alukan supaya semua cadangan yang diperakukan diambil tindakan segera supaya langkah-langkah pencegahan yang holistik dapat dilaksanakan,” katanya.

Mustafar menambah, SPRM juga akan membawa syor dan cadangan ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus Kebangsaan pada 25 November ini memandangkan isu ini juga diyakini berlaku di tempat-tempat lain dan seterusnya bagi mengelakkan masalah yang sama berlaku hingga boleh mengakibatkan pelbagai bencana alam dan persekitaran, masalah sosial dan ekonomi.

Katanya, pendekatan serius termasuk pindaan peruntukan undang-undang amat wajar bagi menangani isu penerokaan haram.

“Pembalak dan peneroka haram harus dikenakan hukuman yang amat berat bagi mengelakkan masalah yang melanda Cameron Highlands daripada berulang,” kata beliau

Sumber: FMT

Anjang: Disamping akta dan peraturan serta penguatkuasaan, usaha-usaha membawa seluruh lapisan masyarakat ke arah takutkan Allah juga sangat penting kerana tanpa hati yang takutkan Allah dan hari pembalasan, terbukti ramai orang yg berterusan melanggar undang-undang.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *