Syariah dan Sivil: Pertembungan yang berbahaya

Kongsikan kepada yang lain
Share

Syariah dan Sivil: Pertembungan yang berbahaya

FMT | Nov 13, 14 6:00am

Pertindihan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil hanya menjadikan sistem perundangan negara ini celaru dan terlalu kompleks.

Isu pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil adalah isu yang berlanjutan sekian lamanya. Isu ini mendapat perhatian selepas tiga lelaki transgender mencabar hukuman yang dikenakan keatas mereka oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan yang kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Pertindihan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil hanya menjadikan sistem perundangan negara ini celaru dan terlalu kompleks.

Pertembungan Dua Kuasa Perundangan

Adalah jelas bahawa Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah. Sementara Senarai 2(1) Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam. Ini bererti Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusifnya sendiri.

Dalam banyak kes pertukaran agama melibatkan kanak-kanak yang masih menunggu untuk perbicaraan di Mahkamah, isu pertukaran agama kanak-kanak melibatkan pasangan S. Shamala dan suaminya yang memeluk agama Islam pada tahun 2002 dan turut mengislamkan kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka harus diberikan perhatian. Berdasarkan penghakiman kes berkenaan pada 12 November 2010, lima isu penting yang telah dibangkitkan dan dipersetujui di Mahkamah Rayuan tetapi telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan namun tidak disentuh langsung oleh panel lima hakim yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Lima persoalan tersebut adalah:

Sama ada Seksyen 95 (B) Akta Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 bercanggah dengan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun di tentukan oleh ibu bapa atau penjaga dan Artikel 8 berhubung hak sama rata.

Seksyen 5 (1) Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 tidak konsisten dengan undang-undang persekutuan.

Merujuk kepada Artikel 121 (1A) perlembagaan persekutuan, apabila hak penjagaan kanak-kanak diputuskan, antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi, Mahkamah manakah yang dianggap lebih berkuasa?

Apabila kanak-kanak yang ibu bapa mereka berkahwin mengikut undang-undang Sivil, ditukar agama kepada Islam oleh salah seorang ibu bapa mereka tanpa pengetahuan seorang lagi maka apakah hak ibu atau bapa yang bukan Islam itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi?

Adakah Mahkamah Syariah mempunyai kuasa bagi menentukan kesahihan pertukaran agama golongan bawah umur ke Islam, apabila ia telah didaftarkan dengan Pendaftar Mualaf?

Rakyat Mangsa Pertindihan Kuasa Perundungan

Kegagalan memberikan satu jawapan mutlak melibatkan krisis pertindihan kuasa Sivil dan Syariah ini terus menjadikan mereka yang terperangkap dalam krisis ini sebagai mangsa keadaan. Ini dapat dilihat dalam kes melibatkan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah dengan bekas isterinya S Deepa.

Izwan Abdullah didakwa melarikan anak lelakinya, Mithran daripada ibunya dua hari selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan pada 7 April yang lalu yang memberikan hak penjagaan kedua-dua anak mereka kepada bekas isterinya. Izwan Abdullah pula yang telah memeluk Islam pada tahun 2011 dan turut menukarkan agama anaknya tanpa pengetahuan S. Deepa. Pada masa yang sama, Izwan turut memperolehi perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan anaknya.

Malah, kes M Indira Ghandhi dengan bekas suaminya Riduan Abdullah yang turut mengalami nasib sama apabila Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan kepada si bapa sementara Mahkamah Tinggi Ipoh pada Ogos 2013 pula membatalkan sijil penukaran agama melibatkan kanak-kanak berkenaan dan mengarahkan anak bongsu pasangan berkenaan yang berada dibawah jagaan Riduan Abdullah dipulangkan semula kepada ibunya selepas memenangi hak penjagaan ketiga-tiga anaknya pada 2011.

Mampukah Mahkamah Syariah Setaraf dengan Mahkamah Sivil?

Hakikatnya, fungsi Mahkamah Syariah hanya bertumpu kepada penyelesaian isu kekeluargaan seperti perkahwinan dan cerai sementara Mahkamah Sivil lebih tertumpu kepada soal-soal fundamental. Maka dalam hal penghakiman melibatkan lelaki-lelaki transgender di Mahkamah Syariah menunjukkan penghakiman dibuat atas kefahaman yang jelas bahawa apa-apa perilaku yang tidak mengikut norma fahaman Islam itu adalah salah.

Namun, dalam konteks Mahkamah Sivil, hujah pembelaan yang disokong dengan laporan doktor mengenai kecelaruan identiti gender (GID). Pertembungan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Syariah dalam kes ini khususnya mempunyai implikasi serius kepada sistem perundangan negara apabila asas penghakiman Mahkamah Sivil ini boleh dijadikan sebagai rujukan dalam kes-kes perbicaraan yang sama pada masa hadapan nanti.

Hakikatnya, keputusan Mahkamah Rayuan itu secara langsung mengiktiraf golongan transgender dan hak kebebasan mereka. Dan pada masa yang sama mencabar hukum Syariah dan perundangan Islam. Dalam kekeliruan perundangan negara yang dilihat amat parah, yang menjadi mangsanya adalah mereka yang berurusan dengan sistem yang serabut ini.

Dua persoalan penting yang harus dijawab oleh pakar-pakar perundangan negara adalah apakah sistem perundangan Syariah dinegara ini sudah berada pada tahap kematangan yang tinggi dalam berurusan dengan kes-kes yang memerlukan kuasa yang lebih besar dan setaraf dengan Mahkamah Sivil. Dan sekiranya Mahkamah Syariah sudah bersedia untuk berdepan dengan tuntutan-tuntutan kes yang bersifat fundamental ini maka apakah parlimen juga sudah bersedia untuk memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah?

Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman

 

Sumber: FMT

Anjang: Semuanya dalam proses, akan sampai masanya, Allah akan tunjukkan kebenaran itu satu kebenaran. Ketika itu kebatilan akan lenyap. Yakinlah!

 

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *