Modus operandi mahasiswa rempuh pagar sama dengan PR

Kongsikan kepada yang lain
Share

Modus operandi mahasiswa rempuh pagar sama dengan PR

FMT | Nov 12, 14 5:59am

Oleh Edwin Michael Konsep ‘roadshow’ sekumpulan anak-anak muda yang mengelilingi institusi pengajian tinggi awam negara yang diketuai oleh Fahmi Zainol, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya …

Oleh Edwin Michael

Konsep ‘roadshow’ sekumpulan anak-anak muda yang mengelilingi institusi pengajian tinggi awam negara yang diketuai oleh Fahmi Zainol, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) ini mirip dengan konsep roadshow yang dibuat oleh Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Rafizi Ramli yang ketika itu bersungguh-sungguh mahukan Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor. Apakah ini hanya satu kebetulan apabila modus operasi mahasiswa-mahasiswa yang bakal melumpuhkan Putrajaya ini sama dengan PR?

Tahniah anak-anak muda UMS

Walaupun kelompok mahasiswa-mahasiswa ini diangkat sebagai hero dan diberikan segenap perhatian persis seperti apa yang dilakukan terhadap Adam Adli suatu ketika dulu, namun keadaannya nyata berbeza apabila kehadiran mahasiswa ‘rempuh pagar’ ini ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang disambut dalam keadaan yang penuh ketegangan dan kebencian.

Walaupun hakikatnya, terdapat cubaan daripada pihak UMS itu sendiri untuk menyekat kemasukkan kumpulan ekstremis ini namun rancangan mereka untuk menyebarkan propaganda ini nyata digagalkan oleh para pelajar UMS itu.

Maka, ini menimbulkan persoalan betapa jurang mentaliti dan pemikiran waras anak-anak muda UMS ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan mahasiswa yang bersifat ekstremis hinggakan sanggup untuk merempuh dan merobohkan pagar semata-mata untuk memberikan laluan kepada politikus Anwar Ibrahim yang sekadar memberikan ucapan politiknya selama 20 minit yang merayu belas ehsan dan simpati melibatkan perbicaraan kes liwat II beliau.

Mahasiswa pro aspirasi boneka PR

Keangkuhan kumpulan ini yang terus menimbulkan masalah di kampus-kampus universiti adalah bukti betapa kumpulan mahasiswa Pro Aspirasi adalah tidak berdaya saing dan lembap dalam melawan menangkis anasir-anasir yang cuba bawakan ideologi bahaya PR yang hanya mahukan mahasiswa menjadi boneka politikus dalam usaha meraih sokongan moral.

Apa yang paling memalukan adalah sikap kumpulan Pro Aspirasi di kampus-kampus universiti di Semenanjung ini yang bersembunyi dan takut berdepan dengan kumpulan ini sedangkan keadaannya jauh berbeza dengan mahasiswa UMS yang berani berdepan dengan anasir yang mahu menganggu gugat keharmonian kampus UMS. Ini hanya menimbulkan persoalan sejauh mana mahasiswa Pro Aspirasi di universiti awam mampu untuk mengemudi dan melakukan transformasi pemikiran dalam kalangan mahasiswa jika perkara sekecil ini pun mereka tiada kemampuan untuk menanganinya?

Siapa biayai siapa?

Dakwaan Fahmi Zainol bahawa terdapat penyaluran dana sebanyak RM10,000 daripada UMNO kepada jentera pro-Aspirasi ketika pilihan raya kampus lalu tidak seharusnya dipandang sepi. Namun, hingga kini tiada sebarang laporan polis mahupun laporan penyelewengan dibuat kepada SPRM. Dakwaan hanya bersifat dakwaan seperti mana Rafizi Ramli pernah mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti penyelewengan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim namun hingga kini segala dakwaanya hanya tinggal misteri.

Yang menjadi persoalannya adalah siapa yang membiayai kumpulan anak-anak muda hinggakan ada peruntukkan sendiri untuk bergerak ke Sabah? Dan yang paling penting ini ialah siapa yang berada dibelakang kontroversi ‘rempuh pagar’ ini? Adalah harus difahami bahawa jika kita menuduh satu pihak bahawa mereka terlibat dalam korupsi maka wajar jugak pihak yang menuduh itu menjelaskan sewajarnya siapa yang membiayai kewangan mereka ini.

Isu-isu kebajikan mahasiswa seperti yuran pengajian yang tinggi di institusi pengajian tinggi swasta, pinjaman PTPTN, harga buku teks yang mahal mencecah ratusan ringgit mahupun infrastruktur universiti yang masih tidak menggambarkan mentaliti institusi pendidikan kelas pertama. Namun hampanya, isu-isu yang dibawakan oleh kumpulan ini hanyalah bersifat untuk berjuang membela politikus yang terpilih dan kemudiannya menyalahkan UMNO untuk sekadar meraih simpati penyokong PR dan percayalah suatu hari nanti isu mahasiswa entah kemana, PR entah kemana.

Apa pun, jangan jadi topeng kepada politik murahan semata-mata untuk survival kuasa.

Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman.

Sumber: FMT

Anjang: Perjuangan yg suci kena bermula dari kasih sayang kerana Allah itu Ar Rahman dan Ar Rahim.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *