***Hikmah Sakit- boleh menulis***

Kongsikan kepada yang lain
Share
Kabin Gate.
Kabin Gate.
Salam ceria,
Petang ini hujan turun dengan lebat di AB. Menimpa bumbung zing kilang yang melindungi kabin tempat anjang berteduh dari panas dan hujan. Melahirkan bunyi yang kuat hingga menenggelamkan kicauan burung di belukar seberang parit. Juga bunyi burung merbuk berpasang-pasangan di hujung dahan dan dahan pokok getah. Menghilangkan suara rengekan anak kambing di kandang.IMG_20150103_113557_hdr
Alhamdulillah, hujan turun. Rahmat Tuhan. 150 anak pokok yang ditanam Akmal di celah-celah pokok limau tak perlu di siram. Begitu juga 56 anak pokok Betik, dapat air hujan terus dari langit. Dengan bantuan Us Mislan, anjang telah menanam 14 anak kelapa di sepanjang jurang menghala tebing sungai. Kesemuanya kelapa mawar kecuali 2 biji, kelapa bukit dan kelapa telinga kambing. Tujuannya untuk menjadi penghalang angin kencang dari laut menerjah ke kilang. Alhamdulillah, hujan turun ni, tak perlu disiram petang ni.
IMG_20150105_091023_hdr

Afif pun tak perlu jirus pokok-pokok bunga melati, kenanga dan cempaka yang ditanam Pn Azura depan pintu surau, di tebing dataran. Sempat anjang tambah 4 pokok bunga melur di celah-celah pokok-pokok bunga tadi. Itupun berkat En Saadun yang dah siapkan lobang semalam. Dia gali guna cakar besi je. Moga-moga tiupan angin dari arah muara sungai selepas ini membawa haruman wangi bunga-bunga ini.

Tabib Zailan macam tak jadi pergi ke Australia je!
Tabib Zailan macam tak jadi pergi ke Australia je!

Umar masih setia mengecat dinding dan tiang surau walaupun warnanya tak ‘naik’. Macam sama je antara dinding dengan tiang. Syahid memasang tingkap sliding. Kalau dipasang papan cantik di hujung bumbung zing, surau ni kelihatan sudah siap 100%. Walaupun sebenarnya banyak lagi yang perlu di ‘touch up’. Tabib Zailan sedang menyiapkan besi-besi untuk dipasang siling. Us Ilhami entah bila nak balik untuk siapkan wiring. Si Yazid N9 yang janji balik 1 minggu, tak muncul-muncul walaupun dah lebih 1 bulan. Manusia dipegang pada janji, kerbau dipegang pada tali, Yazid…. tak tau nak pegang kat mana.

Talhah, Isa dan Athuf di tapak pejabat kilang. Berbakti demi selesaikan Fardhu Kifayah penduduk Kota Tinggi
Talhah, Isa dan Athuf di tapak pejabat kilang. Berbakti demi selesaikan Fardhu Kifayah penduduk Kota Tinggi

Talhah dengan bantuan Yob, Athuf dan beberapa remaja, siapkan ‘tapak gajah’ untuk pejabat kilang. Kreatif dia menggunakan besi-besi terpakai untuk mencipta rekaannya. Yang penting perancangan En Qamar dilaksanakan. Pejabat kena segera dibangunkan kerana suis utama wiring kilang akan diletakkan di situ. En Zabidi dah hubungi kontraktor 3 phase untuk urusan kemasukan letrik ke kilang. Alhamdulillah, boleh guna nama yang sama di surau. Nama pertubuhan. Untuk permulaan ini, RM2K diperlukan untuk pengurusan dan bayaran pendahuluan yang totalnya hampir 5K.

En Zabidi dan teamnya sedang siapkan lantai kilang. Ya Allah kembalikan Lokman segera...
En Zabidi dan teamnya sedang siapkan lantai kilang. Ya Allah kembalikan Lokman segera…

Lantai simen kilang pula sedang di’render’ dengan simen yang dicampur bahan ‘water proofing’ untuk pastikan air tidak meresap masuk melalui lantai simen. Ketua kontraktornya, En Zabidi. Untuk leveling, dia tak guna tali, dia guna batas. Tumpukkan simen sesuai dengan ketinggian/ketebalan yang dikehendaki, tuangkan simen lalu ditarik guna kayu. Siapa yang bantu? Muizzuddin dan Maher.
Selesai meratakan simen, Nazirul dan Nasrul pula melicinkan dengan bancuhan simen tanpa pasir. Budak-budak ni dah pakar, bukan Maher je mahir, dah semua mahir tanpa masuk GIAT MARA.

Mixer di kendali oleh beberapa orang, antaranya Nu’man, Faiz, Rafiq dll. Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran ni anjang tak berani bantu. Takut menganggu. Takat tolong kutip-kutip karung simen dan bakar boleh la. Kerja-kerja kebersihan.

En Nawi dan En Saadun membuat operasi kebersihan dan kekemasan sekeliling penginapan di belakang surau. Pagi tadi anjang buat kuliah tentang taubat. Rupanya bila Allah menyatakan Allah menyukai kepada orang yang bertaubat, Allah tak gunakan lafaz:
ان الله يحب التائبين
Tetapi Allah mengatakan di dalam Al Quran:
ان الله يحب التوابين ويحب المتطهرين
Kerana apa? Kerana terdapat perbezaan di antara at Taaibiin dan at Tawwaabiin.
Dalam Bahasa Arab, bila bertambah huruf, akan bertambah makna. At Taaibiin orang yang bertaubat. Mungkin sekali sahaja, atau sekali sekala. Tetapi At Tawwaabiin orang yang sentiasa bertaubat. Mengulang-ulangkan taubat. Merekalah kecintaan Allah. Rasulullah sendiri sentiasa bertaubat walhal baginda ma’sum sebagai qudwah/contoh kepada umatnya.

Maklumlah kita sentiasa berbuat salah dan dosa. ‘Bumi mana yang tak ditimpa hujan’. Atas kasih sayang Allah, diberi jalan keluar, diajar kita bertaubat. Marilah kita bertaubat dan perbanyakkan taubat.

Suatu masa ada seorang badwi datang kepada Sayidina Ali ra dan bertanya,

‘Wahai Ali, aku ini banyak membuat dosa, apa perlu aku buat ?’.

Jawab sayyidina Ali, ‘Bertaubatlah!’.

Dengan gembira si badwi itu pun beredar. Selang beberapa hari dia datang kembali kepada Saiyidina Ali bertanya lagi.

‘Aku berbuat dosa lagi, apa perlu aku buat…?’.

Jawab Sayidina Ali, ‘Bertaubatlah….!’.

Si Badwi itu termenung sebentar, tetapi sayidina Ali segera memberi isyarat dan memberi semangat kepadanya. Merasa puas dengan jawapan itu, lalu ia beredar.

Selepas beberapa minggu si badwi itu tiba-tiba muncul kembali mengadap Sayidina Ali ra. Lalu dia bertanya lagi sekali soalan yang sama seperti sebelumnya. Dengan tenang Sayidina Ali menjawab, jawapan yang sama seperti dahulu. Kerana tiada jawapan lain yang diberi dia beredar dengan keadaan sedikit kecewa.

Namun belumpun jauh dia beredar, dia berpatah balik kepada Sayidina Ali lalu bertanya,

‘Sampai bila perlu untuk aku berbuat dosa…, kemudian taubat lagi….?’.

Lalu Sayidina Ali menjawab, ‘…..sampai yang putus asa adalah syaitan.., bukan kamu!!’.

Beberapa tahun selepas itu Sayidina Ali ra terjumpa semula badwi tersebut dan dia sudah pun menjadi tabiin yang sangat soleh.

Uhibbus solihina wa lastu minhum….

Bila mengingat kisah ini, terlitas di hati anjang, syaitan putus asa ke? Rupanya ada kisah Syaitan berputus asa, walaupun ia tak putus asa secara mutlak tetapi ‘at least’ dia putus asa dengan salah satu perangkapnya yang tidak berkesan menghalang seorang yang ikhlas beribadah, begini kisahnya.

Kisah ini bermula apabila seorang pemuda bangun pada awal pagi untuk solat Subuh di masjid. Dia berpakaian, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid. Di pertengahan jalan menuju ke masjid, pemuda tersebut jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit, membersihkan bajunya dan pulang kembali ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid.

Dalam perjalanan ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yang sama. Dia sekali lagi bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah, dia sekali lagi berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid. Di tengah jalan menuju ke masjid, dia bertemu seorang lelaki yang memegang lampu. Dia menanyakan identiti lelaki tersebut dan lelaki tersebut menjawab “Saya melihat anda jatuh dua kali di perjalanan menuju ke masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan anda.”

Pemuda tersebut mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan menuju ke masjid. Apabila mereka sampai di masjid, pemuda tersebut bertanya kepada lelaki yang membawa lampu untuk masuk dan solat Subuh bersamanya. Lelaki itu menolak, pemuda itu mengajak lagi hingga berkali-kali tetapi jawapannya sama.

Pemuda itu bertanya, kenapa menolak untuk masuk dan solat Subuh bersama? Lalu lelaki itu menjawab… “Aku adalah IBLIS…” Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Iblis kemudian menjelaskan, “Saya melihat kamu berjalan ke masjid dan sayalah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah memaafkan SEMUA DOSAMU. Saya membuatkan kamu jatuh kali kedua da itupun tidak membuatkan kamu berubah fikiran, bahkan kamu tetap memutuskan kembali untuk ke masjid. Kerana hal itu, Allah memaafkan DOSA-DOSA SELURUH ANGGOTA KELUARGAMU.

Saya bimbang jika saya membuat kamu jatuh untuk kali ketiga, jangan-jangan Allah akan memaafkan dosa dosa seluruh penduduk kampungmu jadi saya harus memastikan bahawa kamu sampai di masjid dengan selamat…”

Oleh itu jangan berputus asa dalam membuat kebaikan. Jangan berputus asa dalam bertaubat. Rupa-rupanya ada diantara kebaikan yang kita buat, faedahnya diperolehi oleh seluruh ahli keluarga kita. Betapalah kalau kebaikan itu memang untuk membangunkan masyarakat Islam model di sesuatu tempat.

Ampun maaf.

Kabin Gate AB
6.34pm, Jan 5, 2015

 

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

7 thoughts on “***Hikmah Sakit- boleh menulis***

  • January 5, 2015 at 7:07 pm
    Permalink

    Ya Allah.. Cepatlah syak balik AB…

    Reply
    • January 5, 2015 at 9:48 pm
      Permalink

      Moga Mubarak dan Fakeh boleh cover tugas dan tangani remaja mcm Syak… ya Allah bantulah! ya Rasul madad!

      Reply
  • January 5, 2015 at 7:46 pm
    Permalink

    Assalamu’alaikum Tuan maaf mencelah. Ada juga org kata kaedah utk memecahkan angin dengan menanam buluh. Samada buluh hiasan atau buluh lemang. Sekian adonya. 🙂

    Reply
    • January 5, 2015 at 9:46 pm
      Permalink

      Oh… nak kena cari buluh lepas ni. terima kasih atas cadangan.

      Reply
  • January 5, 2015 at 9:24 pm
    Permalink

    Betul hikmah dtg ketika sakit..padat dgn informasi dan panduan..Tuan sakit apa? Dah lama sakit?

    Reply
    • January 5, 2015 at 9:45 pm
      Permalink

      Ana ada diabetes dan darah tinggi. Cuma hari ni lebih dari itu…

      Reply
  • January 7, 2015 at 8:00 am
    Permalink

    Allah malu nye.. Doakan ana supaya mnjdy org yg bleh brpegang pde jnji…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *