***Takutkan Tuhan***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria,
Mengapa kita perlu rasa takut pada Tuhan. Takut yang dituntut pula adalah takut setakut-takutnya. Rasa takut pada Tuhan sebenarnya adalah kemuncak rasa kehambaan seorang hamba..

Rasa takut adalah hasil rasa cinta. Tanpa rasa cinta, kita tak akan rasa takut. Setelah cinta barulah kita takut. Contohnya kita tentu rasa takut menolak permintaan ibu. Kenapa? Kerana sayangkan ibu. Kerana cintakan ibu. Takut kalau tolak permintaannya, ibu terasa hati. Ibu merajuk. Ibu menyimpan perasaan. Perasaan takut dengan Tuhan adalah setelah kenal dan cinta. Takut terputus hubungan. Takut terputus cinta. Takut tersilap. Takut tersalah. Takut Allah tarik hidayah. Takut mati suul khatimah.

Tn TPE membantu En Ismail memasang siling surau Kg Air Bintan.
Tn TPE membantu En Ismail memasang siling surau Kg Air Bintan.

Rasa cinta di buktikan dengan tindakan. Rasa di hati. Tak siapa tahu. Allah saja yang tahu. Tapi ada tanda dan bukti. Itulah tindakan lahir. Tanpa tindakan, cinta hanya mainan bibir si munafik. Bukti cinta itulah tindakan yang disebut pengorbanan.

Tanpa rasa takut kita tidak akan sampai ke hujung dalam perjuangan membela Allah dan Rasul. Memperjuangkan Allah bererti memperjuangkan agar diri kita dan orang lain kenal Allah. Agar Allah ditakuti. Bagaimana kita ingin memperjuangkan sesuatu yang kita tidak miliki?

Tanpa rasa takut, selawat, sembahyang, wirid tidak ada nilai di sisi Tuhan. Kerana Allah hanya menerima amalan dari hamba-hamba-Nya yang beribadah dengan penuh rasa takut iaitu dengan hati yang tunduk. Khusyu’, khudhu’ di depan Tuhan. Beribadah tanpa rasa takut diumpamakan seseorang menghadiahkan seorang raja sesuatu tetapi tidak menjaga perasaan Raja. Dia rasakan hadiahnya terlalu hebat, dia lupa kehebatan Raja sedangkan hadiahnya juga adalah dari limpah kurnia Raja.

Tanpa rasa takut, kita akan hanyut dengan kesombongan. Orang yang ego tidak akan mampu memaafkan kawan. Sedangkan kawan tak akan terlepas dari salah dan silap. Tanpa rasa takut Tuhan, kita tidak dapat beri kasih sayang pada orang di bawah kita, sedangkan memperolehi kasih sayang itulah kebahagiaan mereka. Tanpa rasa takut, kita tidak akan dapat berlapang dada.‎ Manusia sangat banyak ragamnya. Berlapang dadalah jalan terbaik untuk berinteraksi sesama manusia. Terimalah seseorang seadanya. Asalkan tidak melanggar prinsip perjuangan. Tetapi, orang yang takut Tuhan saja yang mampu berlapang dada.

Bahayanya tidak takut Allah kerana tanpa rasa takut kita mudah pandang hina pada orang. Mengapa pandang hina kepada bukan Islam sedangkan hidayah taufik milik Allah. Dia boleh memberinya kepada orang itu, Dia juga boleh menariknya dari kita, na’uzubillah min zalik. Mengapa pandang hina ahli maksiat, mungkin hatinya sentiasa menangis, kesal dengan maksiatnya. Mungkin suatu hari nanti dia berubah menjadi taat setaat-taatnya. Tanpa takutkan Allah, kita mudah benci seseorang. Tidak boleh terima kelemahan orang. Sedangkan hakikatnya kelemahan orang itu telah ditakdirkan.‎ Mungkin sebagai ujian kepada kita.

Tanpa takut kita tidak terima orang hina, orang marah, caci dan kesusahan sedangkan semuanya itu adalah ujian Tuhan pada hamba-Nya. Ujian adalah tanda kasih sayang Tuhan pada hamba-Nya.‎ Para sahabat sangat cemas bila tidak diuji. Mereka takut Tuhan tidak beri perhatian pada mereka.

Kita kena takut kerana banyak tanggungjawab kita tak selesaikan. ‎Kepada Allah, kepada Rasul, kepada pemimpin. Tanggung jawab kepada keluarga dan pengikut. Tanggung jawab kepada agama, bangsa dan negara. Semuanya itu akan ditanya oleh Allah kelak. Allah… tak mampunya!! Patutlah Saiyidina Abu Bakar pernah berkata; “Alangkah baiknya kalau aku hanya rumput-rumput yang di makan binatang.”

Kita sangat memerlukan Tuhan‎.
Bantulah kami untuk dapat rasa takutkan-Mu Tuhan. Moga segala kesusahan kami dalam perjuangan, Tuhan gantikan dengan rasa-rasa takutkan-Nya‎.
Amin…

Sangkar burung AB
6.20pm, Jan 10, 2015

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *