***Pak Ya Kafe Dalam Kenangan***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Pak Ya dan Che DaSalam ceria.
Pagi Selasa anjang berjumpa dengan kawan-kawan Zon Syria dan Bakeri di PMI. Tak ramai yang datang. Memang tak panggil semua. Panggil yang pentol-pentol je. Anas Kelate tak ada. Kawan-kawan dari Bukit Beruntung yang janji nak datang pun tak kunjung tiba. Habis program, minum-minum di Laman Ikhwan sambil sembang dengan En Mazlan. Lepas tu ke kedai gunting rambut, ada temujanji dengan andak.

Selesai cukur rambut dan massage ala Indian Barber, anjang ke kafe Ikhwan. Cadang nak jumpa Pak Ya. Lama tak sembang dengannya. Selama anjang di AB, jarang dapat jumpa Pak Ya. Sebelum ni kerap juga, berbual dengannya bersama Dr Azman Bank Rakyat. Atau Pak Cik India yang dah pakai pundi plastik untuk urine. Pelanggan lama. Bayar RM1 untuk roti kosong dan teh tarik cawan.

“Pak Ya ada?” Anjang menyapa Us Jamil Nurseri yang sedang makan di meja bersebelahan sudut membancuh air.

“Ni Pak Ya!” Kata Us Jamil spontan sambil menunjuk kepada seorang yang sederhana kecil badannya, berkulit hitam manis.

“Ni Pak Ya Pomen, ana nak jumpa Pak Ya Kafe.” jawab anjang sambil bersalaman dengan semua yang sedang makan di situ.

Ya, Pak Ya ni ramai dalam GISBH. Asal nama Zakaria atau Yahya, orang panggil Pak Ya. Ada Pak Ya Kafe Bt Hampar, Pak Ya Kurma, Pak Ya Tabib, Cikgu Ya/Pak Ya Kuantan, Cikgu Ya/Pak Ya Sabah (asal Melaka), Pak Ya Pomen, Pak Ya Sarawak dan Pak Ya Kafe BCH. Mungkin ada lagi yang anjang lupa.

Nampak Sakinah sibuk melayan pelanggan yang semakin ramai makan minum di Kafe ni. Sebenarnya sejak beberapa bulan kebelakangan ni, pelanggan bukan GISB semakin ramai di kafe, jualan pun bertambah. Qusyai tak perasan pula di mana, mungkin membancuh air. Anjang menuju ke Naim yang sedang menggoreng roti canai.

“Ayah mana Naim?”
“Ayah kurang sehat, ada di rumah.”
“Ooh. Kirim salam pada ayah. Ana nak ke Air Bintan. Minta maaf banyak, tak sempat jumpa.”

Dalam hati anjang terdetik, dah keluar hospital, rasanya dah sehat Pak Ya ni. Mungin dia letih sikit. Tak tergerak pula nak menziarahinya di rumah sebab anjang nak bergegas ke Air Bintan. Begitulah kita sebagai manusia, hamba yang lemah. Langsung tak tahu, apa yang akan berlaku sedetik lagi. Sejam lagi. Beberapa jam lagi, juga beberapa hari minggu dan bulan lagi. Tuhanlah yang Maha Mengetahui.
Sebelum zohor anjang dah mula bergerak ke selatan. Ummu Salimah dan Syafiqah sekali juga Jiddah. Lepas singgah solat dan makan sebentar di R and R Guthrie, kami teruskan perjalanan. Jalan masih sibuk walaupun cuti Tahun Baru Cina telah berakhir. Ketika melewati Seremban, Ummu Salimah membacakan mesej yang sukar anjang mempercayainya; Pak Ya Kafe BCH telah meninggal dunia.

Berbagai perasaan menerpa ke dada anjang. Sedih, sayu, cemas, tak percaya, ralat yang amat sangat silih berganti. Mengapalah anjang tak menziarahinya tadi? Sekarang dia sudah pergi. Pergi yang tak akan kembali lagi. Itulah takdir namanya. Air mata sahaja yang mampu berkata-kata ketika surah Al-Fatihah diucapkan. Anjang tak sempat bertemu Pak Ya, rakan perjuangan di bidang kafe dan catering demi menegakkan sistem Islam melalui medium ekonomi. Orang yang sangat bersungguh-sungguh dengan amanah yang diberi. Sangat fokus pada tugasnya. Dulu semasa bekerja di UDA pun begitu. Pernah mendapat anugerah pekerja cemerlang.

Singgah di Kluang bertemu dengan En Rashidi Zakaria, dia baru sahaja bertemu Pak Ya beberapa hari sebelum itu dan Pak Ya kata dia dah sehat. Baru keluar hospital. Ada masalah di paru-paru. Cuma kakinya pula bengkak. Tapi Pak Ya nampak ceria seperti biasa. Itulah ajal namanya, tak mengira siapa? Bila? Bagaimana?

Bukan anjang je yang macam tak percaya, Cik Da isteri Pak Ya pun tak terasa yang Pak Ya nak pergi. Begitu juga semua anak-anak. Semasa ada tawaran katering untuk 400 orang, isteri dan anak-anak dikuatkan oleh Pak Ya,
“Kena ambil, jangan kecewakan orang yang nak khidmat dari kita. Kita buat atas nama Allah dan Rasul.”
Pak Ya yang kurang sehat pun gagah nak membantu untuk memastikan katering berjalan lancar walaupun diminta agar berehat oleh ahli keluarga. Begitulah kesungguhan beliau.

Pak Ya Kafe BCH dalam Kenangan
Pak Ya Kafe BCH dalam Kenangan

Di malam sebelum pemergiannya, Pak Ya banyak kali bersiap-siap nak bersolat, walhal belum masuk waktu. Malah berkali-kali dia berkata kepada Che Na, ada ramai orang datang ke rumah sedangkan mereka hanya berdua. (Mungkin para rijal menziarahi Pak Ya). Akhirnya Che Na menemaninya berselawat hingga ke Subuh.

Siangnya begitu juga, beberapa kali Pak Ya bersiap untuk menunaikan fardhu solat, sedangkan belum masuk waktu. Sehinggalah waktu zohor, ketika hendak menunaikan solat tiba-tiba dia memberitahu dia terbuang air kecil, lalu dibawa ke bilik air untuk bersuci dan membaharui wudhu’. Di bilik air Pak Ya seperti tidak sedarkan diri lalu Che Na menggagalkan diri memapahnya ke tepi bilik air.

Oleh kerana tidak mampu menguruskannya seorang diri, Che Na terpaksa menelefon anaknya dan ketika itu sebenarnya dia dapat rasakan sebenarnya Pak Ya dah pergi. Pak Ya pergi tanpa Che Na mendengar hembusan nafas terakhir. Pak Ya pun tak menceritakan dia menderita sakit. Anehnya kematian Pak Ya.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa Pak Ya, diangkat darjatnya dan Allah tempatkan roh Pak Ya bersama para aulia dan solehin. Kami tetap akan merindui Pak Ya. Doakan kami di sana.

Al-Fatihah.

Kabin Gate, AB
4.10pm, Feb 27, 2015

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *