***Muhammad bin Sulaiman Al-Jazuliy***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.
Tengahari 16hb April 2016, kami ‘chek out’ dari Hotel Maamon di tengah kota Casablanca, Morocco atau dalam bahasa Arab, Ad Darul Baidha’, Al Maghrib setelah menginap 3 malam di situ. Solahuddin menghantar orangnya untuk berkhidmat dengan kami. Yasin namanya. Dengan kereta buatan Maghribi dari Syarikat The Renault – Nissan Group dengan nama Dacia kami bergerak ke Marakesh, sebuah bandar pelancongan terkenal di Morocco.

Perjalanan sejauh lebih kurang 242km itu memakan masa 2jam 45 minit. Alhamdulillah, Yasin seorang pemuda yang mesra, melayan soalan-soalan kami berkaitan Maghribi. Petang itu kami sampai dan menginap di Imperial Holiday Hotel & SPA di Gueliz. Bilik tiga katil di tingkat 5 sungguh luas dan selesa.

Ringkas cerita, pada 17hb April kami menziarahi maqam beberapa orang wali Allah di Kota Lama Marrakech ini. Marrakech selain dikenali sebagai terkenal sebagai Bandar Merah kerana bangunannya banyak berwarna merah, juga dikenali sebagai Bandar 7 orang wali. Mengikut sejarah, ada ramai wali Allah yang pernah berada di sini tetapi ada 7 orang yang paling terkenal, di antaranya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Al-Jazuliy.

Nama beliau adalah Abu Abdillah Muhammad Ibn Sulaiman Al-Jazuliy Asy-Simlaliy Asy-Syarif Al-Hasaniy. Beliau dilahirkan di Jazulah iaitu di dalam sebuah kabilah Barbar di pantai negeri Maghribi atau Morocco, Afrika Utara. Tanah Maghribi dikenali sebagai pusat melahirkan ulama dan para wali, bahkan di kota Fas Morocco saja terdapat terlalu ramai ulama yang lahir dan dikuburkan di kota tersebut, yang dikenal melalui berbagai kitab karangan mereka yang beredar di seluruh pelusuk dunia. Imam Al-Jazuliy belajar di Fas iaitu sebuah kota ilmu yang cukup terkenal. Dikota Fas beliau belajar hingga menguasai ilmu yang bermacam-macam sehingga namanya tersangat masyhur, lebih-lebih lagi setelah beliau mengarang kitab “Dalail al Khairat”.

Bagaimana bermulanya Syeikh Muhammad Ibn Sulaiman Al-Jazuliy terdetik untuk mengarang kitab selawat Dalail Khairat?

Suatu ketika, sedang Syeikh Muhammad Al-Jazuliy berjalan-jalan di padang pasir, masuklah waktu sembahyang. Beliau berusaha mencari sumber air untuk berwudhu’ dan melepaskan dahaga. Setelah beberapa ketika menyusuri padang pasir, beliau menemui sebuah telaga yang sangat dalam. Telaga itu masih mempunyai air, tapi malangnya Syeikh Al-Jazuliy tak berjumpa alat untuk mengambil air dari telaga tersebut.

Ketika beliau sedang kebingungan mencari alat untuk mengambil air, tiba-tiba beliau melihat seorang budak perempuan kecil menghampiri beliau dari tempat yang agak tinggi. Budak itu bertanya, “Siapakah tuan, mengapa tuan berada di tempat yang sesunyi ini?”

Syeikh Al-Jazuliy lantas menerangkan tentang dirinya dan menceritakan kesulitan yang sedang dihadapinya. Budak itu menjawab, “Tuan adalah seseorang yang terpuji yang terkenal karena kesolehan!” Budak perempuan melihat itu melihat Syeikh Al-Jazuliy kelihatan tiada jalan untuk mengambil air dari telaga lama yang dalam itu. Setelah agak lama mencari namun tak juga menemukan alat untuk mengambil air, kanak-kanak kecil itu datang di tepi telaga lalu meludah ke dalamnya.

Dengan izin Allah, satu keajaiban berlaku, tiba-tiba air telaga itu naik sampai ke atas permukaan tanah! Setelah minum dan mengambil wudhu’, Syeikh Al-Jazuliy berkata, “Wahai anak kecil, sungguh aku kagum kepadamu! Dengan amalan apakah engkau mendapat kedudukan setinggi ini?” Anak perempuan kecil itu menjawab, “Dengan membanyakkan berselawat kepada orang yang apabila ia (Nabi Muhammad) berjalan di hutan belantara, binatang-binatang buas akan mengibas-ngibaskan ekornya (menjadi jinak).”

Setelah mendengar kata-kata anak kecil itu, Syeikh Al-Jazuliy terus bernazar untuk menyusun sebuah kitab yang membahaskan tentang selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Setelah kitab tersebut selesai ditulisnya, kitab itu dinamakan, ‘Dalailul Khairat’. Sebuah kitab yang masih terus dibaca hingga kini karena keberkatannya yang luar biasa. Sebelum beliau menyebarkan kitab itu, Syeikh Al-Jazuliy mendapat ilham untuk pulang kembali ke tanah kelahirannya. Maka beliau kembali dari Fas ke kampungnya di tepi daerah Jazulah. Kemudian beliau dengan bertemu dengan Syaikh Abu Abdilah Muhammad bin Abdullah As-Shaghir seorang penduduk di pinggir kampung lalu beliau berguru Dalail kepadanya. Kemudian Syeikh Al-Jazuliy melakukan khalwat untuk beribadah selama 14 tahun.

Setelah itu beliau keluar dan khalwatnya untuk mengabdikan diri dan menyempurnakan pentashihan (pembetulan) kitab ‘Dalail Khairat’ pada hari jum’at, 6 Rabi’ul Awwal 862 H kira-kira lapan tahun sebelum hari kematiannya. Beliau meninggal dunia ketika sembahyang Subuh pada sujud yang pertama (atau pada sujud yang kedua menurut satu riwayat) pada tarikh 16 Rabi’ul Awwal 870 H. Jasadnya dimakamkan selepas zuhur pada hari itu juga di tengah masjid yang beliau bangunkan.

Sebagian karamah Syeikh Al-Jazuliy adalah setelah 77 tahun kematiannya, makamnya dipindahkan dari kota Sus ke kota Marakesh, dan ternyata ketika jenazah beliau dikeluarkan dari kubur, keadaan jenazah itu masih kekal seperti ketika beliau dimakamkan. Rambut dan janggutnya masih nampak bersih dan jelas seperti pada hari beliau dimakamkan. Makam beliau di Marakesh sering diziarahi oleh ramai orang.

Sebagian besar dan penziarah itu membaca kitab Dalail Al-Khairat di sana. Syeikh Ahmad At-Tijani sangat suka membaca kitab selawat Dalailul Khairat, bahkan beliau pernah menulis semula kitab Dalail Khairat dengan tulisan tangannya. Ia dilakukan kerana semata-mata ingin mengambil keberkatan dari Rasulullah SAW.

Begitulah kisahnya. Anjang pun datang dengan Redha dan Nazif untuk ambil keberkatan. Kita tak punya apa-apa, dengan keberkatan sajalah kita dimuliakan. Setelah kami berdoa memohon kepada Allah bantuan-bantuanNya dengan keberkatan Syeikh Muhammad Al-Jazuli, kami bertemu warisnya dari anak perempuannya yang ada di sisi maqam, sedang membaca Al-Quran. Seorang lelaki tua tetapi mempunyai raut muka yang sangat tenang dan menenangkan. Darinya kami mohon didoakan agar langkah-langkah perjuangan ini terus dibantu.

Ada kejadian yang agak pelik berlaku tengahari itu bila seorang perempuan muda menghadiahkan anjang satu tasbih kayu yang telah dia gunakan berwirid di sisi maqam dan diusap ke maqam untuk mengambil keberkatan. Korang nak ke tasbih tu?

Untuk mengambil keberkatan juga, anjang namakan anak pertama Qushairi dan Nik Fatimah, Muhammad Al-Jazuliy.

Bilik Apt 11, GISBH ZAU,
Casablanca, Morocco.
8.03pm, Mei 12, 2016

P/s ada satu lagi cerita pelik bila jasadnya pernah dibawa pergi berperang melawan penjajah kristian dan tentera Islam memperolehi kemenangan… kalau ada masa, kita kongsi ye…

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

5 thoughts on “***Muhammad bin Sulaiman Al-Jazuliy***

  • May 13, 2016 at 3:58 pm
    Permalink

    Assalam, mohon berkongsi artikel ini tuan.

    Reply
  • May 14, 2016 at 9:11 pm
    Permalink

    perkongsian bermanfaat..!

    Reply
  • May 14, 2016 at 9:14 pm
    Permalink

    Sangat kagum bahasa tulisan tuan.

    Reply
  • June 8, 2016 at 6:56 am
    Permalink

    Moga sudilah kiranya dihalalkan perkongsian maklumat creto dari tuan syeikh ini kepada rakan2 kongsi kaum kerabat di seluruh negara.wassalam dan maaf batin zahir awal akhir alfakir al Jawi UFO

    Reply
  • August 24, 2018 at 11:43 pm
    Permalink

    Terimakasih atas pengongsian cerita .
    Saya ingin mengajak Tuan ke majlis Khatam Dalail Al Khairat di Rembau
    setiap Ahad minggu pertama dan ke3

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *