***Malaga – Buka mat’am atau homestay?***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam Ramadhan.
Balik dari Alcasaba kami terus berjalan kaki. Tak tau la berapa km berjalan kaki dari atasy Castillo de Gabralfaro, turun bukit lalu meneroka istana Alcasaba, keluar dan berjalan perlahan-lahan sampai dataran Plaza de Marina di tengah bandar Malaga untuk kembali ke Pansion buruk. Buruk tetapi berjasa.

Aku cuba memahami kenapa bangsa yang asalnya kuat, digeruni, menjadi penaung bangsa lain suatu ketika dulu tapi sekarang terlalu lemah. Merempat di negeri sendiri. Tak berwibawa di negeri orang.

Ketika memasuki Istana Alcazaba, kami bertemu dengan terlalu ramai pelancong. Kebanyakannya warga Eropah. Ada juga dari Jepun, China dan Korea. Heran juga, kenapa tak ramai umat Islam nak datang melihat kesan sejarah kegemilangan Islam. Kegemilangan pejuang-pejuang agama kita. Kalau ke Paris, London, New York, Brisbane rasanya ramai je pelancong muslim. Lagila ke China dan Korea. Selain Haziq, kami bertemu 2 orang remaja Turki dengan beg galas masing-masing menziarahi Alcazaba. Mereka belajar di selatan Sepanyol. Masa cuti ni ambil peluang menziarahi tempat-tempat bersejarah.

Bangsa Turki pernah membina tamadun dengan empayar Othmaniah yang terkenal. Jadi, mereka boleh berbangga kerana pernah menguasai sebahagian dunia. Tapi bila di tanya puasa ke tak? Sambil tersenyum, mereka tunjuk ke atas, matahari panas terik. Macamana kami nak berpuasa? Aah menyedihkan. Tapi itulah hakikat umat Islam sekarang.

Kami mengambil bagasi dan menahan teksi untuk ke masjid. Tiada surau yang berdekatan. Driver teksi di sini kelihatan sopan dan mesra pelancong. Untuk mengangkat naik dan turun bagasi mereka menolongnya. Cuma bila ada bagasi, tambang akan ada extra. Itu memang diguna pakai di sini.

Selesai solat di Pusat Islam Malaga, aku dan Ikrimah menolak bagasi ke tepi jalan, nak cari teksi ke terminal bas. Cadangannya nak ke kampung sufi di Orgiva. Tapi kampung tu agak jauh juga dari Granada. Dalam 45 minit. Hafiz dah ‘call’ Syeikh Umar tapi tak dapat. Bila call menantunya, Yasin, dia berkata, Syeikh Umar mempersilakan kami datang bila-bila masa. Mereka ni muslim Eropah. Bukan dari migrant Maghribi. Syeikh Umar orang Spain, Yasin pun begitu. Seorang lagi menantunya Yusof, orang Itali. Mereka bertariqat Naqsyabandi.

Keluar pintu masjid, ada seorang pemuda menghulur tangan meminta sedekah. Roman mukanya orang Maghribi. Rasa kesal di hatiku, di sini pun aktiviti mereka sama. Minta sedekah. Seorang jemaah, Najm menegur kami. Ikrimah ambil peluang bertanya kedai makanan halal. Tak lama kemudian, muncul seorang yang bersungguh-sungguh bertanya keperluan kami.

Namanya Hassan berasal dari Tettuan, Maghribi tetapi telah lama menetap di Sepanyol. Bekerja sebagai pegawai perhubungan di masjid. Bila melihat kami tertanya-tanya sesuatu, dia luahkan rasa kesalnya dengan sikap kebanyakan orang Islam di sini yang tak mengambil berat dengan pelancong muslim. Mereka datang dari negara-negara Islam, ke negara bukan Islam, patutnya bantulah mereka. Paling tidak tunjukkan jalan, dapatkan hotel-hotel berpatutan, bawa ke tempat-tempat sejarah Islam. Walaupun dia bercuti hari itu, Hasan cuba membantu. Dia mengajak kami ke pejabatnya di Masjid.

Selepas menerangkan pada Hasan maklumat asas kedatangan kami dan info tentang Syarikat, wakil pendakwah dari Saudi masuk ke pejabat dan berkenalan dengan kami. Oleh kerana masjid itu didirikan oleh kerajaan Saudi, seluruh biaya pentadbirannya dari Saudi. Terkeluar juga luahan hati Hasan, sudah beberapa bulan Saudi tak memberi gaji. Sebenarnya kalau betul-betul dimanfaatkan ruang-ruang di Masjid itu, boleh diolah menjadi hotel muslim yang menjana kewangan.

Hasan mengajak kami mencari hotel kecil untuk bermalam. Bila gagal, kami terpaksa kembali ke Pansion yang kami tinggalkan tengahari tadi. Hasan luahkan rasa ingin bekerjasama dengan kita membangunkan hotel untuk orang Islam. Aku bertanya padanya mengenai Abdul Sama’, lelaki Sepanyol yang mengiringi A dan rombongan sewaktu menziarahi Malaga tahun 1985. Kata Hasan, Imam Umar Al Faruq tentu lebih mengetahui.

Berkesempatan bertemu Imam Umar Al Faruq yang agak berumur sebelum berbuka, aku bertanya soalan yang sama. Menurutnya, Abdul Sama’ sudah terlalu tua. Penglihatan, pendengaran dan pertuturannya sudah terjejas. Ingatannya juga semakin kurang. Keluarganya meletakkannya di rumah orang-orang tua.

Perasaan sedih menjalar ke seluruh jantung hatiku.
"Apakah rumah itu diurus oleh orang Islam?" aku bertanya.
"Sudah pasti orang ‎Kristian yang uruskan.", Aduh! Bagai satu hempukan batu menimpa kepalaku.
"Dia masih muslim?" Aku terus bertanya.
"Ya." jawab Imam.
"Keluarganya juga muslim?"
"Ya,"
"Keluarganya selalu menziarahinya?"
"Ya."
"Dia sangat berjasa kepada kami kerana mengiringi syeikhku ketika menziarahi Malaga pada tahun 80’an."
"Ya, memang ada satu rombongan dari Malaysia berjubah dan serban hijau datang ke sini tahun 80’an dahulu, Darul Arqam."
Satu kejutan bagiku, "Beliaulah syeikhku!"
"Kami masih ingat, Syeikh Ashaari datang ke sini. Dia mempunyai beberapa projek di Malaysia. Aku tak pasti, mungkin isteriku masih menyimpan video mengenai Al Arqam." kata Imam Umar Al Faruq.
Hilang segala penat letihku mendengar sesuatu yang tak aku jangka dari mulut Imam Umar.

Maghrib jam 9.38 malam kami berbuka kurma, harirah (bubur Maghribi), air susu dan mineral. Makanan di susun di atas meja dan jemaah berbuka secara berdiri. Kami tak betah lalu membawa makanan ke tepi dinding masjid, berbuka duduk bersama-sama. Ketua Pusat Dakwah dari Saudi, menghadiahkan kami satu plastik buah kurma Saudi. Hasan pula sibuk melayan kami dengan harirah dan buah pisang.

Oh, begini jadinya pemusafiran ini. Kami mendapat kawan baru yang mudah-mudahan melancarkan urusan syarikat GISBH di Sepanyol, khasnya di Malaga. Dah ada orang yang sanggup bekerjasama jika ingin membuka projek pelancongan khasnya rumah tumpangan dan kenderaan serta khidmat pemandu pelancong. Moga jika ia menjadi realiti nanti, pelancong-pelancong muslim, khasnya dari Malaysia dan nusantara akan lebih terbela di Malaga. Doakan ye!

Bilik Tetamu keluarga Escudero,‎
Almodovar del Rio,
Sepanyol.
10.07am, Jun 14, 2016

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “***Malaga – Buka mat’am atau homestay?***

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *