***Granada- Ini Giliran Kalian!!!***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam Ramadhan.
Tuhan tolong jadikan Ramadhan kami kali ini benar-benar mengubah hati kami. Sesungguhnya Tuhanku Maha berkuasa tanpa had. Sudah bertahun-tahun kami memasuki bengkel Ramadhan untuk overhaul hati dan roh yang merupakan engin dalam kehidupan, tapi… hasilnya masih mengecewakan.

Wahai jiwa, belajarlah dari pengalaman. Si kalah tak akan ke mana. Si kalah hidup terhina. Si kalah dikuasai. Si kalah kena menyerah diri, ikuuuuttt je, tak mampu mengawal diri sendiri, bahkan dia dikawal.

Masjid dengan menara yang gagah, kubah dan dinding serta tiang-tiang yang penuh corak ukiran yang cantik dirampas, kalau dijadikan ‘mall’ boleh tahan, hanya menyuburkan cinta dunia si pemboros, tapi dijadikan gereja. Tempat Allah disyirikkan. Aduh, inilah nasib si kalah.

Istana-istana luas, punya taman yang indah menyejukkan mata, air pancut yang menghasilkan bunyi kocakan menjadi terapi jiwa, kolam ikan hiasan dengan deretan kehijauan daun bunga pagar, bergabung dengan ukiran di tiang dan dinding bermotif bunga dengan susunan ayat-ayat suci Al Quran yang halus. Ditambah dengan kombinasi ‘open air ‘ dengan langit yang membiru dah bukan kita punya.

Tembok-tembok yang gagah, dinding-dinding tebal dibuat dari batu-batu pejal. Tegap berdiri ribuan tahun. Berkibar bendera musuh dengan salibnya seolah-olah mengejek-ngejek kita. Itulah nasib si kalah. Sangat hina.
Itulah nasib kerajaan dunia bila kalah dalam peperangan.

Bagaimana kalau yang kalah itu jiwa dalam kerajaan diri? Yang kalah itu roh dalam diri kita. Si penjahat, nafsu yang menang. Kita akan terhina. Roh nak tawadhu’, nafsu kata kau pun ada harga diri juga. Orang lain sama je. Hati nak pemurah, nafsu kata korban-korban juga, bila kau susah, siapa fikirkan? Jiwa nak banyakkan ibadah, nafsu kata, rilekla brother. Masa banyak lagi, kau masih muda. Jiwa nak belajar menerima perlakuan orang pada kita, aku banyak dosa. Nafsu melonjak-lonjak nak membela diri. Itulah nasib ‘Raja’ kerajaan diri yang kalah, nafsu yang berkuasa. Terhina, mati Allah tak terima. Sebagai hambaNya. Nerakalah tempat kita.

Sedih berjalan di Spain ni. Walau bergerak merata, ada sesuatu meruntun di jiwa. Walaupun kau masuk dari tanah Afrika, engkau bukan masuk membawa kemenangan Islam seperti Toriq bin Zaid rohimahullah. Kau hanya si penelan kepahitan duka kekalahan yang berkurun lamanya.

Perjalanan tetap diteruskan. Berkat terus diburu. Di tapak-tapak kaki peninggalan mursyidku. Sabtu 11hb Jun 2016, jam 3pm kami sampai ke Granada. Bumi di mana terletaknya istana Al-Hambra yang terkenal. Bila sampai terus ambil teksi untuk mencari kawasan pansion atau hotel bajet. Kalau ada Nazif, dah siap tempah hotel online. Kami manalah ada kad kredit macam Nazif dan Abu Hanifah. Apa lagi, heret beg la di celah-celah bangunan berekabentuk Sepanyol mencari-cari pansion. Kebanyakkannya penuh, Sabtu Ahad pelancong luar dan dalam negara bertambah berganda-ganda. Akhirnya, dapatlah juga hostel, punya 3 katil bertingkat (6 katil la… hehe).

Lain tempat, lain ujian dan nikmatnya. Baru nak buka gate dah ada saudara seagama bertegur sapa. 2 orang dari Algeria, kawannya pula dari Maghribi. Mengajak kami berbuka puasa di masjid. Alhamdulillah, dia akan membawa kami menaiki keretanya. Setelah penat bermusafir, ditambah lagi mencari pansion ke sini sana, puasa pula, nak tunggu berbuka sampai jam 9.40 malam dapat jemputan berbuka umpama nikmat yang besar.

Ketika menaiki kereta, Hasan berkata, Rasulullah pernah bersabda; nanti orang-orang barat akan masuk Islam semuanya, secara aman tanpa senjata. Allahu Akbar! Moga kedatangan pejuang-pejuang dari Timur membuka lembaran baru sejarah Islam di Sepanyol.

Masjid As-Salam ini tidak sebesar Masjid Saudi di Malaga. Ia hanyalah sebahagian ruang ground floor sebuah bangunan yang di situ juga ada pasaraya, gym dan lain-lain premis. Tetapi jemaahnya sangat bekerjasama. Ketika kami sampai ada kira-kira 30 orang sedang menunggu waktu berbuka di dataran sebelah masjid mengelilingi meja-meja. Bilangannya bertambah sedikit demi sedikit menjelang berbuka. Kami bersalaman dengan semua, yang kelihatan letih tetapi mesra. AJK masjid atau ahli jemaah yang rajin kelihatan sibuk memasak di dapur, mengangkat juadah dan agihkan ke meja-meja. Susu, tamar, air mineral dan istemewanya harirah (bubur) panas seorang semangkuk.

Di Malaga, makan berdiri macam orang Jordan jamu mansef di majlis kenduri aza’ tetapi di sini lebih sopan kerana ada kerusi disediakan. Cuma mejanya… arghh… jelas ada cop jenama arak. Meja di sebelah ada cop lain, tapi arak juga. Ampunnn.

Selepas berbuka, masing-masing terus solat. Makan malam selepas solat Maghrib. Di meja makan, Imam muda dari Maghribi terus bertanya kami,
"Kamu hafal Al Quran?"
"Tidak," aku jawab berterus terang.
Mukanya seperti mencemik. Rupanya dia di hantar oleh Yayasan Di Raja Maghribi menjadi Imam tarawih setiap kali Ramadhan di masjid yang bukan negara majoriti umat Islam. Pernah ke US, Belgium dan lain-lain negata eropah.

Aku katakan, para sahabat tak berani menggunakan perkataan hafiz untuk diri mereka walaupun mereka menghafal seluruh Al-Quran. Kerana hafiz itu sendiri bermaksud pemelihara. Orang yang hafiz itu seseorang yang memelihara bukan sahaja ayat-ayat Al-Quran, hukum hakam tajwidnya tetapi sangat memelihara perlaksanaan hukum hakam Al-Quran dalam diri dan keluarga mereka. Para sahabat yang hafal Al-Quran disebut, hummal Al-Quran. Pendokong Al-Quran, penjunjung Al-Quran kerana merasakan diri mereka tak layak digelar Al-Hadiz. Imam muda tetap mempertahankan bahawa Al-Quran perlu ada yang menghafalnya dengan hujah-hujah ayat Al-Quran dan Hadis yang memang aku tak pernah menafikannya.

Bila Redha bertanya namanya, spontan dia menyebut; As-Syeikh Kabir. Namanya Kabir, tapi mahu di sebut Syeikh di awalnya. Syeikh Kabir menyatakan, negara yang paling baik di dunia adalah Maghribi. Sedangkan aku baru sahaja keluar dari Maghribi. Jiran kami di perumahan baru 8 tingkat yang kami duduk, baru bergaduh dengan jiran yang bersebelahan di kalangan orang sederhana dan miskin. Sampai bertarik-tarik, berguling di atas tar, berkejar-kejar dengan menjerit-jerit tanpa malu. Bukan sehari, berhari-hari dah macam Harb Ahliyah. Isunya apa? Kejiranan si miskin, memecahkan tembok lama yang memisahkan antara 2 kejiranan dengan membuat pintu untuk memudahkan keluar masuk. Mendekatkan jarak. Kalau tak pecah pun, boleh keluar masuk, cuma kena pusing jauh.

Aku malas nak ceritakan apa yang aku nampak selama 2 bulan di Casablanca. Tapi yang jelasnya, Imam Kabir tak sempat membaca doa dan memperlawa kami makan bila sampai nasi dan lauk. Terus makan. Bila dah kenyang, terus bangun tanpa apa-apa isyarat. Mungkin imam nak segera ‘prepare’ untuk mengetuai solat Isyak dan tarawih. Sangka baik je la.

Alhamdulillah, ada nasi… jarang ada nasi dalam hidangan orang Arab Maghribi. Lauk ikan segar pula tu. Cuma masak cara dia orang la. Goreng je. Apapun bersyukur pada Allah yang melayan kami hari ini. Dah la free, sedap pulak tu.

Esok (Ahad 12hb) kami nak ziarah Al-Hambra. Rombongan Abuya pergi ke sini dulu. 30 tahun sudah. Korang pun ramai yang tak lahir lagi. Masih di alam roh. Masih takut Tuhan. Rindu Tuhan. Gementar, cemas, bimbang, harap dengan Tuhan sebab belum dimasukkan ke dalam jasad. Kerana roh diciptakan dari cahaya, bila dimasukkan ke jasad yang asal kejadiannya tanah. Di letakkan sekali dengan nafsu. yang nafsu itu pula sentiasa berkehendak. Baik nak, jahat nak. Positif nak. Negatif nak. Tanpa kawalan sangat mengajak kepada kejahatan. Jadi, ingatlah, kita dicipta untuk menjadi hamba Allah. Di hari kita dilahirkan, mursyid telah lama bergelanggang membawa manusia pada Tuhan. Termasuklah ibu dan ayah kita. Inilah masanya kita menyiapkan diri untuk membantu perjuangan. Membakas jasa mursyid. Membela Allah dan Rasul.

Nanti siapa nak jaga homestay di Gibraltar, Malaga dan Granada? Siapa yang nak menjadi pemandu kenderaan para pelancong? Siapa pula yang nak memberi penerangan? Agar semua kita dan tetamu yang mendapat khidmat kita lunak hati dengan Allah dan Rasul. Mat’am di Madrid tentu memerlukan ramai tenaga. Kamulah orangnya? Kami hanya meneroka. Remajalah yang akan ambil tanggung jawab seperti di Istanbul, Haramain, Dubai, Jerash, Irbid, Cairo, Sydney dll. Ini giliran kamu! Buktikan!

Ampun maaf, otw Madrid. Baru lepas Puerto Lapice.
7.53pm, Jun 14, 2016

P/s susah jalan jauh bila dah berumur dan sakit. 5 jam dalam bas, berhenti baru sekali. Jenuh menahan baul. Jadi orang muda, jagalah kesihatan. Siapkan diri menggalas tanggung jawab perjuangan… Salam kasih sayang dari anjang, En Redha, En Ikrimah dan En Hafiz.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

8 thoughts on “***Granada- Ini Giliran Kalian!!!***

  • June 15, 2016 at 5:29 am
    Permalink

    Waalaikumsalam salam wm wb… Tk Ybm Tuan Dato Harun @ Anjang atas perkongsian

    Reply
    • June 15, 2016 at 8:39 am
      Permalink

      Alhamdulillah..terimakasih atas perkongsiannya Tuan..

      Reply
    • June 16, 2016 at 6:31 pm
      Permalink

      Pak tam pulak bila nak mencoret…? Lama x dpt posting…

      Reply
  • June 15, 2016 at 6:28 am
    Permalink

    Bicara ini sungguh menghibur hati menghidup jiwa. Ayah cadangkan supaya cerita pengembaraan ini di bukukan dan namakan ‘Menelusuri Jejak Pengembaraan Mursyidku’

    Reply
  • June 16, 2016 at 11:49 am
    Permalink

    Salam Tuan. Sudilah Tuan berkongsi acc no mbb Tuan, kami pembaca ingin turut menyumbang untuk Islam.

    Reply
    • July 17, 2017 at 12:14 pm
      Permalink

      wslm. no akaun telah dikongsikan. syukran

      Reply
  • June 28, 2016 at 7:10 pm
    Permalink

    Syuran Tuan Harun,,
    Moga kami dpt juga rasa TARN..

    Reply

Leave a Reply to shm Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *