***Alhambra- Hukuman Allah kepada Si Cuai dan Degil***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam Ramadhan.
Pagi 12hb Jun 2016 kami keluar awal dari hostel, ambil teksi menuju ke Alhambra. Melalui jalan di pagi Ahad begini, cukup tenang. Kenderaan tak banyak. Melihat rekabentuk bangunan yang berbeza dari negara kita. Kebanyakan dinding dan tiangnya kelihatan sangat kukuh. Abuya pernah kata, itu tanda tiada rasuah. Kalau ada rasuah ketika pembinaan tu, mesti bajet ke tempat lain, pastu beli barang binaan dari material yang tak berkualiti. Pintu-pintu untuk masuk ke bangunan biasanya nampak solid. Tak kira material apa diguna. Kalau besi atau logam, memang yang solid. Kalau kayu pun, kayu yang solid. Tong sampah kecil di depan premis cantik berdiri tegap bentuknya macam bagasi Redha, rupanya dibuat dari besi. Solid! Jalanrayanya bersih, ada yang bertar, ada juga yang dikekalkan jalanraya zaman dahulu dari susunan batu. Di sepanjang jalan, ada pokok-pokok bunga pagar terjaga. Ada juga dinding dan pintu yang conteng dengan tulisan grafiti, tapi tak banyak.

Seawal jam 7 pagi kami dah sampai di dataran Alhambra. Bukan apa, ada kawan yang pesan, kalau lewat kena beratur panjang. Tepat kata-katanya, sebab jam 7 pun dah beratur dekat 30 orang. Info yang kami dapat, setiap hari ada 5 hingga 6 ribu pelancong melawat Alhambra, begitu sekali daya tarikannya.

Bayangkan jam 7 beratur, Ikrimah seorang la, kami melihat dataran yang ditanam pokok-pokok untuk meredupkan dan meninjau info-info yang ada di situ sambil duduk di bangku kayu yang disediakan kelilingnya. Pelancong lain, beli sarapan dan bersarapan di bangku. Kami puasa, kalau tak mungkin bawa bekal. Ada juga rombongan yang sedang menerima taklimat dari pemandu pelancong yang memakai mic. Semua ahli rombongan menggunakan ear phone. Tanpa perlu menjerit, semua ahli rombongan yang panjang beratur itu mendengar info-info yang disampaikan. Pelawat semakin lama semakin ramai. Jam 8.30 baru tiket dijual. Korang tau berapa harganya? €14. Perghh 14 Euro, dekat RM65… parahhh. Kalau sehari ada 6 ribu pengunjung, RM390,000/daily.

Sebenarnya ada apa di sini? Dorongan anjang sebab nak tengok tempat yang Ahuya pernah sampai dan menulis mengenainya. Itupun bila Allah izinkan dengan keberkatan. Buktinya duduk Jordan lebih 5 tahun, Petra tak sempat pergi. Tak ada rezki…

Alhambra itu dalam bahasa Sepanyol, semua bahasa Sepanyol yang ada al atau El diawalnya, itu confirm dari bahasa Arab seperti almenara, alcobendas, Elcasar, algete dll Alhambra dalam bahasa Arab: الحمراء AlHamra yang bermaksud yang berwarna merah iaitu "Istana Merah". Terletak di bandaraya Granada kira-kira 430km selatan Madrid.

Setelah Banu Al Ahmar menduduki Granada, mereka mula mencari lokasi yang sesuai untuk mempertahankan kerajaan mereka, maka mereka menemui tempat yang sesuai di barat laut bandar Granada. Di sinilah mereka membina asas benteng mereka yang baru, "Qasbatul Hamra’". Mereka membina beberapa menara yang kukuh, dinding besar yang sangat kuat memanjang hingga ke lembah. Raja-raja yang memerintah selepas itu manambahkan binaan demi binaan untuk menambah peranan dan keindahan Alhambra.

Dinamakan Istana Merah kerana warna batu yang digunakan untuk membinanya kemerah-merahan. Ia dibahagikan kepada 3 bahagian:
1. Bahagian tentera.
2. Istana Raja.
3. Bahagian khadam.

Kota Alhambra itu terlalu luas, untuk masuk bahagian istana Hamra’, dicop pd tiket waktu yang khusus. Mungkin untuk mengelakkan semua pengunjung menyerbu masuk serentak dan jadi terlalu sesak kerana istanalah tempat yang paling cantik di sini. Kami hanya boleh ziarah Istana jam 10.30. Jadi, ziarah tempat lain dulu bermula dari taman bunga di luar kawasan istana.

Namanya ‘Genenral Live Garden’. Di sini pun dah terpegun dengan kecantikannya. Pokok-pokok pagar dibina tinggi dan ditrim cantik menjadi gerbang-gerbang yang indah. Di tengah-tengahnya ada kolam air panjang dan air pancut. Cantik gilerr…

Sebenarnya anjang tak tau nak tulis macam mana, sebab memasuki ruang demi ruang, melalui lorong demi lorong, menjumpai taman demi taman, melihat dari angle yang berbeza, memanjat anak-anak tangga,melihat dari atas ke bawah, memasuki istana dengan ruangan demi ruangan, bilik demi bilik, halaman demi halaman, melihat lantai, memandang dinding, memegang (sebenarnya dilarang sentuh-sentuh sangat, takut pecah) memegang tiangnya yang berukir halus, melalui gerbang demi gerbang, memandang kolam-kolam yang menenangkan sebenarnya semakin bertambah kagum anjang terhadap senibina orang-orang Islam terdahulu. Mereka bukan lulusan arkitek dari mana-mana universiti. Bukan berpengalaman puluhan tahun membina taman-taman di merata tempat. Macam mana mereka boleh membina bangunan secantik dan seindah ini?

Jalan-jalan atau lorong- lorongnya dibina dari batu yang kukuh. Ada tempat-tempat yang di buat dari susunan batu-batu sungai gelap dan cerah. Bayangkan betapa banyaknya batu-batu itu dibawa dari sungai. Cantik bila ada kontras warnanya. Dindingnya dari bata merah yang indah. Dinding, tiang dalam istana, gerbang-gerbang. Malah bumbung bahagian dalam atau langit-lagitnya sangat indah. Sebahagiannya bertulis khat Al Quran, ada yang dihiasi kerawang berbagai motif. Ada langit-langit berbentuk seperti binaan dalam sarang lebah. Indahnya…

Dapat melihat patung singa yang memancutkan air dari mulutnya terletak di tengah ruangan. Katanya dulu setiap kali masuk waktu sembahyang, air akan keluar sendiri. Fuuh dahsyat teknologi orang Islam. Tetapi setelah sistem itu diganggu tidak lagi begitu. Air tampak sentiasa keluar.

Abuya kata dalam buku ‘Kembara Membuktikan Kebenaran Al-Quran’,
"Orang Islam mendapat ilham dari Allah
Orang kafir hasil fikiran sendiri. Mana sama sesuatu yang asli dengan yang palsu!"

Ya, walaupun anjang lihat hasil kerja mereka solid, mantap seperti pintu-pintu dan dinding-dinding bangunan tetapi tak nampak indah. Tiada seninya. Macam tak ada rasa. Kering je. Rupanya itu hanyalah perahan fikiran mereka. Kebetulan mereka adalah bangsa yang kuat berfikir. IQ mereka tinggi tetapi tanpa rasa. Hasilnya tersangat kurang menyentuh hati malah ada yang langsung tak menyentuh hati. Bandinganya umpama Menara Eiffel di Peranchis dengan Masjid Biru di Turki. Tentu sangat berbeza sentuhannya. Ini adalah kerana orang Islam mendapat ilham dari Allah dari Al-Haq. Itulah kebenaran. Orang kafir hanya mempamerkan sesuatu yang palsu. Tak terhubung dengan tuhan.

Di sini penting berbuat sesuatu tanpa terputus dengan Tuhan. Berbuat sesuatu dengan hati yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Hasilnya, orang yang berbuat dapat Tuhan. Orang lain yang melihat mendapat ketenangan, keindahan, kebahagiaan walaupun belum mendapat hidayah.

Kalau bukan keindahanlah, mustahil seramai-ramai orang Jepun, Cina dan Korea datang dengan jarak ada yang lebih 10 ribu km. Begitu juga ribuan orang pelancong Eropah membanjiri tempat ini. Sedangkan ia hanya tinggal sebahagiannya sahaja. Banyak yang telah diubahsuai. Ada yang dimusnahkan. Kalau bukan dengan kehendak Allah, dah habis musnah semuanya. Maha Suci Tuhan.

Selepas kota ini jatuh kepada ke tangan Kristian 1492, demi membalas dendam, Alhambra mula diubahsuai. Mereka menggunakan cat kapur menghapuskan warna asal. Lukisan dan air emas dipadamkan, perabotnya dikotorkan, dikoyakkan atau dialihkan. Ada raja yang membina balik bahagian tertentu dengan gaya Renaissance dan memusnahkan sebahagian besar istana tetapi tidak pernah diselesaikan kerjanya. Raja Philip V pula meng-Italikan biliknya. Pada abad-abad berikutnya bawah Sepanyol, kesenian umat Islam Moor bertambah kerosakannya malah pada tahun 1812 sesetengah menara-menara telah dihancurkan oleh orang Perancis. Napoleon telah mencuba untuk menghancurkan keseluruhan AlHambra tetapi, dengan kuasa Allah sebelum rancangannya dijalankan, seorang tentera secara rahsia telah menggagalkan rancangannya dengan menanggalkan fius bahan letupan. Selamatlah Alhambra untuk generasi akan datang tetapi tetaplah di tangan musuh yang mencari keuntungan dari hasil seni umat Islam.

Kata Abuya dalam buku Kembara, "Allah serahkan Al Hambra kepada musuh sebagai hukuman kecuaian dan kedegilan pewaris-pewaris Al Hambra."

Oleh itu, anjang nak ajak semua pembaca khasnya para remaja untuk mengambil iktibar. Allah baru amanahkan kita beberapa tempat yang indah. Ramai orang yang masuk ke tempat kita mengaku, terasa tenang. Tak tau nak gambarkan. Rasa tenang, indah… itulah rasa. Tenang itu rasa. Kerana terhubung dengan Allah.

Ramai yang melawat PPI BCH mengaku terasa tenang. Begitu juga Batu Hampar, Batu 12, Air Bintan, Sydney, Wandy dll… Malah di premis-premis kita seperti di Bukit Bintang, Mega, Seremban 2 dll. Ingatlah, banyak Allah dah beri pada kita dengan keberkatan. Yang akan datang, mungkin bertambah lagi. Tapi awas jangan cuai dengan Allah, jangan berdegil nanti akan berlaku kepada kita, apa yang berlaku kepada pewaris-pewaris Alhambra, cuai dan degil akan mengundang hukuman Allah. Allah serah semuanya kepada musuh kita. Menangislah keturunan kita ratusan tahun melihat milik kita sudah di tangan orang. Dibuat sesuka hati. Air mata darah pun tidak akan dapat mengembalikannya kepada kita kecuali kita berubah. Pemimpin agung sahaja yang mampu membuat perubahan kepada sesuatu bangsa dengan skala besar….

Ya Allah! Segerakanlah janjiMu…

Jumpa lagi di kisah Masjid Cordova.‎

Lobi Hotal Falfes, Madrid.
2.50pm, Jun 16, 2016‎

  • iktibar banjir terhadap diri (11)
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “***Alhambra- Hukuman Allah kepada Si Cuai dan Degil***

  • June 27, 2016 at 8:10 am
    Permalink

    Assalamu’alaikum YBM Tuan Harun. Ampun maaf, Tuan ade ke simpan PDF buku Kembara Membuktikan Kebenaran Al-Quran? Mohon jasa baik Tuan untuk dikongsi…sekian MZB

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *