***Kuarantin***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria,

13 Mei tarikh yang sangat diingati oleh rakyat Malaysia. 13 Mei tahun ni lain pula. Bukan orang Malaysia je ingat, satu dunia ingat. Kalau baca paper hari tu (sudah tentu berita semalam iaitu 12 Mei 2017) berlaku serangan siber yang melumpuhkan sistem perisian di 100 buah negara.

Perisian berbentuk virus itu kemudiannya mengkodkan data di dalam komputer terbabit, dan meminta bayaran antara AS$300 hingga AS$600 untuk mendapatkan kembali akses.

Serangan siber itu dipercayai menggunakan peralatan perisikan Agensi Keselamatan Amerika Syarikat, telah menjejaskan rangkaian internet di seluruh dunia sehingga menyebabkan agensi penghantaran FedEx lumpuh, mengganggu sistem pemfailan hospital di Britain dan kerosakan sistem komputer di 100 buah negara termasuk US, UK, China, Rusia, termasuk Malaysia dan Indonesia.

Sebelum itu Penyelidik pembuat perisian keselamatan Avast mengenal pasti 57,000 ‘jangkitan’ di 99 buah negara, dengan Russia, Ukraine dan Taiwan menjadi sasaran.

Itulah penangan serangan virus malware Ransomware Wanna Decryptor juga dikenali sebagai WannaCry.

Di alam siber khususnya berkaitan perisian anti virus, virus jahat begini perlu dikuarantinkan. Ia umpama penjara bagi penjenayah siber samada virus, worm, malware dll yang melakukan hal-hal yang membahayakan komputer/gajet yang mempunyai sistem operasi lainnya.

Kuarantin boleh diertikan sebagai ‘memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu dan tidak boleh keluar selagi belum ada arahan’. Di alam siber umpama memenjarakan sementara virus-virus jahat yang membuat kerosakan ke dalam sebuah database dengan ketat tidak boleh ditembus untuk menunggu arahan dari pihak atasan (user) apakah di beri perintah “Delete” atau “Restore”.

Dah seminggu berlalu serangan Ramsomware yang bukan sahaja mengakibatkan kerugian jutaan RM malah melumpuhkan sistem yang menyusahkan ribuan orang di seluruh dunia. Begitulah perumpamaan kalau dibiarkan orang-orang jahat di tengah masyarakat tanpa di kuarantinkan. Akan berlakulah kerosakan yang bukan sahaja menyusahkan Bani Adam tetapi membuatkan Allah murka. Maka sepertimana ‘wajib’nya vairus-vairus jahat dikuarantinkan, menunggu arahan untuk di’delete’ dari sistem atau di’restore’, begitu juga WAJIB perosak-perosak masyarakat dikuarantinkan agar kejahatannya disekat tidak merebak kepada masyarakat. Jangkamasanya mengikut keperluan. Mungkin dia akan di ‘restore’ jika berjaya dipulihkan. Tapi mungkin juga di’delete’kan terus.

Cuma pengasingan atau kuarantin itu ada berbentuk penjara, lock up, pusat pemulihan akhlak atau kuarantin khusus. Pokok yang berpenyakit pun dikuarantin, binatang pun dikuarantin betapa lagi manusia yang kalau jahat, dia boleh berfikir, maka kejahatannya sangat bersistem dan terancang. Ada kuarantin rasmi dari pemerintah, ada yang tidak rasmi. Malah dalam sejarah, atas kesedaran diri dan rasa bersalah yang amat mendalam serta takutkan Tuhan, ada sahabat yang mengkuarantinkan diri sendiri.

Awal tahun ini anjang berpeluang menziarahi Rasulullah SAW di masjid Nabi, Madinatul Munawwarah. GISBH bukan sahaja mempunyai villa di Mekah dan Madinah juga belasan kenderaan malah mempunyai sebuah muassasah yg berdaftar rasmi dengan Kerajaan Saudi. Region Director kawasan Haramain, Tuan Hj Salleh Saliyan membawa anjang ke Raudhah Nabawiyah dan menunjukkan anjang tiang-tiang di dalamnya sambil menceritakan sejarahnya. Salah satunya ialah tiang Taubat.
Tiang Taubat & Kisah Saidina Abu Lubabah

Tiang ini adalah yg ke 4 dari mimbar di raudhah, yg ke 2 dari makam Rasulullah dan yg ke 3 dari kedudukan kiblat. Tiang ini juga dikenali sebagai ”Tiang Abu Lubabah” kerana di sinilah Abu Lubabah telah mengikat dirinya sebagai hukuman kerana telah mengkhianati Rasulullah mengenai hukuman yang akan dijatuhkan kepada Yahudi Bani Quraizah.

Kisah Abu Lubabah ‘kuarantin’kan dirinya

Sewaktu beliau dihantar mewakili Rasulullah berunding dengan Bani Quraizah selepas peperangan Ahzab @ Khandak, beliau telah memberi isyarat bahawa mereka akan dibunuh dengan menunjukkan isyarat ke arah lehernya. Selepas peristiwa itu beliau berasa dukacita dan menyesali perbuatannya kerana mendahului Rasulullah dalam menjatuhkan hukuman dan telah membocorkan rahsia sebelum tiba masanya untuk diberitahu kepada Yahudi Bani Quraizah, lalu beliau terus pergi ke Masjid Nabawi dengan penyesalan yang teramat sangat sehingga hampir hilang pendengaran dan penglihatannya kerana terlalu banyak menangis.
Di Masjid Nabawi, beliau terus mengikat dirinya di tiang tersebut tanpa makan dan minum. Beliau bersumpah tidak akan membebaskan dirinya sehinggalah Rasulullah sendiri yang melepaskannya. Anak perempuannya pula membukakan ikatannya sekadar untuk beliau bersolat dan menunaikan hajat sahaja.

Akhirnya Rasulullah membuka ikatan Abu Lubabah setelah Allah menurunkan wahyu menerima taubatnya yg ikhlas itu. Rasulullah selalu mengerjakan solat sunat di tiang ini. Baginda juga selalu duduk di situ selepas solat Subuh dan berbual-bual dengan golongan miskin dan lemah serta saudara baru Islam sambil menceritakan kepada mereka tentang wahyu yang baru diturunkan kepada Baginda.

Tiang ini juga bertentang dengan makam Rasulullah dan kepala baginda yg mulia.

Itulah contoh manusia mulia, sahabat Rasulullah SAW yg sanggup menghukum dirinya. Mengkuarantin dirinya. Sanggup menyekat keselesaan diri kerana menebus kesalahannya hingga Rasulullah SAW yg membebaskannya. Siapa kata kuarantin tiada dalam Islam? Rasulullah sendiri pernah bersabda:

الدنيا سجن المؤمن وجنة الكافر
Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.

Lihat! Bukan pusat kuarantin, malah dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin. Hakikatnya kita adalah banduan, bukan peserta kuarantin. Cuma persoalannya, apakah kita mukmin atau hanya muslim semata?

Oleh itu kalau ada orang yg dengan rela hati menyerah diri untuk dikuarantin  atau ada orang yg pemimpin lihat patut dikuarantin, semua pihak kena memberi sokongan seperti para sahabat menyokong tindakan Abu Lubabah dengan membiarkan dirinya terikat. Tak pula berlaku dalam sejarah, ada sahabat yang melarang Abu Lubabah dengan memberi bermacam-macam idea contohnya, perbuatan kamu ini tiada dalam Islam. Memalukan Islam. Merosak imej Islam. Masjid adalah tempat ibadah, bukan tempat menyeksa diri… umpamanya. Tidak berlaku. Malah anaknya sendiri membantunya. Membantu dia bertaubat. Oleh itu kuarantin perlu mendapat sokongan semua pihak.

Apakah kita ingin biarkan ahli dalam masyarakat kita berzina, menghampiri zina, saling berutus mesej lucah, menggoda suami orang, menganggu isteri orang, merokok, hisap dadah, mencuri, melawan suami, tidak bertanggung jawab dengan isteri dan anak-anak? Cuai, lalai dan santai tanpa serius dengan tugas? Setelah ditegur berkali-kali masih mengulang salah yg sama. Kuarantin jalan terbaik agar hidup lebih fokus. Fokus untuk menjadi hamba Allah dan khalifahNya.

Abuya pernah bertanya saya, sebab apa ahli ibadah beruzlah menjauhkan diri dari masyarakat? Mengasingkan diri dengan khalwat dan uzlah kadang-kadang di hutan? Kalau tuan-tuan, apa jawapannya?

VA, GISB Jordan

3.08PM, Mei 19, 2017

 

 

 

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *