***Sanliurfa: Kisah Nabi Ayub AS***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam Ramadhan.
Ramadhan dah masuk hari ketiga. Walaupun semalam berpeluang XPDC dengan ALP sekitar Istanbul, kita tangguhkan cerita semalam. Anjang nak kongsikan XPDC ke Sanliurfa yang belum habis dikongsi. 

Sebenarnya nak share di blog ni, memang tak akan dapat cover semua. Tapi paling kurang sebagai ole-ole buat pembaca setia yang belum Allah beri peluang ke sana. 
Ramadhan begini, terkenang musafir di Maghribi, Sepanyol dan Perancis tahun lepas. Setelah 2 bulan di Maghribi khasnya Casablanca, visa pun nak habis, anjang dan Taufik Redha keluar ke Sepanyol melalui selat Gibraltar. Di Algeciras, Sepanyol kami bergabung dengan Hafiz dan Ikrimah menyelusuri langkah-langkah Mursyid. Pastu terbang ke Paris pula. Banyak kisah-kisah menarik menjadi kenangan dan panduan. Sayang Nazif terus ke Istanbul, kerana tak mampu travel by road ketika puasa.

Siapa yg Free boleh la baca kisah-kisah Travel di Spain tahun sudah:

Travel di Spain
Malaga
La Alcazaba
Gibraltar
Alhambra
Cordova
Ziarah Kedutaan Malaysia

Kembali ke Hotel EL RUHA di Sanliurfa. Kami bersarapan buffet. Tak ada nasi lemak, sambal kerang, roti telur, teh tarik dll. Yg ada roti Turki, sosej, cheese, butter, jem, telur goreng dgn tomato, terung goreng, telur rebus dan macam-macam lagi ikut selera orang sini la. Bagi anjang semuanya menyelerakan sebab dah biasa hidup merantau.

Tuan Nik layan diri bersarapan di kafe hotel EL RUHA

Sebenarnya dekat lobi hotel ini ada frame berukir menggambarkan kesan sejarah di Sanliurfa. Iaitu 2 tiang menjanik berkait peristiwa Nabi Ibrahim AS dilontar ke dalam api, kanan-kanak sedang menyusu dari seekor kijang (gambaran Nabi Ibrahim yg membesar di dalam gua di hutan) dan ikan-ikan di kolam tapak Nabi Ibrahim AS dibakar.

Ukiran Kesan Sejarah di Sanliurfa tergantung di lobi hotel

Setelah makan, kami menaiki kenderaan menuju ke gua dan telaga Nabi Allah Ayub AS. Sampai di lokasi, cantik betul tempatnya. Itulah lebihnya Turki. Dah la orang-orangnya hansome-hansome, cantik-cantik, lapangan gua dan telaga Nabi Ayub ini pun dibuat sangat cantik. Lengkap dengan taman yg ada bangku-bangku. Ada pepohon ditanam untuk meredupkan lapangan. 

Gerbang Masuk

Di kiri gerbang terdapat orang menjual botol pelbagai saiz dan warna. Untuk apa? Tertulis di atas tembok yang terletak deretan paip air seperti tempat wudhu’ perkataan SIFALI SU. Air paip itu dipam dari telaga Nabi Ayub yang terletak tidak jauh dari situ. Sebenarnya air-air berkat di sini di sebut dalam bahasa Arab Syifa’ lis Sudur ertinya penyembuh bagi dada/hati. Di telaga itulah tempat Nabi Ayub mendapat kesembuhan dari penyakit kulitnya berkat mandi dan meminum airnya. Air yang sangat berkat itulah digunakan sepanjang zaman oleh penduduk setempat dan pengunjung untuk rawatan pelbagai penyakit. Sebab itulah ada dijual botol-botol air kepada penziarah.

Tn Hj Salleh Al Hafiz sedang membasuh kepala dengan air telaga Nabi Ayub AS yg sangat berkat

Masuk gate terdapat anak tangga dan dataran membawa kami ke gua Nabi Ayub. Di situ kami perlu menuruni anak tangga yg sempit, muat-muat untuk seorang sahaja. Sempit dan curam. Di bawah itulah gua tempat Nabi Allah Ayub AB tinggal ketika baginda diuji dengan sakit kulit yang merebak ke seluruh badannya. Begitu sabar Nabi Ayub AS menghadapi ujian Allah. Sedikit pun tidak menjejaskan hubungannya dengan Tuhan. Bukan sehari dua, atau berbulan-bulan, baginda sakit selama 18 tahun. Ya Allah… 

Dalam Gua Nabi Ayub AS
Tuan-tuan di dalam gua, ingin sangat bersama-lama tapi apakan daya, ramai orang lain juga ingin memasukinya

Di sini, anjang lihat para ALP mengambil peluang merintih dan merayu dengan Tuhan atas nama kekasih-kekasihNya agar Islam dimenangkan. Masing-masing tenang memanjatkan rintihan dan harapan. Moga Ramadhan ini Allah hadiahkan kami takwa yang dengannya berlaku janji-janji pertolongan Allah yang bermacam-macam.
Selama ini, hanya berpeluang membaca kisah Nabi Ayub AS atau dulu semasa kecil mendengar kuliah dari ustaz-ustaz di Yayasan Arqam. Siapa tak kenal Nabi Ayub AS. seorang yang sangat sabar. Tetapi kesabaran baginda tidak membawa kepada naiknya taraf baginda kepada Ulul Azmi, kerana asas kesabaran Nabi Ayub AS adalah ujian terhadap diri, anak-anak dan hartanya. Adapun para Rasul Ulul Azmi, teruji kesabaran mereka kerana karenah kaumnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan karenah manusia, kena betul-betul ingat Allah. Mungkin Allah nak hadiahkan kita anugerah yang besar. 
Pun begitu membaca kisah Nabi Ayub AS, membuatkan kita sangat kagum dengan kehebatan orang-orang pilihan Tuhan. Taqwa mereka luarbiasa. Ia menyayangi orang-orang miskin, memelihara janda-janda dan anak-anak yatim, serta menghormati tetamu. Ia juga menyeru kaumnya supaya menyembah Allah SWT, itulah tugas utama para Pesuruh Allah.
Allah Swt Berfirman dalam Al-Quran surah An-Nisa’ ayat 163 :
Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Isma’il, Ishak, Ya’qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.”
Nabi Ayub AS adalah orang kaya yang banyak hartanya, kekayaannya meliputi, unta-unta yang sehat, hamba sahaya, ternakan dan tanah-tanah yang luas.
Iblis berusaha untuk menggodanya agar baginda lupakan Tuhan namun tidak berjaya. Dengan kecewa dan putus asa, Iblis mengatakan kepada Allah, Nabi Ayub boleh taatkan Allah kerana dia kaya, punyai banyak anak dan sehat sejahtera. Maka Allah ingin buktikan kepada Iblis sebagai pengajaran kepada kita bahawa Nabi Ayub AS adalah benar-benar orang-Nya lalu dia diuji.
Allah memberi ujian dengan kematian anak-anaknya dan memusnahkan harta kekayaannya. Selain itu, Ia terkena bermacam-macam penyakit, sampai tidak ada anggota tubuhnya yang sehat, kecuali jantung/hati dan lidahnya yang sentiasa berzikir kepada Allah Azza wa Jalla .
Namun demikian dia tetap bersabar dan berzikir kepada Allah setiap ketika. Nabi Ayub menderita sakit selama 18 tahun. Bayangkanlah kalau kita sakit menderita selama itu. Mampukah kita terus beribadah dan berjuang? Semua kawan-kawannya menjauhkan diri darinya bahkan dia diasingkan dari negerinya.
Tidak ada seorangpun yang menjenguknya, kecuali isterinya, Siti Rahmah yang setia menunggunya dengan penuh kasih sayang, membantu memenuhi segala keperluannya. Isterinya tetap bersabar. Tetapi bila keadaan sangat mengujinya dia berkata: “Hai suamiku Ayub, seandainya engkau berdoa kepada Tuhanmu, niscaya Dia akan membebaskanmu.” Nabi Ayub AS menjawab: “Aku telah hidup 70 tahun dalam keadaan sehat, sedangkan sakitku ini hanya baru beberapa tahun, aku malu dengan Tuhanku.” Begitulah hati seorang Nabi, malu untuk dikurangkan ujian. Kita nak malu dalam menerima nikmat pun masih sangat susah. Kerana malu itu hasil dari ibadah yg dihayati.
Pernah, isterinya tidak mempunyai apa-apa untuk membeli makanan, sehingga ia terpaksa bekerja dengan orang untuk mendapat upah, demi menyediakan makanan kepada suaminya. Oleh kerana itu dia terlambat datang kepada suaminya, Nabi Ayub AS bersumpah akan memukulnya 100 kali. Semua itu adalah ujian keyakinan kepada isterinya bahawa suaminya adalah pesuruh Allah. Malah rezki yang dia dapat juga sebenarnya adalah berkat suaminya. Malah ujian itu akan berjaya dihadapi akhirnya.
Allah Swt. Berfirman dalam Al-Quran surah Al-Anbiya : 83-84
dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang. Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.”
Perhatikan, jika kita sabar dengan ujian Allah, Allah bukan sahaja mengembalikan kepada kita apa yg telah hilang, bahkan Allah lipat gandakan. Kalau kita sabar dengan penyakit, Allah akan hilangkan penyakit dan sehatkan sesehat-sehatnya. Allah akan rezkikan anak-anak, harta dll. Sebab itu PLP ajak semua minum air di gua Nabi Ibrahim AS dan dari telaga Nabi Ayub AS dengan niat supaya disembuhkan penyakit lahir dan batin. Bukan kebetulan, para pimpinan yg datang pula mengidap berbagai penyakit malah berkerusi roda dan bertongkat. Moga Allah sembuhkan semua dengan keajaiban.
Dalam surah Shad ayat 41-42 pula Allah berfirman:
Ceritakan riwayat hamba Kami Ayub ketika berseru kepada Tuhannya: “Aku ditimpa kepayahan dan penyakit yang disebabkan syaitan.” Maka Allah berfirman kepadanya:” Hentakkanlah kakimu dibumi, niscaya timbul air yang sejuk untuk mandi dan minum.”

Keluar dari gua

Apabila sembuh Nabi Ayub perlu menunaikan sumpahnya terhadap isterinya yang solehah, maka Allah ringankan dengan menyuruh Ayub mengambil seikat tali jerami/rumput yang mempunyai 100 batang dan memukulkannya sekali pukulan sahaja lalu dikira sama dengan 100 pukulan. Dengan sedemikian hingga, terlaksanalah sumpahnya. Tuhan ada cara dan jalan bagi setiap masalah orang-orang-Nya.

Telaga yang dijaga cantik…

Keluar dari gua Nabi Ayub, kami menuju ke telaga baginda. Semuanya telah di jaga rapi oleh rakyat Turki yg baik-baik dari keturunan yg baik-baik. Nampak sangat bersih dan terjaga. Pintu telaganya telah ditutup. Airnya telah disalurkan dengan paip-paip besi ke kepala-kepala paip yang disediakan untuk para pengunjung memanfaatkannya secara percuma. Nampak kemas dan sangat tersusun.
Moga-moga air yang diambil dapat dikongsi kepada seluruh staf GISBH seluruh dunia kerana keberkatannya yang besar.
Ya Allah! Berilah kesabaran kepada semua pimpinan GISBH dalam memimpin syarikat ini. 

Ya Allah! Berilah kesembuhan bagi semua penyakit mereka dan kami semua dengan berkat Nabi Allah Ayub AS.
Bersambung… ziarah makam Nabi Ayub, makam Siti Rahmah dan makam Nabi Ilyasa’…
Villa GISBH Turki

12.33pm, Mei 29, 2017 (tepat 564 tahun lalu, Suktan Muhammad Al Fateh berjaya membuka Kota Konstantinopel)

Kongsikan kepada yang lain
Share

Cari produk Murah Online?

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *