**PENGAJARAN DARI FITNAH TERHADAP GISB- Siri vi- Bahaya Fitnah***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Bahaya Fitnah

Suatu masa dahulu ada seorang peniaga yang kaya dan terkenal. Suatu hari dia ingin membeli seorang hamba berkhidmat padanya dan mengembala kambingnya. Ketika itu tiada orang gaji, bibik atau driver seperti sekarang. Maka dia pergi ke pasar untuk memilih-milih hamba yang sesuai untuk dibeli.

Ketika memilih-milih, dia terlihat seorang hamba yang gagah tubuh badannya, otot-ototnya keras seperti besi. Dia tertarik dengan hamba itu kerana merasakan ia sesuai untuk membantu kerja-kerjanya lalu bertanyakan harganya.

“Berapa harga hamba ni?”, dia bertanya.

Peniaga hamba itu memberitahu, harganya sangat murah kerana hamba ini bermasalah. Bila ditanya apa masalahnya, peniaga itu menerangkan sikap buruk hamba itu ialah suka mengadu domba dan membuat fitnah.

Dek kerana tertarik dengan susuk tubuh lahir hamba itu, orang kaya ini tidak menghiraukan kecacatan peribadinya lalu membelinya dan membawa pulang ke rumah.

Sampai di rumah dia terus memerintahkan hambanya menjalankan tugas. Isteri orang kaya ini pula amat gembira dengan pembelian hamba sebagai pembantu rumah dan ladang. Ringanlah tugasnya nanti.

Setelah beberapa hari berlalu, si hamba menghampiri isteri tuannya dan bertanya:

“Puan nak tak kuasai hati suami?”

Si isteri menjawab: “Ya, nak.”

Si hamba, “Aku akan ajarkan caranya bagaimana untuk mejadikan suami hanya mencintaimu dan sehingga akhir hayat setia denganmu.”

Isteri orang kaya, “Beritahulah nak buat macam mana?”

Si Hamba, “Nanti ambil pisau, potong sedikit janggutnya ketika dia tidur, serahkan padaku, aku akan bacakan mentera yang membuatkan dia akan sentiasa menurut kehendakmu.”

Isteri orang kaya yang terpengaruh dengan kata-kata si hamba ini bersetuju lalu pergi tetapi sempat memberitahunya bila suaminya akan pulang ke rumah.

Bila suaminya pulang ke rumah, hamba ini lebih dahulu menyambutnya lalu mencium tangannya dan terus berkata:

“Tuan, aku ada satu rahsia yang merbahaya, tak tau adakah aku selamat kalau aku sebut padamu.

Orang kaya, “Ceritakan, aku jamin kau selamat!”

“Tuan, isterimu mahu membunuhmu, aku lihat dia mengasah pisau untuk menyembelihmu. Demi Allah aku tidak berbohong!”

“Pergilah berpura-pura tidur, kalau tuan tak percaya kata-kataku.” Tanpa berfikir panjang, orang kaya itu masuk ke bilik dan berpura-pura tidur. Tiba-tiba isterinya masuk sambil memegang pisau menghalakan ke lehernya untuk mengambil janggutnya! Ketika itu juga orang kaya itu membuka matanya, merampas pisau dari tangan isterinya lalu membunuhnya.

Apabila hamba itu yakin bahawa tuannya telah membunuh isterinya, dia bergegas pergi ke rumah keluarga isteri orang kaya tersebut sambil menjerit-jerit:

“Selamatkan aku! Selamatkan aku!

Tuanku telah membunuh puanku dan ingin membunuhku.”

Kemudian dia meninggalkan keluarga isteri orang kaya itu dan pergi pula ke rumah keluarga orang kaya itu lalu berkata:

“Mari kita bantu tuanku. Isterinya hendak membunuhnya, tapi dia berjaya membunuh isterinya. Ahli keluarga isterinya pula ingin membalas dendam untuk membunuhnya.”

Maka berlakulah fitnah yang lebih besar iaitu peperangan di antara dua keluarga yang hanya bermula dari fitnah yang keluar dari mulut si hamba yang jahat.

Begitulah bahayanya fitnah dan adu domba. Perkara yang kita tak sangka dan tak jangka boleh berlaku. Benarlah seperti yang Allah firmankan:

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Al Baqarah: 191

Kalau kita perhatikan ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:

1. Orang kaya/ahli Perniagaan itu hanya menilai tubuh lahir hamba itu.

2. Dia tidak memikirkan soal hamba itu bermasalah.

3. Apabila hambanya membawa berita, dia tidak menyelidik kata-kata hamba itu tetapi mempercayainya terus.

Bila seseorang datang pada kita, kita hanya menilai tubuh lahir orang itu. Kita ambil semua kata-katanya. Kita tak fikirkan yang orang itu sangat bermasalah. Kita tak selidik kata-katanya tetapi terus mempercayainya. Lalu kita viralkan berita darinya. Kita sebarkan. Ramai pula yang mempercayainya, juga menyebarkannya. Malah ada yang menokok tambah. Benda yang 1 gram jadi 1 kilogram, benda yang sekilo jadi se tan. Ditambah-tambah dengan andai-andaian yang datang dari prasangka dan hasad dengki.

Maka ramailah orang-orang yang tidak berhati-hati atau yang memang sakit hati menyokong kebatilan, menyokong fitnah. Seperti yang berlaku kepada GISB, dengan mempercayai fitnah, ada orang yang memboikot Restoran dan Perniagaan GISB.

Adakah kita sanggup tinggalkan entiti yang berasaskan takut Tuhan dan rindu Nabi lalu kembali kepada entiti yang berasaskan keuntungan semata-mata hanya kerana angkara fitnah? Adakah kita sanggup menghilangkan kepercayaan masyarakat kepada sebuah Syarikat Islam dengan membawa cerita-cerita yang direka-reka?

Kita memfitnah orang yang baik-baik sebagai perogol, penzina, penagih dadah, penzalim wanita, pencolek anak orang, pengamal nikah batin dll sedangkan semua ini lebih besar bahayanya dari pembunuhan.

Kita tidak rasakan ke apa yang Allah katakan bahawa fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan? Apakah yang kita nak jawab di hadapan Tuhan nanti?

Villa GISBH, Amman.

6.05 pm,Mac 30, 2018

  • rahsia bisnes GISB (1)
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *