***PENGAJARAN DARI FITNAH TERHADAP GISB- Siri xv- Muflis di Akhirat***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Muflis di Akhirat

Biasa kita dengar tentang orang muflis atau bangkrap ni susah kehidupannya. Walaupun asalnya kaya. Asalnya ok. Boleh ke sana, ke sini. Maksudnya travel ke luar negara. Bila muflis, disekat untuk keluar. Akan ada urusan yang tergendala. Kalau nak keluar juga, kena buat permohonan. Ada juga yang langgar peraturan, guna ‘laluan tikus’. Walaupun ikut saiz badan macam tak lepas je ikut laluan tikus’. Hehehe.

Nak buka akaun tak boleh. Nak daftar Perniagaan tak lepas. Ada income kena asingkan untuk bayar pinjaman yang dia buat. Segala harta, akaun, daftar bisnes kena guna nama isteri. Kalau isteri tak jujur dan setia, boleh terlepas semua. Pendek kata, hidup tak selesa malah boleh jadi susah dan menyusahkan orang lain.

Itu di dunia, dah terasa peritnya. Sebab itu ada dialog Rasulullah SAW dengan para sahabat berkaitan muflis. Dunia pun dah susah. Manusia, tapi kena lalu ‘jalan tikus’. Kan susah tu! Walhal dunia apalah sangat nak dibanding dengan Akhirat.

Mari kita lihat didikan Rasulullah SAW kepada para Sahabat RA.

Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis itu?”

Mereka menjawab : “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak pula memiliki harta.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun ia juga datang dengan membawa dosa kezaliman. Ia pernah mencerca si ini, menuduh tanpa bukti terhadap si itu, memakan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu. Maka sebagai tebusan atas kezalimannya tersebut, diberikanlah sebahagian kebaikannya kepada si ini, si anu dan si itu. Hingga apabila kebaikannya telah habis dibahagikan kepada orang-orang yang dizaliminya sementara belum semua kezalimannya tertebus, diambillah kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.” Riwayat Muslim

Marilah kita takut kepada Allah Taala. Bimbang dengan nasib kita. Bila-bila masa kita boleh muflis di akhirat. Kononnya di dunia kita beramal soleh. Bersembahyang, berpuasa, membayar zakat, naik haji dan kerjakan umrah, berderma di masjid surau dan kepada mereka yang memerlukan, membina sekolah tahfiz, mengajar agama, belajar, membela anak yatim dan janda-janda serta para gelandangan, memperjuangkan hak orang yang terzalim malah binatang-binatang tetapi dalam masa yang sama berperangai buruk.

Menuduh orang tanpa bukti, memaki hamun orang, menyamakan orang muslim dengan Firaun dan Haman, malah Iblis dan Syaitan, memfitnah orang yang dikenali ramai bermaruah dengan zina, mencolek, memukul, merogol. Memanggil orang muslim dengan panggilan yang keji. Menganjurkan para nitezen jenayah yang lebih berat dari pembunuhan iaitu fitnah. Ribuan orang terlibat.

Mahukah kita nanti di Akhirat, segala kebaikan kita akan diberi kepada orang yang kita fitnah? Segala pahala amalan kita Allah beri kepada orang yang kita sumpah seranah di dunia? Segala kebaikan kita, Allah yang Maha Adil akan serahkan kepada orang yang kita share fitnah terhadap dirinya. Ribuan orang yang membaca, ribuan kebaikan kita akan terhakis.

Bila telah habis kebaikan kita, maklumlah post yang kita hantar tak sempat delete hingga kita mati, berterusan orang membacanya dari generasi ke generasi, malah dah didelete pun, ada pula yang screenshot dan menyebarkannya melalui FB, What’sup, Twitter dll tak putus-putus hingga bila-bila, maka Allah akan minta dipindahkan kejahatan orang yang kita zalim itu kepada kita. Dibebankan dosa-dosa orang yang kita fitnah kepada kita. Bukan sedikit, sebanyak kejahatan yang kita buat, yang dah beranak pinak dan bercucu cicit itu. Jadilah kita orang yang muflis di Akhirat.

Jauh terhina dari orang yang muflis di dunia. Sangaaat jauuuh terhina dan tersiksa. Sebagai balasan atas apa yang kita kerjakan di dunia. Allah tak pernah lupa segala yang kita lakukan di dunia.

Oleh itu takutilah Allah ketika berkata-kata, berbuat dan bertindak. Berhaluslah. Jangan main belasah je! Jangan ikut panas baran je! Jangan terus percaya dan share je! Jangan terus beri komen je! Kita bukan terlalu kaya dengan pahala amalan hingga sanggup menyerahkan kebaikan kita kepada orang yang kita zalimi. Nanti muflis di sana, buruk padahnya.

Restoran Nur Malaysia, Amman.

9.35 pm, April 2018

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *