Sirul sedia dedah perkara sebenar pembunuhan Altantuya

Kongsikan kepada yang lain
Share

Sirul sedia bekerjasama dan menjadi saksi.

SHAH ALAM: : Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar sedia mendedahkan perkara sebenar dalam kes kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang berlaku 12 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Sirul Azhar berkata, dia sedia membuat pendedahan itu dengan syarat diberikan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Tanpa pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Australia tidak boleh melepaskan saya daripada tahanan,” katanya.

Menurutnya, dia sedia bekerjasama dengan kerajaan baharu untuk menjadi saksi sekiranya kes itu dibuka semula.

“Saya mengalu-alukan pertolongan daripada kerajaan Malaysia dan memohon kerajaan bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi membebaskan saya daripada Pusat Tahanan Imigresen di Brisbane, Australia,” katanya.

Sirul Azhar berada dalam tahanan imigresen di Brisbane sejak 20 Januari 2015.

Menurutnya, hasrat itu disuarakan susulan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan perbicaraan kes bunuh tersebut kerana tiada saksi mata dikemukakan dan mahkamah hanya bergantung kepada bukti keterangan semasa yang tidak kuat.

Disebalik pengalaman hitam itu, Sirul juga sedih apabila dia dan keluarganya menjadi mangsa kecaman orang ramai.

“Mereka tak tahu. Itu kesalahan pertama saya. Bersama UTK, saya berkhidmat untuk menangkap dan bunuh pencuri dan pelbagai jenayah semuanya untuk keselamatan negara.

“Orang awam tak tahu bagaimana UTK berfungsi kerana kami kena ikut perintah,” katanya.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Sirul Azhar tertuduh kedua dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri tertuduh pertama selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Sirul Azhar didakwa atas pertuduhan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang dekat sini.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-duanya selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Selian mereka, bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang pada mulanya didakwa bersubahat dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

AM: Aduh malangnya nasib kita di dunia kalau dengan sengaja melakukan kesalahan. Tidak kita taubatkan. Sampai masanya kita akan diadili. Lebih-lebih lagi di Akhirat. Seluruh anggota kita akan menjadi saksi atas segala perbuatan kita di dunia. Mulut kita selalu sangat berdusta. Sampai masanya ia akan dikunci. Alangkah takutnya, kaki dan tangan akan berkata-kata dan menjadi saksi akan segala perbuatan kita.

Tuhan! Taubatkan kami. Ampunkan dosa-dosa kami. Terimalah taubat kami. Angkat hijab-hijab kami. Jadikan setiap kejadian yang berlaku sebagai iktibar kepada kami semua. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, ampunkanlah dosa dan kesalahan kami. Tajamkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan di hati kami. Haluskan langkah-langkah kami menuju-Mu ya Allah.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *