***ISLAM DAN MASJID DI BULGARIA*** Kembara Berkat Bosnia II

Kongsikan kepada yang lain
Share
Masjid Banya Bashi, Sofia, Bulgaria

1pm, 1Julai 2018. Sampai di ibu Negara Bulgaria, kami terus ke masjid. Tuan Nasir turun, En Yahya ekori, anjang pun apa lagi terus follow. Istimewanya, ia merupakan salah satu dari lebih 81 buah masjid yang dibina oleh Mimar Sinan. Sangat berkat. Kita sambung lagi beberapa maklumat tentang Bulgaria.

Bendera Bulgaria

Islam di Bulgaria:

Bulgaria, salah satu kawasan Balkan dan negara Eropah Timur, tunduk kepada Sultan Empayar Uthmaniyyah hampir lima abad (796 – 1295 H / 1394 – 1878 M).

Pada tahun 1295 H / 1878 Masihi tertubuh Negara Bulgaria hasil dari perjanjian Berlin, ketika itu orang-orang Turki membentuk kira-kira satu pertiga daripada penduduknya dan kemudian berkembang mengikut berkembangnya Empayar Othmaniah lalu menjadi kerajaan beraja pada tahun 1326 H / 1908 AD.

Dalam Perang Dunia I, Bulgaria bergabung dengan Jerman tetapi kalah perang maka dia kehilangan sebahagian tanahnya.

Begitu juga dalam Perang Dunia II, Bulgaria sekali lagi bergabung dengan pakatan Jerman tetapi kalah lagi. Ditewaskan dan ditawan oleh Rusia, kemudian terus dikuasai oleh Komunis sejak akhir Perang Dunia II.

Pada tahun 1960 dikeluarkan Akta Pendaftaran Penduduk. Orang-orang Islam diwajibkan menggunakan nama Bulgaria. Pihak berkuasa Bulgaria menggunakan kekerasan dalam melaksanakan undang-undang ini pada tahun 1982. Majoriti penduduk Islam Bulgaria adalah dari keturunan Turki. Mereka sangat menentang dasar ini. Tetapi keadaan telah berubah selepas kejatuhan rejim komunis di Eropah Timur dan di Kesatuan Soviet.

Masjid Uthmaniyyah di Bulgaria:

Sepanjang lebih lima abad Bulgaria di bawah pemerintahan Othmaniah, ia di penuhi dengan lebih seribu buah masjid yang cantik-cantik, besar dan lama tetapi selepas kejatuhan Empayar Othmaniah, ramai orang-orang Islam Bulgaria berhijrah ke Eropah dan Turki. Maka masjid-masjid banyak yang terbiar dan rosak tanpa pengurusan juga banyak yang musnah dalam perang dunia I dan II. Tiada siapa pedulikan masjid, tiada undang-undang pemuliharaan bangunan berdekatan ditambah dengan larangan pembinaan masjid baru menggantikan yang lama. Mana masjid yang cantik pula dijadikan muzium seperti Masjid Buyuk Othmani. Ada juga masjid yang sebahagian ruangnya ditutup kerana runtuh dan rosak di era pemerintahan komunis. Begitu juga ada sebab-sebab perkauman dijadikan alasan untuk menghalang pembinaan masjid baru malah sebahagian sekolah agama ditutup dan pergerakan badan-badan amal Islam dihalang.

Tetapi hari ini, setelah mendapat bantuan dari beberapa negara Islam (Kuwait – United Arab Emirates – Arab Saudi – Qatar – Turki) dan negara-negara Islam yang lain serta Bank Islam dan pertubuhan kebajikan Islam, menjadikan jumlah masjid hari ini lebih daripada seribu buah. Ditambah lagi dengan penubuhan sekolah dan universiti khas untuk orang Islam Bulgaria iaitu “Fakulti Syariah dan Sastera, Pentadbiran dan Kesenian dan Institut Pengajaran Bahasa Arab dan Turki.”

Orang Islam telah mewakili nisbah yang agak penting di Parlimen Bulgaria, kira-kira 24 ahli daripada 250 ahli parlimen Bulgaria adalah orang Islam. Antara masjid-masjid yang paling penting ialah:

Masjid Ibrahim Pasha:

Dibina pada tahun 1025 H / 1616 M. Di bandar Razgard. Antara masjid bersejarah yang penting dengan gaya binaan Othmani.

Masjid Banya Bashi:

Inilah masjid yang kami singgah bersembahyang jama’ Zohor Asar. Masjid ini menjadi saksi di Bandar Sofia indahnya pemerintahan Empayar Othmaniah sepanjang 5 kurun di Bulgaria. Terletak di pusat bandar, tepi jalan utama, sangat menjadi tumpuan pelancong khususnya orang Islam yang melawat Bulgaria.

Ia dibina di ibu negara Sofia pada tahun 984 Hijrah / 1576 Masihi oleh Mimar Sinan dan diselia sendiri pembinaannya oleh beliau. Seorang arkitek wali Allah yang dianugerahkan idea-idea dengan ketakwaannya menjadikan hasil kerjanya menyebabkan hati kita terusik untuk merasakan ketenangan hati dengan Allah. Ia dibina daripada batu merah warna coklat gelap, dengan rekabentuk konservatif Othmaniah berbentuk empat segi. Salah satu sudutnya dibina Hamam (Tempat mandi) Turki. Sebab itu dinamakan Benia Basyi bererti hamam Turki yang banyak. Mempunyai 3 tingkat, berkubah putih dengan tandasnya di aras bawah tanah. Supaya tempat beribadah tampak lebih mulia dari tandas.

Masjid ini telah diabaikan dan ditutup semasa pemerintahan Soviet, tetapi ia dipulihkan dan menjadi tumpuan ramai khasnya pelancong kerana kedudukannya di tengah bandar Sofia.

Tn Fadhil Yasin

Turun kenderaan setelah lama berjalan terasa segar jiwa bila melihat sebuah masjid lama yang berkat tersergam di depan mata. Bertembok batu kelilingnya. Tn Nasir mendahului memasukinya ruangnya. Kelihatan beberapa orang traveller dengan bag galas mereka duduk di dua bangku kayu di kiri dan kanan pintu masjid. Di kanan masjid terdapat sebuah pondok kecil pegawai agama Islam yang bertugas memberi penerangan kepada mereka yang bertanya. Bila anjang bertanya, dia mengata dirinya Mufti di situ. Kelihatan masih muda lagi orangnya. Mesra, boleh berbahasa Arab.

Tandasnya sebelah kiri masjid terasing dari bangunan asas masjid. Ada dua bahagian, lelaki dan perempuan. Kena turuni tangga. Nampaknya semua bukan tandas duduk. Sangat bersih. Ada selak dari dalam kerana banyak tandas di negara Balkan ni, selak atau kunci dari dalam pun tak ada. Keluar tandas ke kiri terdapat tempat wudhu’ yang terasing dari tandas.

Tn PLP dan Tn COO

Corak Karpet

Kerawang Belakang

Kerawang belakang

Masuk masjid kita lihat seperti kebanyakan masjid Turki, di bahagian belakang sebaik pintu masuk ada lantai yang ditinggikan dan dipagar rendah. Cantik berkarpet. Di atas ada 1 tingkat, ruangan khas untuk wanita.

Ruangan solat berkarpet merah tebal sangat indah. Sebelah dalam kubahnya mempunyai corak dan kombinasi warna yang menarik juga lampu-lampu hiasan yang cantik. Begitu juga mehrabnya dan mimbar. Teringat surau Air Bintan. Bila la boleh ziarah Abu Laith Tuan Nasar.

Tak perlu anjang detailkan sangat keindahan zahir Masjid ini, yang penting kami berpeluang solat dengan para ALP di sini. Juga untuk melihat apa yang telah Allah lakukan pada negara ini. Pada penduduknya yang Allah beri terlalu banyak nikmat. Kalau dulu di bawah Empayar Islam, Masjid ini meriah dengan pencinta Tuhan dan penuntut ilmu. Berpakaian sopan, berjubah serban dengan wajah yang jernih dan tenang. Menunaikan ibadah kerana tanggungjawab sebagai hamba Allah. Membangunkan fardu kifayah sebagai khalifah-khalifah Allah di mukabumi. Hingga Islam meriah di semenanjung Balkan.

Solat Jemaah walaupun dalam musafir

Sekarang semuanya telah hilang tinggal kenangan. Kenangan manis tapi realitinya pahit. Masjid hanya jadi tempat lawatan malah tempat orang bukan Islam tumpang buang air di tandasnya. Ada seorang yang bertegur sapa dengan anjang, bertanya dari negara mana? Anjang juga bertanya, adakah dia orang tempatan? Dia mengaku. Anjang direct berterus terang, adakah dia muslim? Dia kata tak? Dia cuma datang buang air di sini. Tapi yang jaga masjid ni kawan dia. Yang anjang tak boleh terima dia boleh kata, kawan dia tu syaitan sambil bergurau-gurau di depan penjaga masjid yang mengaku dia Mufti di situ. Macam tiada wibawa langsung. Boleh orang bergurau berlebihan begitu sedangkan datang menumpang gunakan tandas.

Tn Nasiruddin Mohd Ali

Umat Islam sudahlah kurang, wibawa pun tiada. Syiar tak nampak. Tak kelihatan orang memakai kupiah bukan sahaja di luar masjid, malah di dalamnya. Sedih…

Dulu mungkin jarang melihat wanita Islam di luar rumah kecuali berjalan berkumpulan atau dengan mahram masing-masing. Menundukkan pandangan, bertudung litup atau berfurdah dengan warna yang gelap. Hari ini, tiada dijumpai langsung perempuan bertudung di Sofia. Semuanya berpakaian barat. Tak boleh dibeza dengan yang bukan Islam. Hati siapa yang tak menangis? Negara-negara Islam yang membantu hanya bangunkan masjid mereka tetapi tidak iman dan amalan mereka. Rohnya sangat perlu di bantu. Inilah tugas sahabat para pemimpin GISBH iaitu para RPU.

Antara masjid-masjid lain yang ada di sini ialah Masjid Buyuk Othmani atau Masjid Agung Othmaniah. Mula dibina di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al Fatih, siap boleh didirikan solat pada tahun 899 H / 1494 M. Terletak di tengah bandar Sofia.

Dalam peperangan Turki-Rusia (1877 – 1879 M) ia tukar kepada hospital merawat mangsa peperangan.

Kemudian bila tertubuh negara Bulgaria, ditukar kepada perpustakaan negara.

Kemudian ditukar menjadi Muzium Negara pada tahun 1921 M. Begitulah nasib Islam di tangan umatnya yang telah hilang wibawa diri iaitu sifat takwa, tempat ibadah umat Islam pun boleh ditukar-tukar menjadi apa sahaja yang musuh tentukan.

Antara masjid lain ialah Masjid Maqtul di Razgard dan Masjid Othman.

Malangnya nasib umat Islam bila tiada pemimpin. Malangnya umat Islam bila ulama tidak berjuang. Malangnya umat Islam bila remaja dan pemuda jahil, sombong dan tidak jadi pembela. Nama Islam tapi seluruh hidup tidak dalam sistem Islam. Terhina di mana-mana.

Ibadahnya jahil, ikut-ikutan dan adat semata-mata. Pakaiannya tidak menutup aurat. Tiada beza dengan bukan Islam. Makanannya orang kafir sediakan, tak terlepas dari haram dan syubhat. Hiburannya melalaikan. Ekonominya kapitalis, yang penting untung walaupun jual arak.

Ya Allah! Kuatkanlah agama ini dengan pembela-pembela di kalangan para remaja dan pemuda yang berjiwa takwa taat setia 100% dengan pemimpin. Aamiin.

Villa GISBH Istanbul.

10.40 am, Jul 10, 2018

Kongsikan kepada yang lain
Share

Cari produk Murah Online?

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *