RPU DI GUEST HOUSE 3 BINTANG, PODGORICA, MONTENEGRO. Kembara Berkat Bosnia VII

Kongsikan kepada yang lain
Share
Nak kata apa lagi? Subhanallah!!!

Salam ceria.

2hb Julai, 2018. 10.57 malam kami sampai di pusat imigresen Montenegro di sempadan. Selama ni tak pernah ambil tahu ada negara bernama Montenegro. Ada dengar-dengar, ingatkan di belah-belah Afrika, macam dekat gunung Kalimanjaro di Tanzania je. Rupanya di Balkan. Dulu di dalam pemerintahan Islam Empayar Othmaniah.

Bendera Montenegro

1. Penggunaan nama Crna Gora atau Black Mountain (Montenegro) bermula pada abad ke-13 merujuk kepada rantau dataran tinggi di wilayah Zeta Serbia.

2. 1496 Montenegro jatuh di bawah pemerintahan Uthmaniyyah. Kemudian, Montenegro mendapat taraf autonomi di dalam Empayar Uthmaniyyah.

3. Dari abad ke-16 hingga ke-19, Montenegro adalah teokrasi yang diperintah oleh Uskup Kristian.

4. Pada tahun 1852, ia berubah menjadi sebuah kerajaan sekular.

5. Montenegro diiktiraf sebagai pemerintahan berdaulat bebas di Kongres Berlin pada tahun 1878.

6. Selepas Perang Dunia I, ketika Montenegro bertempur di pihak Bersekutu, Montenegro diserap oleh Kerajaan Serbia, Kroasia, dan Slovenia, yang membentuk Kerajaan Yugoslavia pada tahun 1929.

7. Pada akhir Perang Dunia II, ia menjadi Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia.

8. Apabila dibubarkan pada tahun 1992, Montenegro bersekutu dengan Serbia, menjadikan Republik Persekutuan Yugoslavia.

9. Pada tahun 2003, beralih ke Kesatuan Negeri Serbia dan Montenegro.

Peta Montenegro

10. Pada bulan Mei 2006, Montenegro memohon haknya di bawah Piagam Perlembagaan Serbia dan Montenegro untuk mengadakan referendum mengenai kemerdekaan. Undian untuk memutuskan hubungan dengan Serbia hampir tidak melebihi 55% – had yang ditetapkan oleh EU – membolehkan Montenegro secara rasmi mendapat kemerdekaannya pada 3 Jun 2006.

11. Lokasi; Terletak di Tenggara Eropah, antara Laut Adriatik dan Serbia

12. Keluasan tanahnya ialah 13,812 km persegi

13. Bersempadan dengan 5 buah negara negara; Albania 186 km, Bosnia dan Herzegovina 242 km, Croatia 19 km, Kosovo 76 km, Serbia 157 km

14. Iklim; Mempunyai Iklim Mediterranean, musim panas yang kering dan musim luruh dan musim sejuk yang agak sejuk dengan salji yang lebat di pedalaman.

Tn Dato’ Lokman Hakim berdakwah

Dengan izin Allah dan keberkatan para kekasih-Nya kami memasuki sempadan Montenegro pada jam 10.57pm, 2hb Julai 2018. Urusan berjalan lancar dan kami meneruskan perjalanan ke ibu negara Montenegro, Podgorica. Kegelapan malam menutup pandangan kami dari melihat keindahan ciptaan Tuhan. Bertambah gelap bila kelopak mata bertemu, melayan ngantuk dan letih.

Sila klik untuk tonton video sendiri bikin punya.

Kami sampai ke Podgorica jam 12.25 am, 3hb Julai 2018. Alhamdulillah, dengan keberkatan, setelah diusahakan oleh team RPU, kami dapat menyewa Guest House Rodongic Apartment. Walaupun bilik-biliknya kecil comel tapi lengkap semuanya. Katil, almari, sinki, bilik air, cermin besar… yang penting ada wi-fi. Tapi yang tak bestnya negara orang putih ni, (walaupun gunung dia hitam), sikap kurang malu dia. Ada ke pintu tandas kaca ke arah-arah lutsinar. Memang tak sensitif.

Sampai-sampai, terus melabuhkan badan, melepaskan penat musafir. Terjaga pagi, YBM Tn Nasir kejut panggil nama. Bergegas ke bilik air. Pagi itu Subuh kami terpaksa buat surau di bahagian luar kerana tiada ruang di dalam bilik.

Selepas Subuh dan menghabiskan wirid harian, kami masuk ke bilik. Para RPU menyediakan sarapan di bilik mereka yang dilengkapi dapur ringkas. Alhamdulillah bermula dengan kudapan roti sandwich jam dan kopi, seterusnya nasi goreng dengan telur mata kerbau. Ditambah sambal kering bilis tempe dan serunding daging. Kepekaan sangat penting ketika bermusafir. Dulu ketika bermusafir dengan Abuya samada dengan rombongan pimpinan atau dengan simpati di kalangan wartawan atau ahli perniagaan yang mendapat angin kesedaran, Tn Nasir lah yang siapkan semua perkara. Ketika itu tiada krew. Kalau ada ahli rombongan di kalangan orang Arqam yang nak membantu, Tn Nasir beri peluang. Tapi kalau tiada siapa yang bantu sekalipun, Tn Nasir akan buat semua kerja hingga selesai walau penat bagaimana sekalipun.

Tn Nasir dah kaji perjalanan. Kalau tak dapat info awal, sampai sesuatu tempat, beliau akan segera membeli peta dan belajar sendiri. Cari hotel, rujuk Abuya untuk persetujuan. Bila sampai terus berunding dengan pengurusan hotel dan dapatkan kunci. Ketika itu peserta xpdc masih belum keluar kenderaan. Malah kadang-kadang, dialog dengan Abuya masih belum tamat. Bila dah benar-benar dapat kunci dan pastikan bilik, baru Tn Nasir persilakan Abuya dan peserta xpdc ke bilik. Bersama taklimat waktu solat, arah kiblat, lokasi surau dll berkaitan program.

Pastu Tn Nasir akan keluar cari makanan atau beli bahan mentah untuk memasak. Lepas tu beliau sendiri yang masak. Pendek kata semuanya beliau buat sendiri. Anjang sempat belajar dengannya bagaimana siapkan surau untuk solat di hotel cara Abuya. Semua dah tau kan? Tak yah cerita la.

Selepas sarapan, kami bersiap-siap untuk keluar sambung permusafiran ke Bosnia. Dah dekat ni, tak sabar rasanya nak masuk Bosnia. Anjang nampak dan dengar Tn Nasir kata, tak boleh layan ngantuk ni. Kena mujahadah. Kena lawan, lalu terus bangun bersiap-siap. Lepas itu beliau tunggu di luar yang tersedia kerusi, meja dan buaian.

Ilmu praktikal beginilah yang mahal. Dulu beliau kena belajar sendiri. Abuya tak detailkan, apa yang perlu beliau buat, tapi rasa ingin membela Mursyid. Rasa nak pastikan program Abuya berjalan lancar, kerana sayangnya pada Abuya. Kerana rasa nak berkhidmatnya pada Abuya, datanglah perasaan bertanggung jawab yang tinggi menjadikan dia seorang yang sangat-sangat bertanggung jawab.

Sebab itu RPU kena jadikan para pimpinan sebagai sahabat mereka. Untuk belajar segala seni-seni dalam perjuangan. Kerana kita nak berjuang, bukan menjadi penumpang semata-mata. Tn Nasir selalu sebut, ada nampak penumpang flight sibuk kutip sampah, lap cermin dalam kapal terbang atau serve makanan kepada penumpang lain, mana ada? Sebab apa? Sebab mereka penumpang! Dalam perjuangan ini kita umpama krew, kita awak-awak, kita anak kapal. Kita bukan penumpang. Kita kena bertugas. Bertanggung jawab dan rasa, rasa, rasa, rasa bertanggung jawab. Penumpang dan barang, bila sampai airport ada yang turun, ada yang transit dll. Kita akan teruskan perjalanan.

Lebih kurang jam 9.35 am, 3hb Julai 2018, kami mula bergerak meninggalkan Guest House Redonjic Apartment di Podgorica ini menuju sempadan Bosnia. Rupa-rupanya sedang menanti kami di sepanjang perjalanan adalah alam ciptaan Tuhan yang sangat sangat sangat cantik. Wallahi… anjang snap dan anjang tak edit. Boleh print dan buat wall paper.

Meninggalkan Montenegro yang mempunyai penduduk hanya seramai 644,578 (Julai 2016 est.) dengan suku kaum;

Montenegrin 45%, Serbia 28.7%, Bosniak 8.7%, Albania 4.9%, Muslim 3.3%, Roma 1%, Kroat 1%, 2.6% lain, tidak ditentukan 4.9% (2011 est.) dan berbahasa Serbia 42.9%, Montenegrin (rasmi) 37%, Bosnia 5.3%, Albania 5.3%, Serbo-Croat 2%, 3.5% lain, tidak ditentukan 4% (2011 est.) Agama mereka pula adalah Kristian Ortodoks 72.1%, Muslim 19.1%, Katolik 3.4%, atheis 1.2%, 1.5% lain, tidak ditentukan 2.6% (2011 est.)

Hingga bertemu lagi….

Amman, Jordan

5.01pm, Jul 19, 2018

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “RPU DI GUEST HOUSE 3 BINTANG, PODGORICA, MONTENEGRO. Kembara Berkat Bosnia VII

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *