Sajak Mursyid: NASIHAT UNTUK PARA PEJUANG KEBENARAN

Kongsikan kepada yang lain
Share

Nasihat untuk para pejuang kebenaran.

Siapa yang tidak sabar tidak boleh berjuang.

Kerana perjuangan ini banyak ujian, banyak cabaran.

Kesabaran amat diperlukan di dalam perjuangan.

Redha Tuhan para pejuang kenalah cari sekalipun menyusahkan.

Redha Tuhan itu amatlah mahalnya kenalah diperjuangkan.

Di dalam perjuangan kebenaran hendak hidup bersenang-senangan kadang-kadang kecundang.

Kebenaran itu mahal, biasanya kebenaran itu dengan kesenangan payah sejalan.

Adakalanya terpaksalah kita pilih salah satu kebenaran atau kesenangan.

Mencari kekayaan bukan di dalam perjuangan.

Perjuangan memerlukan pengorbanan, bila hendak dapat kekayaan?

Harta yang ada pun habis dikorban, macam mana hendak kumpul kekayaan?

Kalau seseorang itu berjuang mendapat kekayaan dia adalah perompak berlakon pejuang.

Kalau hendak ramai kawan janganlah berjuang.

Di dalam perjuangan musuh lebih banyak dari kawan.

Tapi kalau kita berjuang kerana Tuhan sedikit kawan terasa ramai.

Sedikit pun rasa kuat.

Kerana Tuhan itu adalah kekuatan.

Kalau perjuangan itu cukup syaratnya seorang pun Tuhan boleh memberi kemenangan.

Tidak ramai di dalam perjuangan jangan dirisaukan.

Kerana kuasa mutlak itu di tangan Tuhan.

Yang penting sudahkah kita jadi orang Tuhan?!

Kawan! Berkorban itu sendiri adalah satu perjuangan.

Di dalam perjuangan tidak mahu berkorban bukanlah dinamakan perjuangan.

Berjuang itu meminta pengorbanan.

Pengorbanan itu adalah keredhaan Tuhan.

Bukankah berjuang itu hendak mencari keredhaan Tuhan?!

Kalau keredhaan Tuhan itu sudah di depan mata, mengapa kita cari lain jalan?

Ayuh! Rempuhlah jalan, teruslah ke hadapan kerana di sana itu ada keredhaan.

Kawan! Perlu diingat berjuang itu bukan menawan fizikalnya tapi menawan hatinya.

Kadang-kadang senyum dan kemesraan kita itu lebih tajam daripada pedang yang membunuh orang.

Di sinilah salahnya para pejuang Islam di akhir zaman.

Mereka berjuang membawa kekerasan, mereka jadi militan bukan membawa kasih sayang.

Di dalam perjuangan jauhi dosa.

Dosa sudah merupakan satu kesalahan dan kekalahan.

Dosa adalah hijab untuk mendapat kemenangan dari Tuhan.

Kalau kita kalah di dalam perjuangan kita telah menerima dua kekalahan,

dosa satu kekalahan, kalah adalah kekalahan yang kedua.

Haraplah diambil perhatian oleh para pejuang kebenaran.

Kita berjuang dengan harta, usaha dan tenaga di sinilah pahalanya.

Untuk mendapat kemenangan jangan bersandar kepada usaha walaupun kita kena berusaha.

Tapi bersandarlah dengan kuasa Tuhan yang Maha Esa.

Tuhan beri kemenangan setelah para-para pejuangnya sifat taqwa itu menjadi pakaian begitulah janji Tuhan.

Diharap para pejuang pejuang kebenaran ambil perhatian.

Menjelang tidur

29.08.2004

Kongsikan kepada yang lain
Share

Cari produk Murah Online?

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *