Apa kata Khairi Asyraf tentang thread Mastika yang kaitkan ABUJA dengan ABUYA?

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

AM pernah baca ada orang yang tak setuju Filem Munafik menggunakan gelaran ABUJA untuk mengaitkan dengan pemimpin ajaran sesat tapi malas nak ulas lanjut sebab AM pun tak tonton Filem tu. Lagipun Abuya dah lama beritahu, pemimpin kebenaran itu; yang sayang terlalu sayang. Yang benci terlalu benci. Nak buat filem apapun silakan. Kamu tak akan dapat memadam cahaya Allah. Tiba-tiba ada orang yang menjawab panjang lebar dalam FBnya iaitu saudara Khairi Asyraf. Oleh kerana staf GISBH tidak mempunyai akaun FB atas nama peribadi, AM masukkan ulasan Saudara Khairi dalam blog AM untuk bacaan semua yang memerlukan info ini. Kerana kita diberi pesanan; Perhatikan DIHA, perhatikan jemaah, perhatikan Malaysia, perhatikan dunia.

Dari FB Khairi Asyraf:

Semalam viral Twitter thread Majalah Mastika yg mengaitkan ABUJA filem Munafik dengan ABUYA Ashaari (Pemimpin utama Jemaah Darul Arqam). Lalu kawan2 aku ajak sembang utk tahu lebih lanjut pasal kebenaran cerita ini. Aku olah semula dalam bentuk penulisan di wall FB. Untuk video, follow https://instagram.com/kha.ya.ra.ya_17?utm_source=ig_profile_share&igshid=ut6hdqkke1pa (akan di followback). Baru je buat IG tu. Insyallah nanti kita buatkan IG Live utk topik2 lain pula.

Pertama sekali, aku BUKAN AHLI AL-ARQAM dan aku MENOLAK ajaran ini atas nasihat kebanyakkan guru2 pengajian aku bagi menghormati keputusan fatwa pihak berautoriti. Namun, kisah al-Arqam ni perlu diceritakan dgn naratif yg lebih adil & neutral tidak seperti penulisan Mastika yg dangkal. Penulisan aku kalini hanyalah utk mengimbau sejarah semata2. Banyak “untold story” disebalik fenomena Jemaah Al-Arqam ini sebelum mereka diharamkan kerajaan.

Mengaitkan Abuya Ashaari dengan watak Abuja filem Munafik adalah suatu perkara yg sangat tidak relevan kerana bukan seorang sahaja tokoh yg digelar Abuya di Nusantara ni. Apatah lagi di awal2 filem, Shamsul Yusuf dah bagitau awal2 bahawa filem ni tiada kaitan antara hidup dan mati. Hanya semata-mata ejaan hampir sama, maka Mastika buat kesimpulan dangkal mcmtu. Tapi, mmg begini pun standard bahan kandungan dlm Mastika.

Buat pengetahuan semua, “Abuya” ini adalah gelaran yg umum utk guru agama. Jika di Indonesia ada gelaran Kiyai, di Selatan Thai ada gelaran Baba, di Tanah Arab ada gelaran Syeikh, begitu juga dengan gelaran Abuya. Abuya bermaksud bapa sepertimana perkataan Baba di Selatan Thai. Bahkan di Indonesia, perkataan Abuya masih diguna pakai di pondok2 tradisional. Buya Hamka, Buya Yahya sebagai contohnya.

-SUDUT SOSIAL

Sebelum mereka diharamkan, al-Arqam merupakan kelompok terawal yg mempromosikan secara besar-besaran pakaian yg patuh syariah (menutup aurat) tatkala masyarakat pada ketika itu dilanda dengan trend-trend pakaian barat. Zaman tu, Ustazah sekolah pun pakai skirt dan tudung nampak jambul lagi. Al-Arqam dikenali sebagai golongan yg berjubah dan berserban manakala muslimah pula berpurdah. Namun, mereka dituduh sebagai membawa masuk pengaruh “Arabisasi”.

Selain itu, al-Arqam juga menjadi pelopor dalam industri seni tanah air dengan mempopularkan Nasyid sebagai hiburan Islami sehingga Nasyid menjadi fenomena ketika itu. Kaset2 Nasyid laku keras sehingga boleh melawan genre rock, metal, pop dan lain-lain. Kebanyakkan Nasyid yg menjadi siulan masyarakat dahulu datangnya dari jemaah al-Arqam. Antara judul terkenal adalah Sepohon Kayu Daunnya Rimbun, Di Pondok Kecil, Bila Izrael Datang Memanggil, Maulana, Yarobbi sallimna, Sifat 20 dan byk lagi.

Munsyid (Penasyid) al-Arqam kemudiannya berkembang menjadi Rabbani, Raihan, Hijjaz, Now See Heart, Jauhari, Mawaddah dan banyak lagi. Lirik dan rentak lagu-lagu mereka kebanyakkannya menyentuh hati dan rohani pendengar. Sehinggakan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ada menyediakan satu slot utk kategori Nasyid Popular. Tidak seperti nasyid moden yang byk unsur hedonisma percintaan, suara humming, acapella, suara harmoni, suara mcm nak taknak ja keluar, yg mcm koir gereja pun ada. Tapi tak salah pun nak variasikan nasyid mcmtu. Cuma tak melekat di jiwa pendengar je lah. Sbb tu skrg Nasyid dah jatuh.

Disamping itu, al-Arqam juga ada membina sekolah-sekolah agama bagi mendidik anak bangsa akan kefahaman agama. Prinsip al-Arqam dlm bidang pendidikan adalah dengan menekankan aspek Adab. Para pelajar sekolah al-Arqam dilihat seragam dalam mempraktikan Adab-Adab. Mereka sentiasa berkopiah. Jalan menunduk dihadapan guru, ibu bapa dan orang tua. Budi bahasa para pelajarnya amat lembut. Suatu perkara yg semakin asing dalam kalangan pelajar “moden” kini.

Seterusnya, al-Arqam juga terkenal dengan penerapan konsep Poligami. Kebanyakkan anggota al-Arqam mengamalkan Poligami dan wanita-wanita al-Arqam juga mempromosikan Poligami. Ada si isteri yg tolong carikan madu buat suaminya. Aku sendiri hairan dgn benda ni, mcmana boleh jadi smpai mcmtu sekali. Tapi, budaya kekeluargaan sebegini mendapat “bantahan halus” secara stereotaip oleh golongan pejuang hak kewanitaan. Malas nak cerita lebih lanjut pasal ni.

-SUDUT EKONOMI

Buat pengetahuan semua, al-Arqam memiliki empayar perniagaan yg amat besar. Mereka bukan buka kilang arak San Miguel. Perniagaan mereka adalah kilang penghasilan mee, bihun, kuey teow, roti dan lain-lain makanan. Mereka adalah pelopor dlm memperjuangkan industri makanan halal di tanah air sebelum kerajaan turut mengambil langkah ini.

Selain itu, mereka juga ada studio penerbitan mereka sendiri untuk menghasilkan bahan-bahan edaran seperti kaset, akhbar, majalah dan buku. Selain itu, mereka juga memiliki klinik sendiri dan tanah pertanian yg besar. Terdapat 48 buah perkampungan al-Arqam berkeluasan 294 ekar. Mereka memiliki aset bernilai lebih 200 juta merangkumi bidang hartanah, kenderaan, kilang, pasar mini, kedai runcit, bengkel, restoran dan sebagainya.

Jaringan perniagaan al-Arqam ini berkembang bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia, Selatan Thai, Singapura, Brunei, Turki, Arab Saudi, Jordan dan lain-lain. Apa sahaja yg mereka niagakan, pasti akan laku. Kesemua ahli al-Arqam menumpukan segala kudrat dan wang ringgit mereka demi membangunkan ekonomi orang Islam dengan niat ikhlas kerana Allah. Empayar perniagaan Melayu-Islam yang besar ini sedikit sebanyak menggugat kedudukan bisnes taikun-taikun tertentu.

-SUDUT POLITIK

Ya, mmg betul Abuya sebelum ini merupakan ahli PAS. Beliau menceburkan diri dalam politik kerana untuk memperjuangkan dakwah Islamiyyah. Tetapi beliau keluar PAS bukan kerana kecewa atau bergaduh atau apa. Beliau keluar kerana merasakan parti politik bukan wadah yang tepat untuk melebarkan dakwah dan memulihkan ummah. Sebaliknya politik merupakan medan umat bergaduh.

Al-Arqam berjaya melebarkan dakwahnya apabila mereka mampu mengharmonikan pelbagai gerakan dakwah yang ada di Malaysia pada waktu itu. Mereka rapat dengan Jemaah Tabligh dan berpengaruh dalam ABIM.

Selain itu, tatkala masyarakat awam dan orang politik kagum dgn kejayaan Revolusi Iran oleh Ayatollah Khomeini yg mengakibatkan penularan besar-besaran fahaman Syiah di serata dunia termasuklah di Malaysia berlaku, Abuya Ashaari dan jemaahnya antara kelompok terawal yg membuat tour ke seluruh negara bagi mendedahkan kesesatan Syiah. Bahkan, JAIS sendiri memerlukan khidmat mereka untuk membantu memberi penerangan bahaya Syiah pada orang awam. Ketika itu, penganut Syiah sedang mula mengatur strategi untuk memasuki bidang politik tanah air.

Abuya Ashaari tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan juga tidak pernah cuba untuk melawan kerajaan. Beliau langsung tidak berminat dgn dunia politik kepartian setelah keluar dari PAS. Namun, beliau tetap dipandang tinggi oleh masyarakat kerana ketokohannya dalam memimpin jemaah al-Arqam. Pengaruh yg dimiliki Abuya Ashaari pada ketika itu lebih tinggi dari pengaruh Dato Seri Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia. Dr Mahathir sendiri pun “goyang” dengan pengaruh Abuya dalam kalangan masyarakat.

-PENGHARAMAN

Al-Arqam diharamkan kerajaan dan difatwakan sesat adalah kerana :-

1) Dikatakan menyimpang dalam pengamalan Tarekat (Tariqah). Mereka terkenal dengan Aurad Muhammadiyyah. Aurad itu jamak bagi Wirid. Wirid itu pula adalah himpunan zikir-zikir. Maka disini bermaksud Wirid-Wirid Muhammadiyyah. Aurad Muhammadiyyah diasaskan oleh seorang wali besar berketurunan Rasulullah iaitu Syeikh Muhammad ibn Abdullah as-Suhaimi.

Wirid-wirid Muhammadiyyah ini turut diamalkan dan dikembangkan oleh anak murid serta anak kandung Syeikh Muhammad as-Suhaimi hingga ke hari ini. Antaranya ialah Syeikh Muhammad Khairullah as-Suhaimi, Syeikh Muhammad Fadlullah as-Suhaimi (tokoh ulama PAS era Kemerdekaan yg disegani), Ustaz Muhammad Taha as-Suhaimi dan Peguam Ustaz Muhammad Kamil as-Suhaimi.

Pengamal Aurad Muhammadiyyah ramai di seluruh dunia terutamanya di Nusantara termasuk di Malaysia. Abuya Ashaari lah yg mempopularkan Aurad Muhammadiyyah ini kepada masyarakat di Malaysia ketika beliau memimpin jemaah al-Arqam. Di Brunei, Aurad Muhammadiyyah dikembangkan oleh Mufti Negara Brunei iaitu Pehin Mufti Haji Ismail.

Nak mengamalkan wirid-wirid tertentu tidak salah selagi tak melangkaui syarak. Yg menjadi salah apabila salah amal. Nak tahu mcmna seseorang itu salah amal atau tidak, perlulah kepada pengajian. Dalam hal ini, Abuya Ashaari dikatakan telah salah pembawaan dlm mengamalkan Wirid-Wirid Muhammadiyyah yg diwarisi dari Wali Besar Syeikh Muhammad as-Suhaimi. Bukan ilmu Tarekat yg perlu dipersalahkan sebaliknya penyelewengan terhadap ilmu Tarekat lah yg perlu dibanteras.

Ilmu Tarekat adalah ilmu berkenaan Tazkiyatun Nafs (penyucian jiwa) atau nama lain Tasawwuf yg sebenarnya fardhu ain (wajib keatas semua umat Islam) untuk dipelajari bagi menyempurnakan Iman dan menghiasi akhlak (Rujuk hadis kedua dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi berkenaan Ihsan).

2) Mereka juga dikatakan taksub melampau apabila mengakui Syeikh Muhammad as-Suhaimi belum meninggal tetapi hanya ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi. Jika benarlah ini dakwaan mereka, maka ianya sememangnya menyeleweng dari konsep Imam Mahdi dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

3) mereka difatwakan sesat kerana berpegang kepada Yaqazah iaitu dapat berjumpa Rasulullah secara jaga. Sebenarnya, Yaqazah ini tidak salah bahkan terdapat dalam hadis sahih serta diakui oleh ramai para ulama besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah terutama sekali ulama Sufi. Yaqazah ini perbahasannya dalam perkara ranting Akidah. Namun, Yaqazah yg didakwa oleh al-Arqam ini difatwakan sesat kerana mereka dikatakan telah menambah syariat baru yang bertentangan dengan syariat sedia ada setelah bertemu dengan Rasulullah secara Yaqazah.

Jika benar mereka berbuat demikian, ini jelas menyimpang dari konsep Yaqazah dalam fahaman ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Menurut ulama Sunni, walau kita mampu beryaqazah sekalipun, mustahil Rasulullah datang untuk menambah atau memansuhkan syariat yang baginda bawa sewaktu baginda hidup pada tahun 571-633 masihi dahulu dgn syariat baharu sehingga berlakunya percanggahan.

Kisah pengharaman al-Arqam sebenarnya sebuah kontroversi besar yang mencetuskan fenomena di tanah air. Bahkan, beberapa ulama di luar negara termasuk negara Arab juga terkejut dengan berita kerajaan Malaysia mengharamkan al-Arqam ini. Al-Arqam memiliki ramai pengikut. Tetapi, pengharaman al-Arqam tidak menimbulkan pergelutan serius, tidak seperti kisah Memali atau al-Maunah yang melibatkan pergelutan bersenjata dengan kerajaan. Abuya Ashaari melarang pengikutnya melawan kerajaan yg ketika itu dipimpin oleh Dr Mahathir walaupun al-Arqam memiliki kekuatan dari segenap sudut.

Kata pengikut al-Arqam, pengharaman mereka bermotifkan politik dimana pengaruh Abuya Ashaari amat kuat dalam masyarakat mengatasi pemimpin politik. Ada juga yg kata kerana penguasaan ekonomi oleh al-Arqam membuatkan mereka disabotaj. Mereka mendakwa segala pertuduhan yg dilemparkan terhadap mereka sepertimana yg Mastika senaraikan itu hanyalah fitnah semata-mata.

Kemasukan “orang asing” sebagai ahli baru ke dalam jemaah al-Arqam semakin tak terkawal. Tatkala saiz jemaah ini semakin besar dan cengkaman ekonomi al-Arqam bernilai ratusan juta, maka api kacau bilau mula dicucuh dari dalam. Wujud pecahan itu pecahan ini. Kelompok A dakwa kelompok B sekian-sekian. Kelompok B dakwa kelompok A sekian-sekian. Kononnya, Special Branch telah menyusupi jemaah ini utk mengawasi pergerakan mereka.

Beberapa orang kanan Abuya dikatakan membelot bagi mengambil alih pucuk pimpinan Jemaah yg memiliki pengaruh dan kekayaan ini. Orang kanan Abuya ini dikatakan sengaja membuat dakwaan palsu yg sebenarnya tidak wujud pun. Dia hanya mengadakan cerita sahaja. Dia turut mengatakan Abuya salah guna kekayaan jemaah utk kepentingan sendri.

Orang kanan Abuya bertemu kerajaan bagi memberikan kesaksian penyelewengan jemaah ini lalu menyatakan taubat setelah gerakan ini diharamkan serta difatwakan sesat. Begitulah dakwaan dari pihak al-Arqam. Tapi selalunya inilah standard alasan seseorang untuk mempertahankan diri. Sama ada benar atau tidak dakwaan mereka, wallahualam.

Namun, kita anggap sajalah dakwaan al-Arqam ini hanya sebagai alasan semata-mata. Kerana pihak berautoriti bagi pihak Ulil Amri telah membuat perjumpaan, mesyuarat dan mengeluarkan keputusan. Mereka lebih arif dan segala pertanggungjawaban adalah atas bahu mereka. Kita sebagai orang awam, perlulah akur.

Tatkala al-Arqam nak pertahankan diri, mulut mereka dikunci. Abuya Ashari ditahan tanpa bicara dibawah Akta ISA. Buku mereka dirampas, lesen percetakan ditarik, aset dibekukan dan lain-lain tekanan. Setelah pengharaman al-Arqam, Abuya diminta untuk menyatakan taubatnya di dalam televisyen agar dipertontonkan kepada orang ramai.

Segala pertuduhan dan sabitan terhadap Abuya dibersihkan setelah Abuya membuat kenyataan taubat secara terbuka lalu dibebaskan dari ISA. Sejak itu, media bertungkus lumus membuat liputan mengenai ajaran sesat. Khutbah-khutbah Jumaat turut menyentuh isu ajaran sesat. Program-program forum perdana juga membicarakan mengenai ajaran sesat.

Bahkan, banyak filem atau drama berkisarkan ajaran sesat dibuat. Elemen seperti watak berjubah, berserban, berniqab, gelaran Abuya, babak berzikir menjadi cliche scene bagi menunjukkan ciri-ciri ajaran sesat. Tapi babak pondan, tak tutup aurat, bersentuhan laki perempuan dalam filem atau drama tak pernah dianggap sebuah kesesatan oleh “masyarakat intelektual” kini. ANEH.

Persoalannya, jika mmg mereka bersalah, mengapa tidak hanya perbetulkan akidah mereka tanpa perlu meruntuhkan usaha bisnes mereka. Siapa yang betul, siapa yang salah, siapa yang benar, siapa yang sesat, masih menjadi tanda tanya. Jadi, buang yang keruh, ambil yang jernih. Jangan menangguk di air yang keruh.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *