RAHMAT ALLAH KEBANGKITAN ISLAM KALI KE DUA

Kongsikan kepada yang lain
Share

Tuhan! Dengan rahmat dan berkat janji-Mu.

Di akhir zaman ada kebangkitan Islam kali kedua.

Orang-orang yang Engkau rezekikan menjadi pendokong-pendokong dan pejuang-pejuangnya telah mengumandangkan nama-Mu.

Bermula dari awal kurun hijrah lagi mereka telah meneroka.

Sudah beratus tahun nama-Mu jarang disebut orang dari hati nurani.

Kalau lidah sebut pun selama ini hanya sebagai budaya, hati tidak terasa apa-apa.

Sekarang hati telah mula berbunga kerana menghayati nama dan kebesaran-Mu.

Takut dan cinta terhadap-Mu telah memenuhi jiwa para-para pejuangnya dan para-para simpatinya.

Lidah menyebut nama-Mu telah mula mentafsirkan rasa hatinya.

Ibadah-ibadah pun telah mula berlaku dari jiwa dan penghayatannya.

Sebelum ini ada pejuang-pejuang hanya banyak menyebut syariat-syariat-Mu.

Nama-Mu jarang dibawa sama.

Seolah-olah syariat-Mu sebagai ideologi sahaja.

Ideologi memanglah tidak bertunjangkan iman atau tauhid.

Akibatnya syariat orang abaikan, nama-Mu dilupakan.

Tinggallah Islam itu hanya sebagai rangka semata-mata.

Rasa bertuhan sudah tercabut dari jiwa umat Islam.

Kerana itulah selama ini Islam itu diperjuangkan dengan hati yang keras.

Jiwa yang kasar tidak lunak, tidak lembut, tidak rukuk dan khudhuk.

Kelihatannnya tegang, militan, hilanglah keindahannya dan ketenangannya.

Orang takut, orang semakin jauh, musuh mengambil peluang menentang dan menyerangnya.

Akibatnya pejuang-pejuang Islam kecundang bahkan menerima kehinaan yang amat memalukan.

Terima kasih Tuhan!

Sekarang nama-Mu telah dibawa ke mana-mana siang dan malam.

Memenuhi bumi, setiap negara dan negeri bahkan seluruh dunia.

Nama-Mu telah telah mengisi jiwa-jiwa para-para pejuangnya.

Engkau telah disembah, mereka tersungkur di hadapan-Mu dengan merasakan kebesaran dan keagungan-Mu.

Air mata sudah mula mengalir bila nama-Mu disebut selalu.

Terutama di malam sunyi sepi, ketika berdua-duaan dengan-Mu.

Hati telah terasa keagungan-Mu, kuasa-Mu, pentadbiran-Mu, didikan-Mu dan penentu segala-galanya.

Akhlak mulia telah mula berbunga menyeri keindahan diri.

Kasih sayang telah menyejukkan hati dan melembutkan hati yang keras selama ini.

Bahkan orang kafir pun mula terasa keindahan Islam itu.

Setelah hati cair dengan takut dan mencintai-Mu.

Inilah anugerah-Mu buat umat akhir zaman.

Ia adalah rahmat-Mu kepada umat Muhammad bertaraf sejagat.

Pejuang-pejuangnya semakin aktif, bahkan dari masa ke semasa kian bertambah ramai dengan meriahnya.

Bumi-Mu semakin meriah orang promosikan nama-Mu.

Nama-Mu telah berkumandang memenuhi ruang udara yang lapang.

Nama-Mu telah dibawa ke mana-mana sahaja dengan bangganya.

Itulah berkat janji-Mu dari usaha orang-orang pilihan-Mu.

Moga-moga dengan ini kemurkaan-Mu kian reda.

Keredhaan-Mu semakin terasa di bumi yang semakin subur dengan iman ini.

 

Waktu Dhuha

22.08.2004

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *