Taatlah Walaupun Belum Faham, InsyaAllah Berkat

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Apabila ada larangan agar tidak membaca bahan-bahan bacaan luar dari jemaah bagi yang belum mendalami ilmu-ilmu dalam jemaah, sudah tentu ada lintasan di hati dan fikiran, kenapa tak boleh baca bahan-bahan luar dari jemaah? Jemaah tertutup sangat ke sampai tak boleh nak baca bahan-bahan luar jemaah?

Bagi orang yang yakin dan taat, tak jadi masalah. Dia yakin pemimpinnya dalam kebenaran. Pemimpinnya Allah pimpin maka dia taat sahaja. Sedikit pun dia tak rugi. Keyakinan dan ketaatannya menyelamatkannya.

Bagi yang tidak yakin atau kurang yakin malah tertanya-tanya eloklah bertanya-tanya supaya memahaminya bukan curi-curi melanggar peraturan atau menyimpan di hati. Mendongkol bersama-lama, kalau meletup lagi Bahaya.

Bila ada peraturan suruhan atau larangan dari sesebuah Syarikat, jemaah, organisasi, parti atau negara tentang sesuatu perkara sudah tentu ada sebab tertentu yang lebih diketahui pihak yang menyusun peraturan tersebut dari orang lain.

Suatu hari Saidina Umar membawa helaian kitab terdahulu yang beliau terima dari ahli kitab (Yahudi atau Nasrani). Lalu Saiyidina Umar membacanya di hadapan Rasulullah SAW. Tindakan Saiyidina Umar itu menyebabkan Baginda marah lalu menegur Saiyidina Umar:

“أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي‏”

“Apakah engkau terpesona dengannya wahai Ibn al-Khattab? Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya, sesungguhnya sekiranya Musa masih hidup, maka dia akan mengikuti aku.” (HR Ahmad, al-Nasa’i).

Ada beberapa huraian ulama berkaitan larangan dari baginda Nabi SAW. Antaranya larangan itu kerana kitab itu telah diubah-ubah isinya. Mustahil Saiyidina Umar akan terpengaruh dengan ajaran dari kitab terdahulu kerana sedia maklum dahsyatnya iman beliau sehingga Nabi SAW pernah bersabda;

“Kalau ada Nabi selepasku, Umarlah orangnya.”

Malah di antara kehebatan Saiyidina Umar ialah kalau beliau melalui satu lorong, nescaya syaitan tidak akan melalui lorong itu selama-lamanya. Mustahil Saiyidina akan terpengaruh, pun begitu baginda sangat terasa dengan perbuatannya.

Pengajaran besar yang boleh kita ambil dari kisah ini ialah pentingnya memahami rasa dan kehendak pemimpin. Bila pemimpin melarang sesuatu perkara, sudah tentu ada ribuan hikmah di situ. Walaupun kita belum memahaminya. Kena fahami perasaan pemimpin.

Firman Allah:

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Pemimpin meminta kita memahami ilmu-ilmu yang sangat banyak dalam jemaah. Buku-buku terlalu banyak. Sajak ribuan jumlahnya. Madah pun mencapai ribuan. Di dalamnya segala panduan untuk diri, keluarga dan perjuangan. Nasyid mendidik jiwa terlalu banyak. Video kisah penuh pengajaran sangat banyak. TV Ikhwan pun ada, di dalamnya banyak berita dan perkembangan. Filem dan filem pendek. Apakah kita telah membacanya? Mendengar semuanya? Menonton setiap satu darinya?

Sehingga kita betul-betul menguasainya. Apabila benar-benar menguasai segala ilmu yang sangat praktikal dalam jemaah barulah kita boleh menilai segala ilmu yang ada di luar.

Bukti ilmu yang berada di luar tidak lagi mampu mengubah ialah walaupun di Mesir ada Al Azhar dengan ribuan ulama tapi Mesir yang saya ziarah baru-baru ini tak ada perbezaan dengan Mesir yang saya jejaki 29 tahun lalu dari sudut KEBERSIHAN. Sampah bersepah-sepah malah berlonggok di mana-mana di Kaherah. Apakah orang Islam Mesir tidak tahu hadis,

النظافة من الإيمان

Kebersihan itu sebahagian dari Iman.

Mereka sangat tahu tetapi tak mampu melaksanakannya. Walaupun Presiden Turki, Erdogan menghadiahkan Mesir lori-lori sampah, mereka tak pandai memanfaatkannya. Walaupun kerajaan Mesir sekarang menawarkan pembelian sampah dari rakyat, tetaplah tak berjaya mengubah sikap rakyatnya kecuali sangat minimum. Nampaknya ilmu yang banyak sahaja tanpa dorongan iman hasil didikan, ilmu hanya di kitab dan mulut tetapi tidak mampu dipraktikkan dalam kehidupan.

Antara pengajaran lain ialah setiap zaman ada orang yang diberi kemampuan berbuat sesuatu. Kalau bukan zamannya, walaupun seseorang itu ada himpunan ilmu yang sangat banyak, dia tidak akan mampu berbuat. Lihatlah kata-kata Rasulullah SAW, kalau Nabi Allah Musa AS masih hidup, nescaya baginda akan mengikuti Rasulullah SAW. Ini adalah kerana Allah memberi wahyu kepada baginda untuk memimpin ketika itu. Wajiblah seluruh manusia mengikuti baginda. Maka membawa sesuatu yang lain di hadapan pemimpin sedangkan pemimpin mempunyai pandangannya sendiri adalah melanggar adab lahir dan roh.

Jadi, kita taatlah. Sampai masa bila pemimpin izinkan kita membaca kerana dalam nilaian mereka kita sudah boleh membenteng diri dari kefahaman yang bercanggah atau kita diberi tugasan tertentu, ketika itu taatilah. Tak rugi orang yang taat.

Moga Allah anugerahkan hati kita rindukan Nabi SAW bermula di bulan Maulid ini.

Aamiin.

Villa GISBH Amman.

6.44pm, Nov 9, 2018

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *