40 tahun Revolusi Iran di Malaysia

Kongsikan kepada yang lain
Share
Sambutan ulang tahun ke-40 Revolusi Islam Iran bermula Jumaat lalu pada 1 Februari.

Pada tarikh itu, di tahun 1979, Ayatullah Khomeini kembali ke Tehran dengan sambutan ribuan rakyatnya hingga membawa kepada runtuhnya kerajaan Shah Iran dan digantikan dengan Republik Islam Iran.

Revolusi Iran adalah salah satu daripada 3 revolusi rakyat yang penting dalam sejarah dunia moden.

Revolusi pertama yang penting ialah Revolusi Perancis yang berlaku pada tahun 1789. Tahun ini Perancis menyambut ulang tahunnya yang ke-230. Ia dianggap sebagai revolusi demokratik.

Revolusi kedua ialah Revolusi Rusia yang berlangsung pada tahun 1917. Pada 2017 yang lalu, Rusia dan gerakan kiri sedunia menyambut ulang tahunnya yang ke-100. Revolusi Rusia adalah revolusi komunis dan kesannya juga sampai ke Malaysia apabila tertubuhnya Parti Komunis Malaya pada 1930.

Bagaimanapun, kesan Revolusi Iran adalah lebih besar. Ia tercetus beriringan dengan apa yang ketika itu dipanggil sebagai Era Kebangkitan Islam dikira bermula dengan abad baru Hijrah, iaitu kurun ke-15, yang jatuh pada tahun 1980, setahun selepas berlakunya Revolusi Iran.

Kesan semangat revolusi itu sampai pada umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, khususnya pada generasi anak-anak muda.

Sebelum berlaku revolusi itu, sebahagian umat Islam di dunia sudah menampakkan minat terhadap politik secara Islam. Terdapat kekecewaan terhadap ideologi politik seperti nasionalisme, sosialisme dan komunisme. Mereka kelihatan berusaha mencari alternatif kepada ideologi, dan menemui kaedah politik Islam.

Di peringkat antarabangsa, ada yang tertarik dengan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin Mesir seperti Hassan Al-Banna dan Sayyid Qutb.

Ada pula terpesona dengan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang membawa gagasannya melalui Buku Hijau.

Di Malaysia, anak-anak muda tertarik pada pertubuhan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pimpinan Anwar Ibrahim, Darul Arqam pimpinan Ashaari Muhammad dan gerakan dakwah Tabligh.

Di Britain, pelajar-pelajar Malaysia, kebanyakannya dalam bidang kejuruteraan menubuhkan Islamic Representative Council (IRC) yang cenderong pada kaedah Ikhwanul Muslimin.

Sebelum Revolusi Iran, gerakan Islam di negara itu tidak begitu dikenali oleh anak-anak muda Malaysia. Bukan saja kerana rakyat Iran bermazhab Syiah yang dianggap asing tetapi pemikiran dalam bahasa Parsi sukar untuk diikuti oleh masyarakat negara ini, berbanding tulisan bahasa Arab dan Inggeris.

Penulis sendiri menyedari mengenai Revolusi Iran itu bermula daripada laporan berita luar negeri di akhbar tempatan yang melaporkan pergolakan politik negara itu.

Namun demonstrasi dan rusuhan yang dilaporkan belum menampakkan elemen Islam.

Hanya selepas Februari 1979, pengaruh gerakan Islam di Iran sampai ke kalangan anak-anak muda Malaysia. Ketika itu saya berada di kampus Institut Teknologi Mara (ITM) dan gambar Ayatullah Khomeini diedar dan dijual di kalangan pelajar. Ada yang menampal gambar beliau pada motosikal dan dinding-dinding rumah sewa mereka.

Di ITM, para pelajar yang cenderong pada Islam bergabung dalam Markaz Islam. Antara aktivis Markaz Islam ialah Mohamad Sabu. Beliau kini menteri pertahanan dan presiden Amanah.

Antara pensyarah agama di ITM ketika itu ialah Abdul Ghani Shamsuddin, kini timbalan penasihat Amanah.

Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM) pula ialah Khalid Jaafar, kini ahli politik PKR.

Pelajar Malaysia di Britain juga menerima kesan daripada pengaruh Revolusi Iran ini. Antaranya Khalid Samad yang menubuhkan kumpulan Suara Islam. Kumpulan ini menyatakan sokongannya terhadap Revolusi Iran. Khalid kini menteri Wilayah Persekutuan dan adalah ketua penerangan Amanah.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau dan rakan-rakannya tidak puas hati dengan PAS pimpinan Datuk Asri Muda. Khalid dan rakan-rakan seperjuangannya menubuhkan Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) yang bermodelkan pada Parti Republikan Islam di Iran yang mendokong Ayatullah Khomeini dan penubuhan Republik Islam Iran.

Pendaftaran PNIM ditolak kerana perlembagaannya dianggap bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. Aktivis PNIM bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya tahun 1982.

Bagaimanapun, keumdiannya, Khalid menyertai PAS.

Republik Islam Iran ditubuhkan pada 1 April 1979 selepas referendum. Negara ini menyatakan bahawa dalam hubungan luarnya, Tehran mengutamakan hubungan dengan negara-negara Islam lain, tidak seperti pada zaman Shah di mana Iran mengutamakan hubungannya dengan Amerika Syarikat.

Namun begitu, hubungan antara Kuala Lumpur dan Tehran adalah baik pada zaman Shah. Malah Shah mengadakan lawatan rasmi ke negara ini pada 1968. Negeri yang dilawati adalah Perak.

Selepas pilihan raya tahun 1974, duta Malaysia ke Iran ialah Yusof Rawa yang merupakan seorang pemimpin PAS. Ketika itu PAS adalah anggota Barisan Nasional. Namun begitu Iran tidak membuka kedutaannya di Kuala Lumpur, ia mentauliahkan kedutaannya di Bangkok untuk hubungannya dengan Malaysia.

Setelah tertubuhnya Republik Islam, Iran membuka kedutaannya di Kuala Lumpur. Pada sekitar awal tahun 1980-an, kedutaan itu mengadakan pameran di sebuah hotel mengenai Revolusi Islam Iran.

Sebagai pelajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) ketika itu, saya juga menerima banyak bahan bacaan berbentuk akhbar, buku, majalah dan risalah mengenai revolusi itu.

Kerajaan Iran juga mengundang dan menaja pertubuhan Islam untuk melawat negara itu bagi menyaksikan sendiri perkembangan revolusi.

Antara lawatan yang terkenal ialah rombongan Abim yang diketuai oleh Anwar. Gambar-gambar lawatan itu tersebar dalam penerbitan Abim seperti Risalah dan majalah pro-Abim, Panji Masyarakat.

Salah seorang pemimpin Abim yang mengikut lawatan itu ialah Anuar Tahir, kini timbalan menteri kerja raya dan setiausaha agung Amanah. Beliau datang ke UPM untuk menceritakan mengenai butiran lawatan itu pada hadirin yang sesak di dewan kuliah. Saya turut hadir dalam ceramah itu.

Tetapi pengaruh Revolusi Iran paling besar adalah terhadap PAS. Pada Muktamar Agung 1982, berlaku krisis kepimpinan di mana apa yang dianggap sebagai golongan radikal telah mengambil alih pucuk pimpinan.

Barisan pimpinan lama yang diketuai oleh Datuk Asri Muda dianggap tidak sesuai lagi dengan Era Kebangkitan Islam.

Barisan pimpinan baharu diketuai oleh Yusof Rawa, iaitu bekas duta Malaysia ke Iran.

Timbalannya ialah Fadzil Nor, bekas timbalan presiden Abim. Naib-naibnya ialah Abdul Hadi Awang dan Nakhaie Ahmad. Termasuk dalam apa yang disebut sebagai golongan radikal ini ialah Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mustafa Ali, Mohamad Sabu dan Khalid Samad.

Saya hadir di muktamar itu sebagai pemberita. Laungan-laungan pemuda yang menolak kepimpinan lama mengandungi slogan-slogan yang disadur daripada Revolusi Iran.

Dengan inspirasi daripada Iran, mereka menggagaskan kepimpinan ulama untuk PAS. Perlembagaan dipinda, yang mana PAS menubuhkan Majlis Syura dan jawatan mursyidul am.

Yusof Rawa menjadi mursyidul am pertama dengan Fadzil Nor menjadi presiden PAS.

Dalam pilihan raya 1986, istilah Hizbi dan Hizbullah digunakan oleh aktivis PAS yang pro-Revolusi Iran untuk merujuk parti atau kumpulan pelajar mereka. Ia juga mengambil seangat Hizbullah, kupulan politik Lubnan dari kalangan Syiah yang disokong Iran.

Selama 40 tahun selepas Revolusi Iran, terdapat peristiwa-peristiwa yang menunjukkan pengaruhnya bukan saja terhadap politik negara ini tetapi juga bidang-bidang lain.

Kredit: Zin Mahmud, FMT

AM: Ustaz Ashaari Muhammad, pengasas Darul Arqam Malaysia dijemput ke Iran oleh kerajaan Syiah Iran untuk menjadikannya dan jemaahnya penyokong revolusi Syiah Iran tetapi berlaku sebaliknya, beliau pergi ke Iran dan mengkaji secara ‘direct’ apa itu Syiah dan revolusi Islam yang dicanang-canangkan lalu menulis buku, ‘BAHAYA SYIAH’. Buku ini diterbitkan pada April 1987

Mari kita baca sendiri apa kata beliau:

KEJAYAAN revolusi Iran sebenarnya bukanlah kejayaan Islam, tetapi kejayaan satu puak Syiah yang agak praktikal, menumbangkan puak-puak Syiah lain yang dikatakan zalim dan menindas. Setelah beratus-ratus tahun Shah Iran menzalim dan menindas rakyat jelata, maka akhimya seluruh rakyat bangun memberontak. Oleh sebab kepimpinan Khomeini agak menonjol, maka semua golongan bersatu di bawah pimpinannya untuk menumbangkan Shah. Termasuklah golongan-golongan itu ialah orang-orang Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga Komunis, Sosialis dan Nasionalis. Apabila revolusi selesai dengan kejayaan di pihak mereka golongan revolusioner ini berpecah pada puak masing-masing. Terjadi perebutan di kalangan mereka malah berbunuh-bunuhan. Ada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dibunuh dan dipenjara oleh orang-orang Khomeini. Perlembagaan yang dipakai di Iran sekarang adalah bermazhab Syiah Imamiah.

Jadi dengan kata-kata yang lain, kejayaan revolusi Iran ialah kejayaan Syiah. Syiah jauh bezanya dengan Ahli Sunnah. Malah salah satu musuh Syiah ialah orang-orang Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam sejarah perjuangan Syiah, Ahli Sunnah adalah musuh ketatnya. Syiah jual nama Islam sebab itu mereka dapat bertapak kuat dan berpengaruh di Iran, Iraq, Pakistan dan India. Jadi kejayaan revolusi Iran bukanlah sesuatu yang membanggakan kita. Malah bagi orang yang mengenal Syiah, kejayaan revolusi dirasakan satu tamparan pada Ahli Sunnah. Revolusi itu kecil saja ertinya pada Islam dibanding kandengan besarnya kesilapan Syiah pada Islam.

Tapi aneh, ketika berita kejayaan Khomeini menumbangkan Shah sampai pada kita, umat Islam khususnya setengah pejuang-pejuang Islam di Malaysia berlompatan gembira. Perhatian diarahkan ke Iran. Semangat revolusi ditiup merata-rata dan Khomeini dipilih sebagai imam mereka. Hingga sekarang, sudah ada orang-orang Malaysia yang bermazhab Syiah atau paling tidak mengiktiraf kewujudan Syiah. Ada setengah ulama-ulama sendiri yang dulunya takut sekali kalau-kalau umat Islam terpesong dari aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tapi kini sejak Khomeini tawan Iran, ulama yang sama berkata, “Baru kita tahu rupanya Syiah

benar dan Ahli Sunnah Wal Jamaah salah.”

Setengah berkata perselisihan Syiah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah iktilaf furu’iah (bukan pokok) termasuk mazhab yang dibenarkan, seperti Hanafi, Shafie, Maliki, Hanbali. Dan mereka membaca hadis:

Ertinya:

“Perselisihan umatku adalah rahmat.”

Diriwayatkan oleh Baihaqi.

Kumpulan lain pula berkata, Syiah pegangan Khomeini adalah Syiah yang sederhana (bukan ekstrim). Ertinya boleh diterima. Semuanya menghala ke arah menyetujui dan meng- iktiraf Syiah Imamiah pegangan mereka.

Al hasil segolongan pejuang-pejuang muda Islam dan sebahagian pensyarah, mahasiswa-mahasiswi di institut pengajian tinggi sekarang lepas seorang, seorang melompat ke Syiah, jadi penganut dan agen perjuangan Syiah, konon perjuangan Islam. Sudah ada markas Syiah di Wilayah Persekutuan, katanya lebih kurang 200 orang ahlinya. Mereka berjuang untuk meluaskan lagi gelanggang, mereka hantar pelajar-pelajar untuk belajar di Iran atau Pakistan. Tiga orang kenalan saya, pertama bekas ahli Arqam, kedua imarn masjid di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan dan seorang lagi ahli salah satu harakah Islam, telah menghantar anak ke Iran (Qom).

Baru-baru ini semasa di Pakistan saya diberitahu terdapat 25 orang pelajar Malaysia sedang belajar di sana. (Sementara sebelum dihantar ke Qom) 15 darinya perempuan. Terbayanglah di kepala saya betapa nanti kalau mereka melakukan nikah mut‘ah. Sebab bagi orang Syiah, nikah mut‘ah bukan setakat untuk lepas nafsu, tapi adalah satu jihad dan tidak sempuma iman, kalau tidak kahwin mut‘ah.

Saya yakin ramai lagi ulama di Malaysia yang tidak terima Syiah.

Ini berdasarkan hadis yang turun- temurun kita baca:-

Ertinya:

‘Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, yang satu masuk syurga dan yang lain masuk neraka, Bertanya para sahabat, siapakah firqah yang tidak masuk neraka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ahli S u n n a h W a l Jamaah.”

Diriwayatkanoleh Imam Tabrani.

Orang Syiah kata merekalah satu puak yang dimaksudkan itu. Sebab itu mereka berjuang menyebarkan pengaruh dan ajaran mereka. Sedangkan kita Ahli Sunnah Wal Jamaah bungkam seribu bahasa. Kerana keadaan tertentu atau kerana hendak jaga hati golongan tertentu kita benarkan musuh kita menyebar jala dan pukat untuk mengaut anak buah kita. Ini tidak patut, membiarkan Syiah masuk bererti membenarkan satu jurang lagi dibuat untuk memecah-belahkan umat Islam (khusus yang cinta pada Islam). Selain itu kemasukan Syiah memungkinkan pergaduhan dan peperangan. Sebab sejarah Syiah ialah mereka perangi siapa saja yang tidak sealiran dengan mereka apalagi kalau menentang mereka.

Bimbangkan itulah maka saya yang serba dhaif ini terutama di bidang ilmu pengetahuan, beranikan diri untuk mengeluarkan buku ini. Harapan saya sekadar untuk fahamkan umat Islam di Malaysia tentang (kelain-lainan) asas Syiah Imamiah pegangan Khomeini dibandingkan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mudah-mudahan dapat dibendung kemaraan pengaruh ajaran Syiah dan semangat revolusi Iran ke Malaysia ini.

Syukur pada Allah kerana memberi kekuatan dan keupayaan kepada saya untuk menulis buku ini. Ampuni hambamu ya Allah. Sekiranya tersalah atau tersilap, lebih-lebih lagi kalau ada rasa tidak ikhlas semasa menyiapkan buku ini. Moga-moga pahalanya disampaikan pada guru-guruku, kedua ibu bapaku, serta mereka yang pemah berjasa padaku. Jadilah hendaknya buku ini bermanfaat pada saya dan pembaca sekelian.

Al hakir wal Fakir ilallah, Ashaari Muhammad.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *