Maqam Siti Aminah, Bonda Nabi SAW di Abwa’

Kongsikan kepada yang lain
Share
Gambar lama Maqam Siti Aminah, Bonda Nabi SAW

Ketika Rasulullah SAW berumur 6 tahun, setelah Siti Aminah memelihara baginda sepenuh kasih sayang, baginda pun sudah semakin membesar, bonda Rasulullah SAW membawa baginda bermusafir ke Yathrib di kampung bapa saudara baginda dari sebelah bapanya atau lebih tepat lagi keluarga sebelah ibu Abdul Mutalib.

Maqam ketika saya berziarah tadi 18.04.2019. Semua kawasan sekitar berbau minyak hitam yang kuat dan ada kesan simbahan minyak yang banyak

Bondanya membawa baginda yang masih kecil lagi untuk melihat sendiri makam ayahandanya yang meninggal dunia ketika baginda masih di dalam kandungan.

Klik Gambar untuk tobton video

Setelah hampir sebulan melihat sendiri Maqam Said Abdullah juga tinggal bersama sanak saudaranya dari Bani Najjar, mereka pun berangkat pulang ke Mekah. Di dalam perjalanan, Siti Aminah ditimpa sakit dan meninggal dunia lalu dikebumikan di sini, di Abwa’ kira-kira 235km dari Yathrib dan 190km dari Jeddah,

Klik Gambar untuk tonton video

Berpisah pula si kecil Saiyidina Muhammad dengan bonda kesayangan baginda Siti Aminah binti Wahab, sudahlah tiada berayah, sekarang kehilangan ibu. Kalau meninggal di Yathrib sudah tentu keluarga sebelah ibu Abdul Mutalib akan segera membela anak ini. Kalau meninggal di Mekah pula sudah tentu keluarga Abdul Mutalib yang ramai di Mekah akan segera mengambil anak yatim piatu ini agar kurang kesedihannya tetapi apa yang berlaku, bondanya Siti Aminah meninggal dunia di Abwa’ jauh dari Mekah dan Madinah di depan matanya.

Allah didik baginda agar tetaplah pergantungannya hanya kepada Allah SWT. Pilunya hati mengenangkan nasib baginda. Melihat kematian bonda yang dikasihi di depan mata tanpa sanak saudara. Hanya bersama Ummu Aiman dan kafilah. Tinggallah jasad bondanya di atas sebuah bukit di Abwa’, jauh di pendalaman.

Saat menjelang kematiannya Siti Aminah berkata:

“Setiap yang hidup pasti mati, dan setiap yang baru pasti usang. Setiap orang yang tua akan binasa. Aku pun akan mati tapi sebutanku akan kekal. Aku telah meninggalkan kebaikan dan melahirkan seorang bayi yang suci.”

Diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah dengan katanya:

“Rasulullah SAW memimpin kami dalam melaksanakan haji wada’. Kemudian baginda mendekat kubur ibunya sambil menangis sedih. Maka aku pun ikut menangis karena tangisannya.”

Mampukah kita biarkan Rasulullah SAW menangis sedih tanpa kita menangis? Menangis ketika menziarahi Maqam Bonda Nabi SAW di Abwa’ ini.

Musuh Allah dan Rasul sangat berusaha supaya umat ini terpisah bukan sahaja dengan baginda malah sesiapa yang ada kena mengena dengan baginda. Tiada tanda-tanda di jalanraya untuk sampai ke sini. Tiada jalan tar. Yang ada hanya lorong-lorong bekas pelawat-pelawat yang datang berziarah.

Dengki yang tak pernah padam lebih jelas kelihatan bila mereka sanggup menambak bukit dengan benteng pasir dan batu agar tiada kenderaan yang boleh parking paling hampir dengan kaki bukit kerana makam Siti Aminah di atas bukit. Maka penziarah kena berjalan lebih untuk sampai ke puncak bukit.

Mujur laluan orang-orang terdahulu memudahkan kami sampai ke lokasi. Bertambah sayu dan sedih hati bila melihat kawasan Maqam Siti Aminah yang sengaja dikotori dengan simbahan minyak hitam agar menyusahkan para penziarah.

Kuasa tuhan mengatasi segala-galanya, ada hamba-hamba Allah yang baik hati, menyusun semula batu-batu sebagai menandai Maqam Bonda Nabi SAW yang tercinta.

Ya Allah! Sebagaimana Tuhan memelihara Maqam Bonda Nabi SAW sejak lebih seribu tahun, menangkanlah dan peliharalah pencinta dan perindu Nabi SAW di akhir zaman ini.

Terima kasih kepada Tuan Nasiruddin Mohd Ali kerana mengizinkan anjang travel dengan GMC ni, kalau bukan berkat GISBH dan pimpinannya, tak sampai anjang ke sini.

Otw Abwa’-Madinah Munawwarah

12.45pm, Apr 18, 2019

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “Maqam Siti Aminah, Bonda Nabi SAW di Abwa’

  • April 18, 2019 at 9:45 pm
    Permalink

    Sayu Pilu Rindu dgn Pemimpin Hati, moga juga diberikan SPR dgn Bonda Rasulullah SAW

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *