PEPERANGAN BADAR

Kongsikan kepada yang lain
Share

Dari buku Tuan Nasaruddin Awang:

Catatan Sejarah Rasulullah SAW

Peperangan Badar

Badar Al-Kubra

Pada bulan Sya’ban tahun kedua Hijriah, Allah telah menurunkan perintah berpuasa di bulan Ramadan. Maka puasa Ramadan yang pertama oleh para Sahabat adalah di bulan Ramadan tahun kedua selepas Hijrah. Pada bulan Ramadan itu Rasulullah SAW berpuasa dan semua umat Islam berpuasa bersama Baginda. Dalam bulan Ramadan inilah berlakunya peperangan Badar yang merupakan peperangan paling agung dalam sejarah Islam. Ketika itu Rasulullah SAW mendapat berita kepulangan kafilah dagang Kuffar Quraisy yang besar dari Syam. Barang-barang dagangan kafilah ini dibawa oleh 1000 ekor unta dan hanya dikawal oleh 40 orang lelaki. Kafilah ini diketuai oleh Abu Sufyan. Kafilah ini istimewa dari kafilah yang lain kerana semua peniaga Quraisy Mekah mempunyai barang dagangan mereka dalam kafilah ini. Kafilah ini merupakan dagangan bersama di antara semua pedagang Quraisy. Tidak hairanlah ia sangat menjadi perhatian dan sangat dinantikan oleh semua orang. Rasulullah SAW memberitahu umat Islam bahawa Baginda akan memimpin sendiri tentera Islam kali ini. Allahlah yang menyusun segala-galanya.

Firman Allah :

“Sepertimana Allah telah mengeluarkan kamu (Rasulullah) dari rumah kamu dengan kebenaran.”

Rasulullah SAW telah membuat tawaran kepada semua orang Islam untuk menyertai pasukan ini. Pada waktu itu belum ada perintah berjihad. Semua para sahabat membuat persiapan untuk menyertai pasukan ini. Seramai 313 orang lelaki keluar bersama Rasulullah dalam pasukan ini. Setelah bersedia, mereka pun bergerak menuju ke tempat laluan kafilah ini.

Mimpi Sayyidah Atiqah Binti Abdul Mutalib

Pada masa yang sama telah berlaku satu peristiwa pelik di Mekah. Sayyidah Atiqah binti Abdul Mutalib , ibu saudara Rasulullah SAW yang masih berada di Mekah bermimpi melihat seorang lelaki berdiri di Abtoh menjerit sambil menyeru, “Wahai orang yang khianat kepada Islam! Bersiap-siaplah untuk kematian kamu tiga hari dari sekarang!” Lelaki itu kemudian datang ke Ka’bah pula dan menyeru lagi, “Wahai orang yang khianat dengan Islam, tunggulah kematian kamu tiga hari lagi!” Selepas itu lelaki itu naik ke atas Jabal Qubais di tepi Ka’bah dan berseru lagi dengan seruan yang sama. Selepas itu dia mengambil seketul batu dan melontarkannya ke arah seluruh rumah penduduk Mekah. Batu itu pecah berkecai dan serpihannya masuk ke dalam setiap rumah penduduk Mekah. Sayyidah Atiqah menceritakan mimpi ini kepada saudaranya Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib. Dia berpesan agar Sayyidina Abbas jangan menceritakannya kepada sesiapa pun. Sayyidina Abbas yang berkawan rapat dengan Walid bin Utbah telah menceritakan mimpi itu kepada Walid bin Utbah. Walid pula menceritakannya kepada ayahnya Utbah. Akhirnya tersebarlah cerita itu di Mekah. Sayyidina Abbas RA tidak mengetahui hal ini. Dia menyangka, selain Sayyidah Atiqah, hanya dia dan Walid sahaja yang mengetahui mimpi itu.

Keesokannya, selepas Sayyidina Abbas RA melakukan tawaf di Ka’bah, Abu Jahal telah menjemputnya hadir dalam majlis pembesar Quraisy yang lain. Abu Jahal berkata kepadanya, “Wahai Abbas, aku mendapati bahawa sudah bertambah Nabi dari kalangan Bani Abdul Mutalib!” Sayyidina Abbas RA bertanya, “Apa maksud kamu, wahai Abu Jahal?” Abu Jahal menegaskan, “Sebelum ini ada lelaki dari kalangan kamu yang mengaku jadi Nabi. Sekarang sudah ada perempuan pula yang mahu menjadi Nabi!” Sayyidina Abbas RA tidak tahu bahawa cerita mimpi itu sudah tersebar di Mekah. Dia merasa hairan terhadap kata-kata Abu Jahal. Dia bertanya lagi kepada Abu Jahal, “Apa yang sudah berlaku sebenarnya?” Abu Jahal segera berterus- terang, “Mimpi Atiqah, wahai Abbas!” Sayyidina Abbas RA bertanya lagi, “Mimpi apa yang kamu maksudkan?” Kali ini Sayyidina Abbas RA terpaksa menafikan mimpi itu. Dia khuatir mimpi Sayyidah Atiqah itu tidak akan berlaku. Ketika itu Abu Jahal mencabar Bani Abdul Mutalib, “Kalau tidak berlaku mimpi Atiqah dalam masa tiga hari ini, kami akan membuat kenyataan bertulis bahawa Bani Abdul Mutalib adalah kaum paling penipu di kalangan bangsa Arab!” Apabila cerita ini sampai kepada ahli keluarga Sayyidina Abbas RA yang lain, mereka semua marah. Kenapa Sayyidina Abbas RA membiarkan Abu Jahal mempersendakan Bani Abdul Mutalib. Ketika itu Sayyidina Abbas RA berazam, selepas tiga hari ini kalau Abu Jahal masih memperlecehkan Bani Abdul Mutalib lagi, dia tidak akan teragak- agak untuk memukul Abu Jahal.

Berhampiran dengan Badar, Abu Sufyan memimpin kafilah dengan penuh berhati-hati. Dia menghantar beberapa perisik untuk memastikan jalan yang akan mereka lalui adalah selamat. Rasulullah SAW juga menghantar perisik untuk mengintip perjalanan kafilah ini. Baginda telah menghantar dua orang sahabat untuk meninjau kawasan berdekatan sehinggalah mereka sampai ke kawasan berhampiran dengan perigi Badar. Dari situ mereka dapat melihat seorang lelaki berada di situ dan dua orang jariah sedang mengambil air. Daripada perbualan dua orang jariah ini mereka dapat mengetahui bahawa kafilah Abu Sufyan sudah mendekati Badar. Mereka segera pulang memberitahu Rasulullah SAW.

Ketika itu juga Abu Sufyan keluar sendiri untuk meninjau laluan kafilahnya agar selamat dari sebarang marabahaya. Abu Sufyan juga meninjau sehingga ke perigi Badar. Dia bertanya kepada lelaki yang berada di situ, apakah dia ada melihat sesiapa di kawasan itu. Lelaki itu berkata, “Aku nampak dua orang lelaki berhenti tidak jauh dari sini tetapi mereka tidak datang ke perigi.” Abu Sufyan pergi ke tempat yang ditunjukkan itu. Dari tapak kaki unta dan biji tamar dalam najis unta di situ, Abu Sufyan dapat mengesan bahawa dua lelaki tadi datang dari Madinah. Hanya orang Madinah sahaja yang memberi unta mereka makan tamar. Madinah memang kaya dengan hasil tamar. Abu Sufyan kini mendapat kepastian bahawa kafilahnya dalam bahaya. Dia segera menghantar utusan ke Mekah meminta orang Mekah segera menghantar tentera untuk menyelamatkan kafilah mereka. Abu Sufyan sangat yakin dia tidak akan terlepas kali ini daripada Rasulullah dan tentera Islam.

Untuk menyampaikan berita itu kepada Quraisy, Abu Sufyan telah memilih Dham Dham bin ‘Amr. Dham Dham adalah seorang pakar propaganda di kalangan orang Abu Sufyan. Dham Dham segera memecut untanya menuju ke Mekah. Apabila dia sampai ke perbatasan Mekah, dia telah mengoyakkan pakaiannya. Kemudian dia memakainya semula dalam keadaan terbalik dan terkoyak-koyak. Setelah itu dia mencederakan untanya lalu diambil darahnya dan disapu ke muka, badan dan pakaiannya. Dia kelihatan begitu dia sampai di Abtoh, dia menjerit sekuat-kuatnya: “Tolong! tolong! Telah berlaku malapetaka!” Orang Mekah berkejaran ke tempatnya. Apabila orang bertanya apa yang berlaku, Dham Dham tidak menjawabnya. Sebaliknya dia terus menjerit, “Tolong! tolong! Telah berlaku malapetaka besar!” Penduduk Mekah terus bertanya. Dham Dham tidak menjawab pertanyaan mereka. Dia terus bergerak menuju ke Ka’bah. Orang ramai berpusu-pusu mengikut di belakangnya. Terjadilah satu perarakan tergempar. Di Ka’bah dia menjerit lagi dengan seruan yang sama. Setelah itu Dham Dham naik ke Jabal Qubais. Ketika itu semua orang Mekah telah keluar berkumpul di Ka’bah yang berada di bawah Jabal Qubais. Dari atas bukit Jabal Qubais, Dham Dham menjerit lagi, “Tolong! Tolong! telah berlaku malapetaka besar!!” Apabila Dham Dham melihat orang ramai sudah berkumpul barulah dia menceritakan kepada mereka apa yang telah berlaku kepada kafilah mereka.

Mendengar berita itu penduduk Mekah tanpa berlengah lagi bersiap untuk keluar mempertahankan kafilah mereka.

Sebelum Dham Dham sampai, Sayyidina Abbas RA melakukan tawaf di Ka’bah. Hari itu adalah hari ketiga selepas Sayyidah Atiqah mendapat mimpi. Sayyidina Abbas RA sudah berazam akan memukul Abu Jahal kalau dia berani lagi memperlecehkan dirinya atau Bani Abdul Mutalib. Sayyidina Abbas RA menceritakan, “Semasa tawaf aku nampak Abu Jahal datang bergegas-gegas tetapi dia tidak bercakap apa-apa kepadaku. Aku berbisik dalam hatiku, “Takkanlah sampai begini sekali Abu Jahal takut kepadaku.” Ketika itu barulah Sayyidina Abbas RA mendengar jeritan Dham Dham.

Quraisy Bersiap Untuk Berperang

Semua orang sibuk bersiap untuk keluar berperang. Semua pembesar Kuffar Quraisy telah bersiap kecuali dua orang. Abu Lahab tidak mahu ikut keluar berperang tetapi dia telah mengupah seorang pemuka Quraisy lain yang berhutang kepadanya untuk menggantikannya. Sebagai balasannya, semua hutang orang itu padanya dikira langsai. Seorang lagi pemuka Quraisy yang tidak mahu keluar berperang kali ini ialah Umayyah bin Khalaf. Pernah satu ketika dia mencaci Sayyidina Saad bin Muaz RA, salah seorang ketua Ansar yang sedang tawaf di Ka’bah. Sayyidina Saad bin Muaz RA berkata kepada Umayyah, “Tidak mengapa kamu mencaci aku sekarang. Aku nak beritahu kamu bahawa Rasulullah SAW telah memberitahu kami, kami akan membunuh kamu!” Umayyah bertanya, “Apakah orang Islam akan membunuh aku di Mekah atau di luar Mekah?” Sayyidina Saad RA menjawab, “Rasulullah tidak memberitahu tempatnya.” Rupanya kata-kata Sayyidina Saad bin Muaz RA itu telah menyebabkan Umayyah takut untuk berperang dengan orang Islam. Dia takut ucapan Rasulullah SAW itu akan berlaku kepada dirinya.

Ketika Umayyah sedang duduk di Ka’bah dengan pengikutnya, Uqbah bin Muayyith datang kepadanya. Uqbah membawa perasap wangi-wangian lalu diletakkannya di depan Umayyah. Uqbah berkata, “Wahai Umayyah, berasaplah dan berwangi-wangilah, kamu kan seorang perempuan! Semua orang sibuk bersiap untuk berperang, kamu masih duduk-duduk di sini?” Umayyah benar-benar tercabar, dia bingkas bangun dan bersiap untuk keluar berperang.

Ketika Quraisy Mekah sedang sibuk bersiap untuk keluar berperang, mereka teringat pula akan pergaduhan mereka dengan Bani Kinanah. Mereka mula teragak-agak untuk meninggalkan Mekah. Mereka khuatir Bani Kinanah akan mengambil peluang ini untuk menyerang Mekah. Diriwayatkan, apabila Iblis melihat Quraisy teragak-agak, dia berusaha merangsang Quraisy agar tetap keluar memerangi Rasulullah SAW. Moga habislah Rasulullah dan para Sahabat kali ini. Iblis telah datang menyerupai wajah Suraqah bin Malik, salah seorang pembesar Bani Kinanah. Lantas dia memberi jaminan kepada Quraisy bahawa Bani Kinanah tidak akan menyerang Mekah.

Berita pergerakan tentera Mekah belum lagi sampai kepada Rasulullah SAW. Baginda dan para sahabat RA terus memburu kafilah Abu Sufyan. Dalam masa itu, Quraisy Mekah telah pun menghantar 950 lelaki yang lengkap dengan persiapan perang. Rasulullah SAW dan para Sahabat pula bukan datang untuk berperang tetapi hanya sekadar mahu menyekat kafilah perdagangan Mekah. Tidak hairanlah bilangan mereka hanya 313 orang, mengenderai 70 ekor unta dan hanya 2 ekor kuda. Mereka bersilih-ganti menunggang kenderaan. Kebanyakannya berjalan kaki.

Para Sahabat Berbai’ah

Persiapan tentera Islam bukan untuk menghadapi peperangan. Sementara tentera Musyrikin Mekah terdiri dari 950 orang lelaki, 200 orang tentera berkuda dan yang selebihnya menggunakan unta. Ini tidak termasuk unta- unta yang dibawa untuk disembelih sebagai makanan. Perempuan musyrikin Mekah juga turut menyertai tentera ini. Tugas mereka adalah memberi semangat dan menghiburkan tentera mereka. Selepas itu Allah telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW memberitahu Baginda pergerakan tentera Musyrikin Mekah. Rasulullah SAW pun mengumpulkan para Sahabat. Baginda telah membawa mereka keluar dengan tujuan untuk menyekat kafilah Abu Sufyan tetapi telah datang wahyu memberitahu bahawa Kuffar Quraisy telah menghantar tentera untuk memerangi umat Islam sekaligus menyelamatkan kafilah mereka. Rasulullah SAW meminta pandangan para Sahabat dalam hal ini.

Mendengar kata-kata Rasulullah itu, Sayyidina Abu Bakar RA bangun dan berbai’ah kepada Rasulullah SAW serta meminta Baginda meneruskan perjuangan. Setelah Sayyidina Abu Bakar duduk, Rasulullah SAW bertanyakan soalan yang sama. Sayyidina Umar RA pula bangun dan menyatakan bai’ahnya kepada Rasulullah SAW dan meminta Baginda meneruskan perjuangan untuk menghadapi tentera Kuffar Quraisy. Setelah Sayyidina Umar RA menghabiskan kata-katanya, Rasulullah SAW bertanya lagi soalan yang sama.

Ketika itu Sayyidina Miqdad bin Amr RA bangun dan berucap, “Wahai Rasulullah! Laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah kepada Rasulullah. Demi Allah! Kami tidak akan berkata kepadamu wahai Rasulullah sepertimana Bani Israil telah berkata kepada Nabi Musa , “Pergilah kamu dengan Tuhan kamu berperang. Kami hanya duduk di sini.” Tetapi kami akan berkata, pergilah kamu dan Tuhanmu, kami akan bersama setia bersama Allah dan Rasul-Nya berjuang. Demi Allah, wahai Rasulullah, kalau kamu membawa kami sehingga ke Birakil Rimad sekalipun, kami akan terus bersamamu. Tiada seorang pun dikalangan kami yang akan menarik diri.”

Birakil Rimad terletak di Yaman sedangkan di antara Madinah dan Birakil Rimad ada 14 buah kabilah yang memusuhi Islam. Sayyidina Miqdad telah menyatakan kepada Rasululla SAW mereka bukan saja bersedia bersama Rasulullah dalam satu peperangan, malah mereka bersedia menghadapi 14 kali peperangan terhadap 14 buah kabilah. Untuk itu mereka sanggup merentas perjalanan sejauh itu. Ucapan Sayyidina Miqdad RA sangat mengembirakan Baginda. Malah semua sahabat turut merasa gembira dengan ucapan Sayyidina Miqdad RA kerana perasaan itulah yang ada di dalam hati mereka. Namun selepas Sayyidina Miqdad RA duduk, Rasulullah SAW mengulangi lagi kata-kata, “Berilah kepadaku pandangan kamu, wahai sekalian sahabatku.”

Ketika itu bangun Sayyidina Saad bin Muaz RA, salah seorang pemimpin Ansar lalu berkata, “Wahai Rasulullah, rasanya soalan kamu ditujukan kepada kami (penduduk Madinah) dari kalangan Ansar.” Rasulullah SAW berkata, “Ya, benar.” Sayyidina Saad t berkata, “Wahai Rasulullah, demi Allah, kalau Rasulullah membawa kami mengharungi laut sekalipun kami akan bersamamu.” Dalam satu ucapan yang agak panjang, Sayyidina Saad telah berbai’ah kepada Rasulullah SAW bagi pihak seluruh Ansar. Mereka juga seperti Muhajirin, bersedia untuk berjuang bersama Rasulullah SAW. Mendengar ucapan itu, berseri-seri wajah Rasulullah SAW lantas Baginda bersabda : Bergembiralah, sesungguhnya Allah telah menjanjikan aku antara dua kemenangan sama ada kita memperolehi kafilah atau dapat mengalahkan tentera Kuffar Quraisy.”

Medan Perang Badar

Rasulullah SAW dan tentera Islam bergerak sehinggalah mereka sampai di al Udwatul Quswa. Rasulullah SAW dan tentera Islam berkhemah di belakangnya. Tentera kafir pula berkhemah di belakang Al Udwatul Dunia. Aludwatil Dunya di sebelah Utara dan Aludwatul Quswa di sebelah Selatan. Pasukan Islam datang dari Madinah iaitu dari arah Utara manakala Kuffar Quraisy datang dari Mekah iaitu dari arah Selatan. Abu Sufyan pula telah melarikan kafilahnya melalui jalan rahsia sehingga dia berjaya keluar dari kawasan Badar. Mereka berpusing ke belakang bukit-bukau Hijaz. Abu Sufyan telah membawa kafilahnya melalui laluan di antara kawasan berbukit dan pantai Laut Merah. Ketiga-tiga kumpulan ini saling tidak tahu di mana kumpulan lain berada. Benarlah bahawa Allahlah yang merancang dan menyusun peperangan ini, bukan manusia yang merancang dan menyusunnya.

Rasulullah SAW telah menghantar perisik meninjau suasana. Mereka menemui dua orang khadam tentera Kuffar Quraisy yang datang mengambil air dari perigi Badar. Mereka telah menangkap keduanya lalu membawa mereka ke perkhemahan tentera Islam. Kedua tawanan ini telah disoal siasat. Ketika itu Abu Sufyan telah berjaya membawa kafilahnya berada di belakang kedudukan tentera Kuffar Quraisy. Lalu Abu Sufyan menghantar utusan memberitahu Quraisy bahawa kafilah mereka telah berada di kawasan selamat. Berita itu telah menyebabkan sebahagian kecil dari tentera Kuffar Quraisy mahu menarik diri dari peperangan. Mereka berkata, “Kami datang untuk menyelamatkan kafilah kerana ada harta kami di situ. Oleh kerana kafilah sudah selamat, lalu untuk apa lagi kami berperang? Sementelahan pula, orang yang akan kami perangi itu adalah ahli keluarga kami sendiri.” Bani Zuhrah mengambil keputusan pulang ke Mekah begitu juga Bani Hasyim. Hanya beberapa orang dari mereka yang tinggal termasuk Sayyidina Abbas RA supaya mereka tidak diaibkan oleh Quraisy. Mereka sudah tidak ghairah lagi untuk berperang. Rasulullah SAW dan sebahagian Sahabat RA yang akan mereka perangi itu adalah dari Bani Hasyim.

Melihatkan suasana begitu, Hakim bin Khuzam telah datang kepada Utbah meminta dia menggesa tentera Quraisy pulang saja ke Mekah. Dia berkata, “Kafilah kita sudah selamat, kalau kita terus berperang kita akan memerangi sanak saudara kita sendiri. Apabila kita kembali ke Mekah nanti, setiap orang dari kita akan melihat kepada yang lain sebagai pembunuh ayahnya atau pembunuh saudaranya atau pembunuh anak saudaranya. Kita akan saling benci-membenci.” Begitulah nasihat Hakim bin Khuzam kepada Utbah bin Rabiah. Utbah mula menyeru tentera Quraisy supaya pulang ke Mekah sehingga sebahagian tentera sudah sibuk bersiap untuk pulang.

Ketika itu Abu Jahal muncul, dia sama sekali tidak bersetuju untuk pulang. Dia mahu peperangan dilancarkan. Berlakulah perbalahan di antara para pembesar Kuffar Quraisy. Setiap orang mahu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin Mekah. Abu Jahal memang sudah lama berusaha untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin Mekah. Selepas kematian Abdul Mutalib dan Abu Talib, tiada seorang yang paling menonjol di kalangan mereka. Abu Jahal merasakan bahawa ini peluang keemasan untuk dia membuktikan ketokohannya. Abu Jahal memanggil Amir al Hadrami yang anaknya telah dibunuh oleh tentera Islam dalam bulan Haram sebelum peperangan ini. Abu Jahal berkata, “Wahai Amir, orang Mekah sudah mula mahu pulang ke Mekah. Mereka telah berlepas tangan ke atas darah anak kamu.” Apabila Amir diprovokasi begitu, dia terus merempuh ke tengah- tengah perkumpulan tentera Quraisy lalu dia menangis sambil menjerit- jerit, “Alangkah malangnya nasib Amir, orang Mekah telah berlepas tangan dari anakku! Demi Tuhan, kalau berlaku hal yang sama kepada anak-anak mereka nescaya aku tidak akan berlepas tangan!” Mendengar kata-katanya itu, tentera kuffar Quraisy kembali bersemangat untuk memerangi orang Islam. Mereka merasakan maruah mereka mesti ditebus. Akhirnya Abu Jahal telah berjaya menghalang tentera Quraisy dari pulang ke Mekah. Pada waktu itu mereka belum mengetahui lagi di mana kedudukan tentera Islam. Mereka sebenarnya sudah berdekatan tetapi masing-masing tidak tahu di mana pihak lawan berada.

Rasulullah SAW ditemani oleh Sayyidina Abu Bakar RA keluar mencari maklumat. Akhirnya Rasululah SAW dapat mengetahui bahawa tentera kafir sudah berada di Aludwatul Quswa, tidak jauh dari kedudukan tentera Islam. Baginda segera mengerakkan tentera Islam ke arah Badar. Apabila mereka melepasi sedikit Aludwatil Dunya, Rasulullah SAW mengarahkan tentera Islam berhenti di situ. Ketika itu Sayyidina Hubab bin Munzir RA datang kepada Rasulullah SAW Dia adalah seorang pakar strategi perang di kalangan kaum Ansar. Dia bertanya kepada Rasulullah SAW “Wahai Rasulullah, apakah pemilihan lokasi ini satu ketetapan oleh wahyu dari Tuhan atau ia atas dasar strategi perang?” Rasulullah SAW menjawab, “Ini hanya satu pandangan dan strategi.” Sayyidina Hubab SAW memberi cadangan, “Kalau begitu lebih baik kita bergerak ke hadapan lagi sehingga kita menguasai perigi air yang paling awal dan paling baik. Selepas itu kita kambus perigi yang lain. Dengan itu orang kafir tidak akan mendapat bekalan air.” Rasulullah SAW mempersetujui pandangan Sayyidina Hubab RA. Tentera Islam pun berkhemah bersebelahan perigi telaga Badar yang paling baik. Manakala semua perigi lain dikambus. Rasulullah SAW memerintahkan mereka menggali kolam kecil di tepi perigi itu untuk memudahkan lagi tentera Islam mengambil air.

Pada malam sebelum pertempuran, Allah Taala telah menurunkan hujan. Ini menjadikan bekalan air tentera Islam bertambah dan tanah di kawasan itu menjadi semakin kejap memudahkan lagi tentera Islam bergerak. Hujan turun lebih lebat di kawasan perkhemahan tentera Kafir. Ini menyebabkan tanah di hadapan perkhemahan mereka menuju ke Medan Perang Badar menjadi berselut dan menyulitkan lagi pergerakan tentera kafir. Setelah hujan turun Allah Taala telah mendatangkan rasa mengantuk yang amat sangat kepada tentera Islam sehingga mereka semua tertidur setelah mereka bermunajat dan sembahyang malam. Allah Taala telah memberi kerehatan kepada mereka sebelum peperangan. Al-Quran telah merakamkan peristiwa ini:

“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).” (Surah al-Anfal: 11)

Demikianlah persiapan yang telah Allah Taala persiapkan untuk memenangkan umat Islam dalam peperangan. Selepas itu Rasulullah SAW telah menyusun pasukan tentera Islam. Bendera Islam dipegang oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib dan Sayyidina Mus’ab bin Umair RA serta para wakil dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Apabila tentera kafir sampai di medan Badar, mereka melihat Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah bersedia. Mereka mendapati tiada lagi perigi yang boleh memberi bekalan air kepada mereka. Oleh itu mereka terpaksa berhenti tidak jauh dari tentera Islam. Kedua-dua pasukan tentera ini menyusun barisan mereka. Ketika itu Rasulullah SAW ditemani oleh Sayyidina Abu Bakar RA berada di khemah khas sedang bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala. Rasulullah SAW mengangkat tinggi tangannya dan berdoa, “Ya Allah, sekiranya tentera ini tewas, engkau tidak akan disembah lagi di bumi.” Rasulullah SAW terus berdoa dan meminta kepada Allah sehingga Sayyidina Abu Bakar RA merasa belas kasihan melihat keadaan Baginda itu.

Selepas itu Rasululah SAW membariskan tentera Islam dalam satu barisan sahaja. Biasanya dalam peperangan tentera akan dibahagikan kepada beberapa barisan dan pasukan. Ketika Rasulullah SAW meluruskan barisan tentera Islam, Baginda telah menolak dengan tongkatnya ke perut seorang Sahabat RA supaya dia membetukan kedudukannya. Kebetulan Sahabat RA ini berbadan besar dan perutnya tertonjol ke depan. Ketika itu Sahabat RA ini telah memeranjatkan semua orang kerana dia telah berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, kamu telah menyakiti aku. Aku menuntut qisas terhadap kamu.” Semua Sahabat RA terkejut malah ada yang marah. Bukankah ini Rasulullah?! Apatah lagi tentera Islam sedang berhadapan dengan musuh menunggu saat-saat bermula peperangan. Namun Sahabat RA ini tetap berkeras menuntut haknya. Rasulullah SAW menyerahkan tongkatnya kepada Sahabat RA tersebut dan Baginda membuka belakang Baginda untuk diqisaskan. Tiba-tiba Sahabat RA itu melompat dari tempatnya lalu dia mencium belakang Rasulullah SAW. Tindakannya itu menyebabkan semua orang makin terperanjat malah Rasulullah SAW juga terkejut. Baginda bertanya, “Apa yang kamu buat ini, wahai Sahabatku.” Sahabat itu menjawab, “Wahai Rasulullah SAW, kamu pun mengetahui alangkah cemas suasana ketika ini. Aku dapat rasakan bahawa aku akan syahid pada hari ini. Sebelum aku syahid aku ingin mendapat keberkatan daripada jasad Rasulullah SAW.”

Menangislah semua orang mendengar ucapannya itu. Demikianlah kecintaan para Sahabat y yang sangat tinggi kepada Rasulullah SAW.

Perang Tanding

Selepas itu peperangan bermula dengan pertarungan satu lawan satu. Pahlawan kafir pertama yang keluar ialah al Aswad bin Abdul Asad. Dia bersumpah tidak akan pulang ke barisannya melainkan setelah dia berjaya minum air dari kolam tentera Islam. Sayyidina Hamzah RA keluar menyekat Aswad. Dia berjaya memenggal kaki Aswad tapi Aswad terus merangkak ke kolam untuk menunaikan sumpahnya. Namun di situlah kepalanya dipenggal oleh Sayyidina Hamzah RA. Selepas itu tentera kafir menampilkan tiga orang pembesar dan panglima mereka iaitu Utbah bin Rabi’ah, anaknya Walid bin Utbah serta saudaranya Syaibah bin Rabi’ah. Mereka mencabar siapakah yang berani menentang mereka dari kalangan tentera Islam. Serta- merta keluar tiga orang pahlawan Ansar iaitu Sayyidina Muaz bin Afra’ RA, Sayyidina Auf bin Afra’ RA dan Sayyidina Abdullah bin Rawahah RA. Oleh kerana mereka bertiga adalah orang Madinah, Utbah menuntut Rasulullah SAW menampilkan pahlawan daripada Quraisy yang setaraf dengan mereka. Rasulullah SAW telah memilih Sayyidina Ubaidah bin Harist bin Abdul Mutalib RA sepupu Rasulullah SAW,

Sayyidina Hamzah bin Abdul Mutalib RA bapa saudara Rasulullah SAW dan Sayyidina Ali bin Abu Talib bin Abdul Mutalib juga sepupu Rasulullah RA. Bermulalah pertarungan di antara mereka. Dalam masa yang singkat sahaja Sayyidina Hamzah RA dan Sayyidina Ali telah menewaskan lawan masing-masing. Dua orang panglima dan pembesar Kuffar Quraisy terbunuh. Sayyidina Ubaidah RA dan Utbah bin Rabiah masing-masing berjaya mencederakan lawannya. Kedua-dua mereka jatuh lalu Sayyidina Hamzah RA dan Sayyidina Ali datang mengangkat Sayyidina Ubaidah RA dan membunuh Utbah. Pertarungan satu lawan satu telah menumbangkan tiga orang panglima Kuffar Quraisy serentak.

Tentera kafir tidak berani lagi meneruskan pertarungan satu lawan satu. Mereka mahu menyerbu tentera Islam. Rasulullah SAW mengarahkan tentera Islam duduk berlutut dan tunggu kemaraan tentera kafir. Tentara kafir terperanjat melihat strategi itu. Apabila diserbu, biasanya tentera lawan juga akan menyerbu ke arah mereka. Rasulullah SAW mengarahkan kalau tentera kafir memanah hendaklah kamu bertahan di belakang perisai. Apabila mereka menyerbu, bangun dan hadapi mereka secara serentak. Tentera kafir mula menyerbu. Sambil menyerbu Abu Jahal mengarahkan tenteranya memanah tentera Islam. Tentera Islam bertahan di belakang perisai tetapi ada dua anak panah yang menghujani tentera Islam itu telah mengenai sasaran. Sayyidina Harithah bin Suraqah RA dan seorang khadam Sayyidina Umar telah gugur syahid. Selepas peperangan tamat ibu Sayyidina Harithah RA telah datang kepada Rasulullah RA sambil menangis. Dia bertanya kepada Baginda,“Wahai Rasulullah SAW apakah nasib Harithah. Dia telah mati sebelum peperangan berkecamuk. Apakah dia syahid? Kalau dia di syurga aku akan bersabar tetapi kalau bukan di syurga aku akan meratapinya dengan ratapan yang paling dahsyat.” Ketika itu ratapan belum diharamkan. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai ibu Harithah, bukan satu syurga tapi lapan syurga. Harithah telah mendapat syurga Firdaus.” Alangkah gembiranya ibu Sayyidina Harithah mendengar berita itu. Dia terus bersyukur kepada Allah Taala dan dapat bertenang terhadap kehilangan anaknya.

Apabila tentera Kuffar Quraisy semakin hampir, Rasulullah SAW mengarahkan tentera Islam bangun bertempur. Baginda menyerahkan pertempuran itu kepada para panglima yang telah dilantik. Rasulullah SAW pulang semula ke khemah bersembahyang dan berdoa sambil di kawal oleh Sayyidina Abu Bakar RA. Sebelum Rasulullah SAW kembali ke khemah, Baginda telah memberikan busyra kepada tentera Islam. Baginda bersabda, “Demi Allah, tidak seorang pun di kalangan kamu yang dibunuh melainkan dia akan masuk syurga yang seluas langit dan bumi.”

Tentera Malaikat

Semasa sedang bermunajat itu, Rasulullah SAW telah didatangi perasaan mengantuk sehingga Baginda terlelap seketika. Apabila tersedar, Rasulullah SAW kelihatan sangat gembira. Sayyidina Abu Bakar RA sendiri merasa hairan melihat kegembiraan Rasulullah SAW.

Baginda bersabda:

“Bergembiralah wahai Abu Bakar, bergembiralah wahai Abu Bakar, ini Jibril telah datang di atas seekor kuda putih mengetuai 1000 malaikat yang beriringan.”

Inilah peperangan pertama yang Malaikat turun menyertai peperangan. Inilah keagungan Perang Badar. Rasulullah SAW

begitu gembira ketika itu lalu Baginda keluar dari khemah dan mengambil segenggam pasir. Rasulullah SAW melontarkannya ke arah tentera Kuffar sambil berdoa. Menurut pengakuan kaum Quraisy yang beriman selepas itu bahawa mata mereka semua telah dimasuki habuk dalam Perang Badar itu. Allah Taala berfirman: “Bukan kamu yang melontar ketika itu tetapi Allahlah yang melontar”

Rasulullah SAW juga mengarahkan tentera Islam supaya jangan membunuh Abul Buhturi. Beliau telah menampar Abu Jahal kerana menghalang penghantaran makanan ketika pemulauan Quraisy terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Dia juga salah seorang yang berusaha untuk mengungkai sekatan Kuffar Quraisy. Rasulullah SAW juga berpesan supaya tentera Islam jangan membunuh Bani Hasyim kerana mereka datang dalam keadaan terpaksa, bukan dengan kerelaan sendiri. Rasulullah SAW juga mengarahkan tentera Islam agar jangan membunuh Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib.

Sahabat RA Dalam Perang Badar

Semasa peperangan sedang berkecamuk, Sayyidina Mujzir al-Ansari RA terserempak dengan Abul Buhturi dan seorang tentera kafir yang lain. Sayyidina Mujzir RA berkata, “Wahai Abul Buhturi, beredarlah dari tempat ini. Rasulullah RA telah melarang kami dari membunuh kamu.” Abul Buhturi tetap mahu mempertahankan kawannya. Sayyidina Mujzir RA menyerang kawan Abul Buhturi itu dan berusaha mengelak dari Abul Buhturi. Abul Buhturi mahu membunuhnya. Akhirnya dia terpaksa membunuh Abul Buhturi. Selepas itu Sayyidina Mujzir RA datang meminta maaf kepada Rasulullah SAW. Baginda meredhai dengan apa yang dilakukan oleh Sayyidina Mujzir RA.

Ada seorang tentera kafir yang memakai baju besi dari kepala sampai ke kaki. Apa sahaja yang dibuat kepadanya sedikit pun tidak mencederakannya. Sudah ramai tentera Islam yang dicederakan olehnya. Tentera Islam mengadukan hal ini kepada Rasulullah SAW. Baginda mengarahkan Sayyidina Zubair al-Awwam RA menghadapinya. Sayyidina Zubair RA adalah di antara panglima Islam yang paling gagah. Sayyidina Zubair menceritakan kembali peristiwa itu, “Aku pergi kepada orang itu, aku berpusing di kelilingnya mencari tempat yang boleh ditembusi. Tidak ada tempat yang boleh ditembusi melainkan matanya. Orang itu pula terus mengamuk dan mencederakan tentera Islam. Akhirnya aku berhadapan dengannya lalu aku ambil panahku dan memanah matanya. Panahanku tepat mengenai matanya sehingga menembusi ke belakang kepalanya. Barulah orang itu mati.” Demikianlah bantuan Allah Taala kepada Sayyidina Zubair RA.

Sayyidina Abu Qatadah RA cedera di kepalanya dan sebelah biji matanya terkeluar jatuh ke pipinya. Dia di bawa ke belakang dan para sahabat RA mahu memotong tali matanya. Sayyidina Abu Qatadah RA meminta agar jangan dipotong sehingga dia dibawa kepada Rasulullah RA. Maka dalam keadaan begitu, Sayyidina Abu Qatadah RA pun dibawa kepada Rasulullah SAW. Berlakulah satu mukjizat Rasulullah SAW.

Baginda memanggil Sayyidina Abu Qatadah RA datang ke hadapan Baginda. Lalu Rasulullah SAW mengambil biji mata Sayyidina Qatadah RA dengan tangan Baginda dan memasukkan semula ke dalam kelopak matanya. Selepas itu Rasulullah SAW menyapu mata itu dengan tangan Baginda. Sayyidina Abu Qatadah RA menceritakan, “Selepas itu aku tidak mengetahui mata aku yang sebelah mana cedera.” Mata Sayyidina Abu Qatadah RA telah kembali seperti sediakala.

Ada dua orang remaja adik-beradik dari Madinah iaitu Sayyidina Muaz bin Afra’ al-Ansari RA dan Sayyidina Auf bin Afra’ al-Ansari RA. Keduanya berumur 15 tahun dan 16 tahun. Ketika ‘Utbah dan dua orang lagi panglima Quraisy mencabar tentera Islam dalam pertarungan satu lawan satu, mereka berdualah yang tampil bersama Sayyidina Abdullah bin Rawahah RA. Begitulah tinggi sekali kecintaan mereka kepada Allah Taala dan Rasulullah SAW. Di dalam barisan tentera Islam, mereka berdua berada di sebelah kiri dan kanan Sayyidina Abdul Rahman bin Auf RA. Melihat mereka berdua, Sayyidina Abdul Rahman RA berkata di dalam hatinya, “Alangkah baiknya kalau di kanan dan di kiriku ada orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dalam peperangan.” Salah seorang dari mereka berbisik kepada Sayyidina Abdul Rahman RA, “Apakah pakcik kenal Abu Jahal? Aku dengar dia adalah orang yang paling banyak menyakiti Rasulullah SAW. Tunjukkanlah orang itu kepada aku. Aku mahu membunuhnya!” Begitulah kemarahan anak muda ini terhadap Abu Jahal. Dia cukup berani untuk membunuh ketua Kuffar Quraisy dalam peperangan itu. Kata Sayyidina Abdul Rahman RA, “Aku terperanjat dengan soalan itu tetapi aku berjanji akan menunjukkan Abu Jahal kepadanya. Selepas itu, seorang lagi pula bertanya kepadaku soalan yang sama. Ketika itu baru aku merasa tenang berada di tengah-tengah dua orang remaja ini.”

Dalam peperangan itu Abu Jahal dikawal ketat oleh pengikutnya. Sayyidina Abdul Rahman RA telah menunjukkan kepada dua orang remaja itu yang mana satu Abu Jahal. Belum sempat lagi dia menghabiskan kata- katanya, kedua-dua mereka sudah melompat menuju ke tempat Abu Jahal. Mereka merempuh barisan tentera kafir sambil menebaskan pedang ke kiri dan ke kanan, menyerang kafir Quraisy yang berada di sekeliling Abu Jahal. Akhirnya kedua-duanya berjaya sampai kepada Abu Jahal. Mereka berdua menyerang Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahal rebah. Abu Jahal cedera parah dan rebah tetapi dia belum mati. Tiada siapa dapat menjangka serbuan tangkas dari dua orang remaja Ansar ini. Sayyidina Auf bin Afra’ RA tersepit di tengah tentera kafir. Ikrimah bin Abu Jahal berjaya membunuhnya. Sayyidina Muaz bin Afra’ RA pula sempat berundur sambil memerangi tentera kafir yang menggasaknya. Akhirnya sebelah tangannya ditetak tetapi masih tergantung di bahunya. Dalam keadaan begitu, dia berjaya berundur ke barisan tentera Islam. Setelah dibalut tangannya, dia terus berperang lagi tetapi tangannya yang hampir putus itu telah mengganggu pergerakannya. Akhirnya dipijak tangannya itu sehingga putus. Selepas itu Sayyidina Muaz RA terus mara menentang tentera kafir sehinggalah dia gugur syahid.

Apabila tentera kafir mengetahui bahawa Abu Jahal sudah tewas mereka mula berundur. Tentera Islam mengejar mereka dari belakang. Umayyah bin Khalaf pula dikawal oleh anaknya. Apabila tentera kafir berundur, Umayyah tidak mampu berlari kerana dia berbadan besar. Kalau dia berundur dia pasti akan dibunuh. Oleh itu dia mahu menyerah diri. Dia mesti menyerah diri kepada orang yang boleh memberi jaminan keselamatan kepadanya. Dia sangat takut akan dibunuh seperti yang pernah diberitahu oleh Sayyidina Saad bin Muaz RA. Ketika itu dia ternampak Sayyidina Abdul Rahman bin Auf RA lalu dia dan anaknya menyerah diri kepadanya. Sayyidina Abdul Rahman RA seorang diri menarik anak-beranak ini tanpa sebarang perlawanan. Apabila Sayyidina Bilal RA melihat Umayyah, dia menjerit, “Umayyah! Kepala kafir, demi Allah aku tidak akan selamat kalau dia selamat!” Sayyidina Abdul Rahman RA menghalang Sayyidina Bilal RA kerana mereka berdua sudah menjadi tawanannya. Sayyidina Bilal RA memberitahu kepada sekumpulan Ansar, “Apakah kamu mahu membunuh orang yang mengazab aku, Umayyah bin Khalaf. Itu dia sedang bersama dengan Sayyidina Abdul Rahman bin Auf!” Sayyidina Abdul Rahman RA pula segera menarik Umayyah menuju ke tempat Rasulullah RA. Namun Umayyah tidak mampu berlari. Ketika itu sekumpulan sahabat Ansar RA sudah mengepung Umayyah. Sayyidina Abdul Rahman RA menjerit, “Ini tawanan aku!” Sayyidina Bilal RA, pula mengulang kisah Umayyah mengazabnya. Sahabat Ansar RA ini tidak dapat menahan kemarahan mereka terhadap Umayyah. Dia hanya layak dibunuh. Sayyidina Abdul Rahman RA mahu membawa Umayyah kepada Rasulullah SAW. Untuk mengelakkan dia dibunuh, Umayyah disuruh berbaring dan Sayyidina Abdul Rahman RA berbaring di atas badan Umayyah. Walaupun begitu, orang Ansar tidak peduli. Mereka menikam Umayyah dari bawah Sayyidina Abdul Rahman RA dari setiap penjuru sehinga Umayyah mati di situ. Begitulah Allah Taala perlakukan kesudahan musuh Allah ini. Dia pernah menindih Sayyidina Bilal RA dengan batu besar. Rupanya Allah Taala takdirkan dia dibunuh dalam keadaan tertindih juga.

Dalam pertempuran ini, semua panglima Quraisy cuba menghindari dari bertemu dengan Sayyidina Abu Ubaidah RA kerana kegagahannya. Namun ada seorang panglima mereka yang dari awal pertempuran mengekori Sayyidina Abu Ubaidah RA. Sayyidina Abu Ubaidah RA pula yang cuba mengelak dari panglima ini sehinggalah akhirnya bertembung juga dua orang panglima ini. Dalam pertarungan itu Sayyidina Abu Ubaidah RA berjaya membunuh panglima Quraisy itu. Rupanya panglima Kuffar Quraisy itu ialah Abdullah bin Jarrah ayahanda Sayyidina Abu Ubaidah RA. Kerana iman dan kebenaran, Sayyidina Abu Ubaidah RA terpaksa membunuh ayah sendiri. Sungguh luar biasa hati mereka. Mereka telah membuktikan bahawa Allah Taala dan Rasul- Nya lebih dicintai dari dunia dan isinya. Layaklah mereka mendapat pujian dari Allah Taala. Allah redha kepada mereka dan mereka juga redha kepada Allah.

Malaikat turut serta bertempur dalam peperangan Badar ini. Rasulullah SAW memberitahu para sahabat RA, kalau mereka mahu melihat mayat yang dibunuh oleh malaikat, lihatlah mayat-mayat yang ada kesan terbakar di leher dan di tangan. Para malaikat menggunakan pedang dari api neraka. Memang ada sebahagian mayat mempunyai tanda-tanda ini. Ada sahabat RA yang mahu memenggal kepala tentera kafir tiba-tiba ia sudah terpenggal. Ada juga sahabat RA yang mendengar suara malaikat. Peperangan Badar adalah satu-satunya peperangan yang para malaikat turut serta bertempur. Ia belum pernah berlaku dalam mana-mana peperangan sebelum peperangan Badar. Dalam peperangan Hunain, para malaikat turun tetapi tidak ikut bertempur. Dalam peperangan Badar ini seramai 70 orang tentera kafir terbunuh dan seramai 70 orang dapat ditawan.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *