***Di Mana Saiyidina Muaz Akhir Zaman?***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.
Belajar dengan Abuya yang sentiasa memuliakan orang-orang roh, anjang cuba memulakan langkah di Jordan kali ini dengan menziarahi maqam Saiyidina Muaz bin Jabal. Kawan-kawan di Palembang menceritakan dahulu Allahyarham Abuya, setiap kali sampai ke Palembang akan menghadiahkan bacaan surah Al Fatihah sebanyak 11 kali. Kalau di Jawa terkenal dengan Wali Songo, mungkin di Palembang walinya lebih dari 9 orang. Di Jordan ini tentulah, lebih ramai lagi wali-wali Allah kerana bukan sahaja maqam-maqam wali Allah, malah maqam para Sahabat, Nabi dan Rasul ada di sini.

Menziarahi maqam Saiyidina Muaz kali ini membuatkan anjang terfikir betapa jauhnya sikap dan peribadi kita umat Islam di akhir zaman dengan sakhsiah sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat mulia. Seluruh kehidupan mereka sebenarnya adalah contoh terbaik buat kita. Boleh dijadikan panduan dan menambah kekuatan jiwa dalam menempuh ujian perjuangan. Malah kalau kita mampu mengambil sebahagian sahaja dari sikap dan peribadi mereka pun boleh membuatkan roh kita melonjak laju.

Contohnya Saiyidina Muaz, ketika mendapat arahan baginda Rasulullah SAW yang telah menjadi kekasih hatinya, untuk berkhidmat di Yaman yang jauhnya beribu kilometer dari Madinah, menerimanya dengan penuh tanggung jawab. Tiada kereta, keretapi apatah lagi kapal terbang dari Madinah Al Munawwarah ke sana ketika itu. Tidak menjadi persoalan perkara tersebut baik dari sisi baginda, mahupun dari Saiyidina Muaz sendiri. Yang kita ketahui, baginda bertanya kepadanya, “Wahai Muaz! Dengan apa kamu berhukum?” Ya, soalannya menjurus kepada tugas yang akan dijalankan, yang menjadi dasar kepada penghantaran beliau, bukan pada persoalan teknikal yang sepatutnya diselesaikan di peringkat bawahan. Di pihak Saiyidina Muaz sendiri sudah tentu sangat
bersungguh-sungguh menunaikan arahan baginda lalu merintih dan berdoalah kepada Allah di malam hari agar dibantu dalam urusan tersebut hingga Allah beri faham di hati-hati sahabat tentang pentingnya utusan itu, maka bersegeralah membantu hingga berlakulah permusafiran beliau ke Yaman. Walaupun hanya berkuda dengan penuh bersusah payah, mengharungi padang pasir yang luas, cuaca yang amat panas di siangnya dan sejuk di waktu malam, demi cintanya kepada Allah dan Rasul, dilakukan penuh bahagia. Itulah kemuliaan. Pada Saiyidina Muaz, itulah kemuliaan. Kemuliaan kerana menjunjung arahan Allah dan Rasul.

Peribadi yang sama juga, sangat menggetarkan hati kita kerana sangat setia dengan pemimpin. Ini dapat dilihat ketika membaca coretan sejarah beliau di sisi kanan pintu masuk ke Maqamnya di Shauna Syimaliyiah, Jordan. Apabila dihantar berjuang, menjadi pantang laranglah bagi para peribadi yang mempunyai ‘hati sahabat’ ini untuk meminta kembali pulang. Mereka akan berjuang sehingga diarahkan pulang, barulah pulang. Berjuang dan terus mara, sanggup mati di medan perang. Selesai perang, masih belum dipanggil pulang ke Madinah, di arah melaksanakan tugas di bumi Syam, maka teruslah bertugas walau apa pun terjadi. Bayangkan, ketika taun Amwas menyerang, ribuan orang mati satu persatu akibat taun yang merebak pantas, beliau tetap teguh bersama pengikutnya hinggalah syahid sebagai mangsa taun Amwas. Oh mulianya Saiyidina Muaz! Mulianya Saiyidana Muaz! Mulianya Saiyidina Muaz!

Mana Muaz akhir zaman? Di mana peribadi Saiyidina Muaz di akhir zaman? Yang segera menyahut seruan, berdatangan ke medan perjuangan bak singa-singa lapar. Di mana peribadi Muaz di akhir zaman yang sanggup setia menunggu kubu perjuangan? Biar lapar, biar sakit, biar luka, biar tersiksa, malah biar mati sekalipun tidak akan berganjak dari medan tempur atau meminta izin untuk bertukar lokasi. Jadilah seperti Saiyidina Muaz! Untuk apa kita ziarahi maqamnya jika sejarahnya kita bakul sampahkan? Untuk apa kita berdoa di sisi dhorihnya sedangkan peribadinya tak kita contohi? Sesungguhnya kita belum mengenal erti perjuangan. Kita masih ‘syok-syok’ sendiri, merasa diri sudah berjuang sedangkan meletakkan pantang larang pada diri sendiri agar tidak dilanggar oleh orang lain.

Kalaulah Rasulullah telah kita rindui, tak begini sikap kita. Kalaulah Allah telah kita takuti, kita tak jadi begini…. Ampunkan kami Tuhan kerana tidak takut setakut-takutnya padaMu. Ampunkan kami Rasulullah SAW kerana belum rindu serindu-rindunya padamu.

Mat’am Nur Muhammad, Irbid, Jordan.
10.12am, Feb 11, 2014

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “***Di Mana Saiyidina Muaz Akhir Zaman?***

  • February 12, 2014 at 8:30 am
    Permalink

    Assalamualaikum sy, mohon doa dari sana kepada pelajar di iium yang diserang sakit perut Ampun Maaf

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *