***Uyun Musa di Madaba***

Kongsikan kepada yang lain
Share

‎Salam ceria,
Pada 24hb Mac, lebih kurang seminggu yang lalu anjang berpeluang sekali lagi ke Madaba. Sebuah bandar kecil tidak jauh dari Amman. ‎Menghala ke Airport. Kali ni pergi naik Vito, Merc, GISB Jordan ‘tangkap’ satu. Kalau dulu tahun 90’an anjang ke sini naik Cooster Kuliah Mujtama’, Samer yang drive. Ke Uyun Musa dan menziarahi seorang simpati jemaah berasal dari Syria. Abu Anas namanya. Terakhir anjang dengar dia menjadi bomoh rasanya di Sri Langka. Tetapi sudah tentu tak sepopular ‘Maharaja Bomoh/ Bomoh VIP. Anaknya Anas menjadi Imam di sebuah masjid di Arjan. Di Madaba juga tinggal seorang pensyarah Universiti simpati jemaah iaitu Dr Hisham At Tamimi. Madaba adalah sebuah bandar yang mempunyai jumlah penduduk Kristian yang ramai. Di sini ada bukit/Jabal Nebo yang di atasnya terdapat sebuah gereja yang sangat besar. Gereja lama pula mempunyai lantai yang ada ‘fusaifisa” atau mosaic. Penganut Kristian dari seluruh dunia, selalunya akan menziarahi tempat ini. Dikatakan Nabi Musa AS wafat di atas Jabal Nebo inilah tetapi dikebumikan di Ariha, Palestin yang terletak tidak jauh dari sini.

Tujuan asal ke sini adalah untuk melihat kebesaran Allah yang telah ditunjukkan melalui pesuruhNya iaitu Nabi Allah Musa AS kerana di sini terdapat ‘Uyun Musa atau matair Nabi Musa AS. Berkat sungguh negara Jordan ini kerana ia adalah gelanggang para Nabi dan Rasul. Di sinilah mereka berjuang, berdakwah mengajak umat manusia menyembah Allah. MembesarkanNya, mengagungkanNya.‎ Mereka mendidik kaum mereka tanpa jemu dan penat. Sangat sabar dengan karenah kaum masing-masing. Lalu Allah muliakan mereka dengan bantuanNya yang besar-besar. Kejadian yang pelik. Mukjizat yang hebat, ada yang dapat kita saksikan hingga ke hari ini. Begitulah juga yang terjadi kepada Nabi Musa AS.

Mari kita ingat-ingatkan kisah baginda. Allah Taala mendidik para kekasihNya dengan pelbagai cara. Diantaranya melalui karenah kaumnya atau belajar dengan sesiapa sahaja. Akhirnya mereka semakin takut dengan Allah dan berusaha membela Allah. Allah Taala pernah memerintahkan Nabi Musa AS belajar dengan Nabi Khidir AS. Nabi Khidir AS bukan seorang rasul, baginda adalah seorang Nabi. Seorang Nabi tidak wajib baginya memimpin. Baginda menjadi contoh di sudut Ibadah dan akhlak. Nabi Musa AS pula adalah seorang rasul. Disamping menjadi contoh di sudut ibadah dan akhlak, baginda juga memimpin manusia kepada Allah di seluruh aspek kehidupan. Tetapi hikmah Tuhan berlaku, Nabi yang bukan pemimpin dilantik memimpin Rasul yang memang seorang pemimpin.

Lihatlah syarat menjadi pengikut Nabi Khidir AS yang sangat ketat, hanya dengan 3 kali bertanya sebelum masanya, terputus hubungan pemimpin dengan pengikut. Pemimpin mensyaratkan, jangan bertanya jika ingin jadi pengikut. Dalam perkataan yang lain, 3 kali persoalkan sesuatu, dihukum buang jemaah. Maka pengajaran dari pengalaman inilah menjadikan Nabi Musa AS sangat sabar dengan karenah kaumnya. Tak mudah dia meninggalkan kaumnya walau apapun terjadi. Tetapi kedegilan juga yang dibalas oleh kaumnya. Mereka enggan belajar, menerima didikan, mendengar nasihat dari utusan Allah walaupun telah melihat sendiri mukjizat besar terbelahnya laut merah di hadapan mata mereka. Mati Firaun yang kononnya gagah perkasa oleh air yang kelihatan lembut.

Akhirnya Allah hukum mereka dengan sesat jalan, tidak tahu jalan keluar di padang teh selama 40 tahun. Maka, samada hendak atau tidak, suka atau benci, mereka terpaksa duduk mendengar didikan dan nasihat dari Nabi mereka, Saiyidina Musa AS.‎ Kalau lari takut mati kelaparan atau diserang binatang buas. Bersama dengan Nabi Musa AS dapat menikmati makanan dari syurga.

Allah berfirman:
‎‎[ Jika demikian ],maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun [selama itu] mereka akan berpusing-pusing kebingungan di bumi ini [padang Teh] itu. Maka janganlah kamu bersedih hati [memikirkan nasib] orang-orang yang fasik itu”

Di kawasan inilah pengikut Nabi Musa menjadi kebingungan tidak menjumpai tempat keluar selama 40 tahun disebabkan keengganan mereka menuruti perintah Allah untuk memasuki kota Palestin. mereka tidak mahu kerana keangkuhan dan kedegilan mereka serta cerita yang mereka dengar bahawa terdapat puak yang besar dan gagah dan amat digeruni di dalam Palestin tersebut. Hal ini dirakamkan oleh Allah di dalam al Quran mafhumnya ;

“Hai kaumku, pergilah ke tanah suci [Palestin] yang telah ditentukan Allah bagimu,dan janganlah kamu lari kebelakang [kerana takut kepada musuh], maka kamu jangan jadi orang yang merugi”

Ada orang mengatakan lokasi Uyun Musa ini adalah berhampiran dengan Lembu Samiri di kaki Bukit Thur ada yang mengatakannya di sini. Di Madaba, Jordan. Ketika sesat di padang pasir yang kering kontang itulah mereka mengadu kepada Nabi mereka segala masalah. Apabila mereka meminta air untuk menghilangkan dahaga, Nabi Musa memohon pada Allah agar di tunaikan hajat kaumnya. Maka Allah perintahkan agar Nabi Musa AS memukul batu-batu bukit yang keras dan pejal itu dengan tongkatnya. Maka nabi Musa AS memukul batu di kaki bukit itu dengan tongkatnya, lalu terpancarlah 12 mata air untuk diberi minum 12 suku kaumnya. Allah menyatakan semua ini dalam firmanNya:

“Dan ingatlah ketika Musa memohon air untuk kaumnya , lalu kami berfirman: “pukullah batu itu dengan tongkatmu, lalu terpancarlah daripadanya 12 mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku kaum kamu telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing) makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi ini dengan membuat kerosakan”

Kalaulah Kerajaan Jordan jaga sungguh-sungguh tempat ini, sungguh ia boleh jadi tarikan kepada pelancong. Khasnya orang-orang Islam yang cintakan Allah dan rasul.

Lokasinya

Melepasi bandar Madaba, menghala ke Laut Mati, kita kena belok ke kanan melalui jalan berliku-liku menuruni bukit. Tebingnya yang curam di tambah dengan jalannya yang sempit mencemaskan kami di dalam kenderaan. Husam Khamis Palestini pula yang bawa. Cemasss. Jurang-jurang yang dalam penuh dengan batu-batu keras dan tajam. Sekali sekala terlihat khemah badwi yang menetap sementara untuk memberi makan kambing-kambing mereka rumput padang pasir.

Di lembah atau wadi di kaki bukit itu kita akan dapati sebuah bangunan lama yang telah ditinggalkan. Katanya, dulu adalah rumah enjin untuk mengepam air dari ‘Uyun Musa sebagai kegunaan penduduk Madaba. Di tepi tembok bangunan tadi terdapat satu saluran air. Inilah air ‘Uyun Musa. Air yang keluar dari batu yang keras, berkat mukjizat seorang Nabi. Maha Besar Tuhan. Cuma menyedihkan bila ia terbiar, kotor, banyak najis kambing-kambing yang dibawa pengembala meminum di situ.

Kalau kita terus berjalan, menyusur di tepi bukit, menuju ke bawah, kita akan dapat melihat banyak lagi saluran-saluran air yang keluar dari celah-celah batu bukit yang keras. Air jernih dan sejuk ini telah mengalir keluar secara karamah sejak ribuan tahun. Anjang membasuh botol mineral kecil untuk membawanya pulang ke Malaysia. Sudah pasti ia sangat berkat. Siapa yang berhajat tu bolehlah hubungi anjang.

Moga ada pihak yang sudi memulihara dan menyelenggarakan kawasan yang penuh keberkatan ini. Dibersihkan dari sampah sarap iaitu botol-botol mineral dan ‘asir kosong‎. Bekas-bekas makanan yang ditinggalkan serta kesan bakar membakar atau masak memasak orang yang berehlah. Di sediakan tempat minuman binatang ternak yang khusus, agak jauh dan terasing dari sumber air agar tiada najis kambing bersepah di sana sini. Juga dibangunkan prasarana lain seperti tandas awam, surau dan wakaf-wakaf yang tersedia dapur asas BBQ untuk kemudahan pengunjung berehlah. Serta ditanam dengan pelbagai jenis bunga dan rumput yang menghijau. Apa nak susah, sumber air dah ada. Macam angan-angan je anjang? ƗƗɐƗƗɐƗƗɐ ƗƗɐƗƗɐƗƗɐ. Angan-angan dulu, kot-kot roh Nabi Musa AS dan orang-orang beriman bersamanya meng’amin’kan, ia akan menjadi kenyataan.

Ketika itu barulah cantik Along, Angah, Zainab, Mimah nak bergambar. Cantik dan berkat.

Lobi 26, Kuwait Airport.
11.26pm, Mac 30, 2014

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *