***Takuti Allah! Bertaubatlah***

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.
Semasa anjang tinggal di Sembulan, Kota Kinabalu pada tahun 2004 berlaku peristiwa besar yang diingati seluruh dunia, Tsunami di Acheh. Sabah tak terkecuali dari menerima musibah itu. Malah khabar-khabar angin yang tersebar luas mengatakan Tsunami akan juga melanda Kota Kinabalu yang tidak jauh dari tepi pantai.

Anjang ingat lagi, pada suatu malam khabar angin terlalu kuat tersebar mengatakan KK akan kena Tsunami. Kerana panik dan ketakutan serta belajar dari pengalaman musibah yang menimpa Acheh maka malam itu ramailah yang berkumpul di masjid negeri, kenapa? Kerana ketika Acheh teruk dibantai badai Tsunami, peristiwa pelik yang Allah lakukan ialah masjid-masjidnya selamat. Begitulah yang terjadi di KK malam itu, muslim dan non muslim berkumpul di masjid menyelamatkan diri.

Yang menyedihkan, mereka berhimpun di rumah Allah kerana yakin akan selamat tetapi tak kenal dan takut serta malu dengan Allah. Ketika azan Subuh berkumandang pagi itu, terlalu sedikit yang bersolat jemaah di masjid tempat mereka berlindung. Malah ada yang ketika azan itulah mereka keluar meninggalkan masjid.

Tujuan Allah datangkan segala musibah ini untuk kita semakin kenalkan Allah. Kenal Allah sangat berkuasa. Hebat dan menakutkan. Allah boleh memusnahkan sesuatu itu sekelip mata. Allah boleh jadikan segala usaha dan persediaan manusia tidak mampu berhadapan dengan kuasaNya. Untuk apa? Untuk timbul rasa takut di hati dengan Allah. Bila tidak dipimpin, maka manusia bukan takutkan Allah, manusia takutkan tsunami dan banjir, tapi tetap tidak takutkan Allah. Bila tidak dididik, orang ramai lebih takutkan ‘tentera Allah’ dari Allah. Malang di dunia dan akhirat. Soal kebajikan lahir, makan minum, kesihatan ramai yang fikirkan tetapi siapa yang hendak memikirkan kebajikan rohani mereka? Keselamatan mereka di hadapan Allah.

Anjang hampir lupa peristiwa itu tetapi teringat kembali bila membaca kisah seorang Ustaz yang menceritakan kisah yang hampir serupa yang sangat menyedihkan kita. Mengingatkan kita, betapa pentingnya untuk berhentil dari salah menyalahkan kerana hakikatnya semua kita bersalah.

Berikut mesej yang anjang dapat:

Malam tadi saya dijemput untuk memberi kuliah maghrib di sebuah kampung yang saya rahsiakan namanya.

Masjid yang dijadikan Penempatan Banjir itu meriah sekali dengan ibu bapa dan anak-anak.

Hampir 50 keluarga ditempatkan di sini. Musibah banjir yang menimpa mereka begitu menyedihkan.

Namun hati saya lebih hiba bila azan maghrib berkemundang boleh dikira dengan jari mangsa banjir yang turut serta menunaikan solat maghrib berjamaah. Begitu juga dengan solat isyak. Masing-masing sekadar bersembang kosong dan bergelak ketawa di luar masjid.

Saya termenung sendirian. Bukankah mereka mangsa banjir ini adalah tetamu Allah swt? Bukankah mereka sedang menumpang di Rumah Allah? Apakah ini sikap seorang tetamu? Tidakkah mereka merasa malu kepada Allah swt?

Apa yang kita miliki adalah cuma pinjaman dariNya. Rumah, kereta anak isteri malah tubuh badan kita adalah pinjaman darinya. Bukan milik kita. Itu mungkin nikmat pinjaman yang kita sudah lupa.

Tetapi Masjid yang jelas-jelas Rumah Allah yang kita diberi peluang untuk tumpang teduh pun kita masih tidak ada rasa malu meninggalkan solat.

Bala bagaimana lagi yang mereka ingin terima supaya dapat menginsafi diri mereka?

Masa makan mereka berpusu-pusu berebut-rebut. Masa azan mereka wat do no je…

Siapa yang bagi rezeki nasi, ikan sardin dan ikan kering itu? Siapa?

Mengapa kita lupa siapa Pemberi rezeki itu? Sehingga solat yang cuma 5 minit itu, kita tak sudi bersama para jamaah untuk menunaikannya.

Masa senang kita lupa Allah. Dan masa susah pun kita masih lupa Allah…

Apa pun sama-samalah kita berdoa mudah2an Allah swt memberi hidayah dan taufik kepada kita semua. Aamiin…

Begitulah kisahnya. Pada anjang sebagai pejuang agama, pembela Allah dan Rasul, marilah kita rasakan, kita yang paling bersalah kerana hingga saat ini, itulah sahaja kualiti keimanan dan ketakwaan sebahagian rakyat Malaysia. Kita mesti lipat gandakan usaha mendekatkan diri dan masyarakat kepada Allah. Apakah dengan banjir sebesar ini, 2 pesawat yang ada kena mengena dengan Malaysia hilang, sebuah lagi ditembak jatuh, kebakaran, tanah runtuh, bom anti kereta kebal meletup di rumah, ribut kencang dll masih belum menggerunkan hati kita kepada Allah?

Ingatlah, Firaun, pembesar-pembesar dan bala tenteranya pernah di datangkan bermacam-macam bala dari Allah berupa; serangan kutu, belalang ribu, katak, darah… segala sumber air menjadi darah tetapi masih tetap kufur dengan Allah dan ingkar tunduk kepada Nabi Musa maka Allah tenggelamkan di laut Merah. Mati dalam kekufuran. Moga kita dan seluruh rakyat Malaysia mengambil iktibar atas segala peristiwa ini untuk kembali kepada Allah. Bertaubat, bertaubat dan bertaubat… Menangis, menangis dan menangis. Sebelum Allah akhiri hayat kita. Tidak tahu, apakah dalam iman atau sebaliknya.

Baden Baden Bundle, Tg Malim
1.40pm, Dis 30, 2014
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *