Kebakaran Pusat Tahfiz Perbuatan Khianat – 7 Suspek ditahan

Kongsikan kepada yang lain
Share

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan kebakaran yang meragut 23 pelajar dan guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Khamis lalu berpunca daripada ejek-mengejek antara pelajar sekolah tahfiz itu dengan sekumpulan remaja.

Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun ditahan di sekitar ibu negara mulai 6 petang semalam hingga 2.15 pagi tadi.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan hasil pengecaman wajah seorang remaja melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sebelah sekolah tahfiz itu.

Katanya, 6 suspek itu didapati positif dadah jenis ganja dan dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham (akibat) ejek-mengejek di antara suspek dengan segelintir penghuni asrama tahfiz ini yang bermula beberapa hari sebelum kejadian.

“Semua suspek itu mendakwa membakar pusat tahfiz berkenaan dengan niat, tetapi bukan untuk membunuh,” katanya pada sidang media tergempar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, malam ini.

Beliau berkata, polis akan menyiasat petrol yang digunakan untuk mempercepatkan kebakaran itu dan 2 tong gas yang dibawa dari tingkat bawah ke tingkat 3 sekolah tahfiz terbabit.

“Beberapa rampasan dilakukan yang berupa 5 helai baju dan seluar, 4 topi keledar, 3 motosikal dan 3 telefon bimbit milik suspek terlibat.”

Katanya, semua suspek dari sekitar Datuk Keramat itu direman 7 hari bermula hari ini sehingga 22 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Beliau berkata, pelajar tahfiz yang dipanggil membantu siasatan sebelum ini, didapati tidak terlibat dalam kes kebakaran itu.

Katanya, kes itu selesai dengan penangkapan 7 suspek terbabit dan pihaknya akan melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi Khamis lalu.

Jenazah semua mangsa selamat dikebumikan di beberapa tanah perkuburan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.

Seramai 7 mangsa, termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan

  • WAJAH SUSPEK KEBAKARAN TAHFIZ (1)
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *