BERMALAM DI SKOPJE, MACEDONIA – Kembara Berkat Bosnia III

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam Akhir Syawal,

Restoran Halal berdekatan Masjid

Hampir jam 4pm, 1hb Julai 2018, kami keluar meninggalkan kafe Olive, Sofia. Tuhan takdirkan ada orang Turki dari Büyükçekmece yang run bisnes restoran di sini. Büyükçekmece ni tempat kami tinggal di Istanbul. Kira jumpa orang kampung la. Alhamdulillah dapat makan makanan halal di sini.

Kami terus menyusur jalan, melalui depan Masjid Banya Bashi ke arah kenderaan dan terus bergerak menuju Gyueshevo, sempadan Bulgaria/Macedonia.

Jam 5.44 kami berhenti di Ulitsa Lenin sebab Mercedes perlu tambah minyak. Kami pula berhenti tepi jalan membeli 2 Kg buah pear. Segar dari ladang.

Perjalanan diteruskan hingga kami sampai di Gyueshevo kira-kira jam jam 5.50 untuk cop paspot. Alhamdulillah semuanya selesai. Hampir jam 6 pm kami sudah melepasi imigresen Macedonia. Tapi oleh kerana insuran tidak diambil dari Turki, di sini terpaksa ambil insuran Macedonia. Jumlah insuran 2 kenderaan itu sebanyak €170.

Keindahan pemandangan melalui jalan darat 100% berbeza dari naik flight. Langit yang membiru dengan gumpalan awan nipis dan pencahayaan yang penuh jarang kita jumpa di Malaysia. Tanah-tanah pertanian, hutan-hutan pokok ru, gunung-ganang dan bukit-bukau, sekali-sekala bertemu sungai yang amat jernih airnya. Jernih kerana banyaknya mata air yang datang dari banjaran gunung yang banyak. Mengasyikkan. Kadang-kadang macam melalui jalan Grik-Gua Musang. Ada masanya bila bertemu suasana pinggir bandar dengan halaman rumah dijadikan tempat menjual deretan kereta terpakai terasa macam melalui jalan di Batu Pahat. Tapi semua itu berakhir apabila dibungkus dengan kegelapan malam.

Kira-kira jam 10 malam kami sampai ke Skopje (sebutannya Skopya), ibu negara Macedonia. Mencari-cari Apartment untuk bermalam. Alhamdulillah akhirnya dapat menghubungi seorang agen perumahan, penduduk tempatan, peramah, beragama kristian tetapi fikiran agak terbuka dalam memberi info yang berguna.

Phamplet di meja Apartment

Mari kita tambah maklumat tentang Macedonia.

Macedonia memperoleh kemerdekaannya secara aman dari Yugoslavia pada tahun 1991. Pertikaian Greece adalah berkaitan penggunaan nama Makedonia. Sejurus selepas Macedonia mengisytiharkan kemerdekaan, Greece berusaha menghalangi usaha Macedonia untuk mendapatkan keahlian PBB jika nama “Macedonia” digunakan. Akhirnya ia dimasukkan ke PBB pada tahun 1993 sebagai “Bekas Republik Yugoslavia Macedonia,” ringkasnya: dan pada masa yang sama ia sepakat untuk rundingan yang ditaja oleh PBB atas pertikaian nama tersebut.

Pada tahun 1995, Greece mengangkat embargo perdagangan selama 20 bulan dan kedua-dua negara bersetuju untuk menormalkan hubungan, tetapi masalah nama itu masih belum dapat diselesaikan dan rundingan untuk penyelesaian sedang dijalankan. Sejak tahun 2004, AS dan lebih dari 130 negara lain telah mengiktiraf Macedonia. Walaupun telah ada Perjanjian Kerangka Kerja Ohrid (OFA), hubungan antara etnik Macedonia dan etnik Albania masih tetap rumit.

Secara geografinya Macedonia terletak di tenggara Eropah dan utara Greece. Mukabuminya penuh dengan pegunungan dengan lembah yang dalam; tiga tasik besar, masing-masing dibahagikan dengan garis perbatasan; negara yang dikelilingi oleh Sungai Vardar

Peta Macedonia

Negara-negara yang bersempadan dengannya ada 5 buah iaitu Albania 181 km, Bulgaria 162 km, Greece 234 km, Kosovo 160 km, Serbia 101 km

Cuacanya pula, ia mempunyai musim panas yang hangat, kering dan musim luruh; musim sejuk yang agak sejuk dengan salji yang lebat. Travel sesuai di musim panas, sebab tak terasa terlalu panas. Bentuk muka bumi bertanah tinggi mungkin mempengaruhi suhunya.

Jumlah rakyatnya tak ramai, dalam 2,103,721 (Julai 2017).

Pembahagian etniknya pula, Macedonian 64.2%, Albanian 25.2%, Turkish 3.9%, Romani 2.7%, Serb 1.8%, other 2.2% (2002 est.)

Peratus mengikut agama pula adalah seperti berikut: Macedonian Orthodox 64.8%, Muslim 33.3%, mazhab Kristian yang lain 0.4%, kepercayaan lain 1.5% (purata peratusan 2002)

SKOPJE (Ibunegara) dengan penduduk seramai 584,000 (2018). Di Malaysia, Bandar Kuching saja pun dah mencapai bilangan penduduk 617,887, Gombak 682,226.

Nama rasmi Mecedonia yang digunakan oleh UN, EU dan NATO ialah “Former Yugoslav Republic of Macedonia” (FYROM)

Kami menyewa sebuah apartment mewah: The Luxury Skopje Apartments. Suasana tenang dikelilingi bangunan lama termasuk sebuah gereja lama, tidak jauh dari banjaran gunung yang terdapat sebuah palang salib besar berwarna putih. Agak jauh dari kami juga kelihatan menara dan kubah sebuah masjid.

En Syurahbil yang menguruskan bilik-bilik hotel sempat bersembang dan bertanya sdikit sebanyak berkaitan tentang negara Mecedonia khususnya berkaitan agama Islam. Maklumat yg dkongsi oleh Pengurus hotel tersebut, Peratus orang Islam di Mecedonia 70% (tidak tepat) dia menceritakan, Macedonia ialah negara Kristian yg pertama ketika zaman pemerintahan Othmaniah.

Negara Macedonia berada di bawah pemerintahan Empayar Islam selama 500 tahun dan berada di dalam keadaan aman dan baik, samada penganut agama Islam mahupun Kristian di waktu itu hidup aman damai. Ramai juga orang Kristian yang memeluk Islam, namun selepas kejatuhan kerajaan Othmaniah ramai orang Islam melarikan diri bersama keluarga ke kawasan perkampungan, pergunungan dan lereng lereng bukit.

Mereka di kenali sebagai orang Turbeş yang merupakan orang Macedonia yang memeluk Islam dari zaman Türki Othmaniah.

Pengurus hotel itu sambung lagi, dulu orang Kristian dan Islam di Zaman Othmaniah kehidupan mereka indah, Orang Islam tetap mempertahankan cara hidup dan syiar Islam walaupun duduk sekali bermasyarakat dengan orang Kristian.

Tapi sekarang orang Islam dah tak kuat, kehidupan orang islam dah macam orang Kristian. Mereka tak ada pegangan. Walaupun orang Islam ramai tapi susah nak jumpa restoran halal. Inilah harga kehinaan yang umat Islam kena bayar kerana apabila kalah.

YBM Tuan Nasiruddin mengatakan ini sebenarnya propaganda musuh yang mengatakan Islam adalah majoriti di Macedonia. Hakikatnya Islam yang ada di Macedonia hanya bilangan kecil dan ianya hanya Islam kulit. Kita lihat duit je dikekalkan nama Dinar di sini. Arak sangat berleluasa dijual dan diminum oleh orang Islam.

Itulah pentingnya meneroka ke negara-negara ini, melihat sendiri nasib umat Islam sekarang. Allah sendiri suruh bermusafir:

فَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ

oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).

Ali Imran: 137

Rezki masak sendiri di Apartment
Makan malam bersama

Lepas solat berjemaah, kami makan malam yang disediakan oleh team RPU. Sedap, panas-panas lagi dan menyelerakan. Yang tak sedap satu je kata Tuan Nasir, Cuba teka apa?

AM sedang bersama kawan-kawan yang sedang membuat persiapan terakhir Rumah Terbuka Aidil Fitri di Restoran Nur Malaysia Amman. Jom!

NM Amman, Jordan

12.58pm, Jul 13, 2018

P/s Apartment canggih tapi tandas jenis tak ada selak atau kunci dalam. Jenuh berhati-hati nak guna.

Ralat: Ejaan Skopje sebenar Skopje bukan Scopje. Menulis artikel panjang gunakan hp ni dah tak relevan bagi datuk-datuk yg dah tua ni. Nak kena sambar satu iPad mini 4.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *