MANUSIA PALING BAIK… TIRANA, ALBANIA. Kembara Berkat Bosnia V

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Harga kekalahan adalah kehinaan. Itulah yang kami pelajari dari YBM Tn Nasiruddin bila beliau mengupas keadaan masyarakat di Macedonia ini. Melihat nasib masyarakat Turbesy yang melarikan diri ke kawasan pergunungan demi mempertahankan aqidah lalu membina banyak masjid-masjid di lereng bukit, sayu rasa di hati. Ketiadaan ulama yang mendidik dan memimpin ditambah lagi dengan tekanan dari pemerintah yang anti Islam silih berganti membuatkan agama tinggal pada nama sahaja. Mujur ada golongan tarekat yang memegang bara-bara Islam agar tidak padam. Untuk menyalakannya, sudah tidak mampu lagi kerana ketiadaan pemimpin dan bukan zaman mereka. Moga kedatangan orang-orang Timur akan merubah jiwa dan roh mereka untuk memarakkan perjuangan.

Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)

Ali Imran: 140

Kembara diteruskan dengan rombongan bergerak menuju ke border Albania.

Sebenarnya kalau boleh kami ingin memasuki Bosnia melalui Serbia tetapi Serbia menetapkan rakyat Malaysia perlu mendapatkan visa untuk memasuki sempadan negaranya. Visa pula perlu diambil di Kedutaan Besar Serbia di KL. Tiada visa on arrival. Jadi kena masuk Albania dan Montenegro dulu. Bertambah jarak. Bertambah kos dan masa. Moga bertambah pengalaman dan iktibar.

Bendera Albania

Sedikit maklumat berkaitan negara Albania:

Peta Albania

1. Albania mengisytiharkan kemerdekaannya dari Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1912.

2. Ia ditakluki oleh Itali pada tahun 1939.

3. Diduduki oleh Jerman pada tahun 1943.

4. Pada tahun 1944 pula, negara ini dikuasai oleh Parti komunis.

5. Ketika bersama Komunis, permulaannya Albania bersekutu dengan USSR (hingga tahun 1960).

6. Dari tahun 1961 hingga 1978 Albania berkiblatkan pula kepada China.

7. Pada awal 1990-an, Albania mengakhiri 46 tahun pemerintahan komunis dan menubuhkan negara demokrasi.

8. Albania menyertai NATO pada April 2009 dan pada bulan Jun 2014 menjadi calon untuk untuk menyertai EU.

9. Jumlah penduduk Albania seramai 3,038,594 (Julai 2016.)

10. Kumpulan etnik; Albania 82.6%, Yunani 0.9%, 1% lain (termasuk Vlach, Roma (Gypsy), Macedonia, Montenegrin, dan Mesir), tidak ditentukan 15.5% (2011)

11. Bahasa; Albania 98.8% (rasmi – berasal dari dialek Tosk), Greek 0.5%, 0.6% lain (termasuk Macedonia, Roma, Vlach, Turki, Itali, dan Serbo-Croatian)

12. Agama; Islam 56.7%, Roman Katolik 10%, Ortodoks 6.8%, Ateis 2.5%, Bektashi 2.1%, 5.7% lain, tidak ditentukan 16.2% Nota: Semua masjid dan gereja ditutup pada tahun 1967 dan kisah-kisah keagamaan dilarang; pada November 1990, Albania mula membenarkan amalan agama secara sendirian (2011.)

13. Walaupun ekonomi Albania terus berkembang, negara ini masih merupakan salah sebuah negara termiskin di Eropah.

14. Terletak di Tenggara Eropah, bersempadan dengan Laut Adriatik dan Laut Ionia, antara Greece ke selatan dan Montenegro dan Kosovo di utara.

15. Keluasan tanah; 28,748 km persegi

16. Bersempadan dengan empat buah negara: Greece 212 km, Kosovo 112 km, Macedonia 181 km, Montenegro 186 km.

17. Beriklim sederhana; sejuk, mendung, musim sejuknya lembab; musim panasnya kering musim terang; kawasan pendalaman adalah lebih sejuk dan lebih lembab.

18. Bentuk mukabuminya kebanyakannya gunung dan bukit; dataran kecil di sepanjang pantai.

19. Sumber semula jadinya petroleum, gas asli, arang batu, bauksit, kromit, tembaga, bijih besi, nikel, garam, kayu, kuasa hidro, tanah pertanian.

20. Ancaman semula jadi gempa bumi yang merosakkan; tsunami berlaku di sepanjang pantai barat daya; banjir; kemarau

Cuba perhatikan, setelah terpisah dari Empayar Islam Othmaniah yang di hujung kekuasannya, Albania bukan semakin kuat malah semakin lemah. Mengambil ideologi demi ideologi untuk membina negara hanya menjadikan Albania antara sebuah negara paling miskin di Eropah.

2hb Julai 2018, 10.38am kami sambung perjalanan melalui Mavrovo dan Rostusa. Melihat bukit berdinding batu di tepi jalan mengingatkan anjang jalan Grik-Gua Musang. Dulu nak makan, singgah kedai makan Aruah Ustaz Hannan di Grik dan singgah kedai runcit yang Ust Zabli uruskan. Kalau sekarang di Gua Musang dah ada Ikhwan Delight. Tahniah Tuan Dato’ CEO.

Perkuburan Muslim di Struga. Kelihatan juga menara masjid di kejauhan.

Jam 11.27am kami melewati Drugovo seterusnya Debarca.

Di Debarca kami singgah mengisi minyak di sebuah petrol pump hingga hampir jam 12 tengahari. Perjalanan diteruskan hingga ke Struga di area Orhid Lake yang sangat indah. Di Struga kami dapat lihat perkuburan orang Islam dan masjid berkubah dan menara kurus tinggi seperti di Turki, menunjukkan ramai penduduk Islam di situ. Jam 12.53 kami sampai ke Pogradec.

Jarak perjalanan dari Pogradec ke Tirana, ibunegara Albania, lebih kurang 125km akan memakan masa selama 2 jam 17 minit. Kerana keletihan anjang sudah masuk alam lain (💤) tanpa mengiraukan keindahan pemandangan sepanjang perjalanan. Apabila sampai Tirana, kami berpusing-pusing (Mas Heri kata berputar -putar) mencari masjid. Akhirnya kami jumpa juga sebuah masjid di kawasan perumahan. Jam telah menunjukkan pukul 4 lebih.

Tuan Nasir bersolat sunat di sebuah masjid di Tirana, Albania.

Selesai sembahyang kami bertanyakan kepada penduduk tempatan di sebuah kedai runcit yang berdekatan, di mana boleh kami dapat restoran halal yang tidak menjual arak. Kami diberitahu, susah untuk mencari restoran begitu. Ini menunjukkan, umat Islam di sini sangat longgar dalam bersyariat kerana menjadi perkara biasa umat Islam berniaga arak malah meminum arak.

Ada tak sedikit persamaan wajah orang Albania dengan orang Jerman? Yang orang Jawa di kiri tu jangan difikirkan…

Tiba-tiba datang seorang pemuda warga Turki mendekati kami.

Bila kita tanyakan tentang restoran, dia berkata kalau di sini susah nak cari restoran halal tanpa arak. Dia mempelawa rombongan untuk ke madrasah tempat dia mengajar supaya rombngan makan tengahari di situ. Masih ada lagi akhlak Islam padanya, iaitu memuliakan tetamu. Alhamdulillah.

Jenuh nak cari restoran halal tanpa serve arak.

Rombongan terpaksa menolaknya dengan baik memandangkan kami nak bersegera meneruskan perjalanan. Makan di restoran tentu lebih cepat. Akhirnya salah seorang dari mereka membawa rombongan ke sebuah restoran yang halal tanpa menjual arak, walaupun jelas di luar tertulis Bar. Namanya Borova Bar Restorant.

Suasana dalam restoran

Sampai di restoran, Tn Nasir meminta beberapa RPU memastikan benar-benar restoran tersebut tidak menjual arak. Setelah dipastikan barulah ahli rombongan lain turun untuk makan tengahari. Begitu berhati-hatinya YBM Tn Nasir dalam menjaga syariat makan minum ahli rombongan dan menjaga adab dengan masyarakat tempatan. Kalau semua sudah turun dan masuk ke restoran, tiba-tiba ada arak, sudah tentu kena berhadapan dengan mereka penuh hikmah untuk keluar semula. Begitu juga, kalau kena keluar semula sudah tentu menyusahkan para pimpinan. Maka para remaja berpeluang belajar seni-seni berjuang yang halus-halus samada secara langsung ataupun tidak.

Hidangan masakan ala Turki. Ada daging. Ada ayam. Ada roti, nasi, syurbah dan salatoh.

Selesai makan, pemilik restoran bertanya pd En Lokman Hakim Nizam yang boleh berbahasa Turki, adakah di antara ahli rombongan yang boleh merawat kerana anaknya selalu terkena gangguan waktu solat dan makan. Anaknya adalah salah seorang tukang masak di situ. En Lokman lantas memperkenalkan Tn Nasir kepadanya.

Khidmat Rawatan di Restoran

Dia terus meminta ubat dari Tuan Nasir. YBM Tuan Nasir memanggil anaknya duduk di sebelah beliau dan mengambil sebotol air lalu dibacakan ayat-ayat suci Al Quran dan doa juga dicampurkan dengan air dari celupan Janggut Suci Rasulullah SAW. Setelah anaknya meminum air tersebut menerima sebotol untuk kegunaan seterusnya, pemilik restorsn itu sangat berterima kasih kepada Tuan Nasir dan juga rombongan.

Alhamdulillah, kami belajar lagi cara berdakwah yang berkesan ialah menjadi sebaik-baik manusia dengan memberi manfaat pada orang lain. Dakwah bukan hanya bercakap dan berhujah. Yang paling utama adalah lisanul hal. Perbuatan dan akhlak. Khidmat dan bantuan kepada tang susah dan memerlukan.

Sabda Nabi SAW: Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak berkhidmat kepada orang lain.

Sebab itulah diantara projek perniagaan yang paling banyak GISBH buka di dalam dan luar negara adalah restoran. Melaluinya para ikhwan boleh berkhidmat dengan masyarakat samada yang Islam atau bukan, orang Malaysia atau warga lain, berpangkat mahupun tidak, lelaki juga perempuan, di semua peringkat umur. Mudah-mudahan kami dapat rahmat Tuhan, mereka yang berkunjung ke kafe Ikhwan juga mendapat kasih sayang Tuhan.

Selepas itu perjalanan di teruskan menuju ke sempadan Montenegro. Entah apa lagi yang Allah hendak kami semua pelajari dari safar ini. Terima kasih Tuan Nasir, Dato’ Lokman, Tuan Fadhil, Tuan Hasnan dan semua RPU yang sangat berkhidmat dalam perjalanan ini. Moga Allah terus mantapkan roh kita untuk berkhidmat kepada semua manusia.

Amman, Jordan.

5.33pm, Jul 16, 2018

http://www.anjangmuor.com/
Kongsikan kepada yang lain
Share

Cari produk Murah Online?

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *