KESEDIHAN MASJID KG KOPLIK, ALBANIA. JEMAAHNYA 4 ORANG, MUAZZINNYA HP. Kembara Berkat Bosnia VI

Kongsikan kepada yang lain
Share
Berhenti sebentar di Petrol Pump

Salam ceria.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke sempadan Montenegro. Walaupun majoriti penduduk Albania adalah orang Islam tetapi syiar pengamalan Islam mereka sangatlah lemah. Hampir tiada kelihatan wanita yang bertudung menutup aurat lebih-lebih lagi orang lelaki yang berkupiah. Begitulah nasib umat Islam setelah jatuhnya Empayar Turki Othmaniah. Masjid-masjid yang ada pula kebanyakan hasil sumbangan negara-negara Timur Tengah.

2hb Julai 2018, jam 9.12pm kami sampai di Malesi e Madhe, berhenti seketika di sebuah petrol pump. Waktu Maghrib semakin hampir. Kalau di Malaysia, 9.12 dah lama masuk Isyak. Di sini masih terang lagi, tapi dah beransur gelap. Tuan Nasir meminta rombongan berhenti sembahyang di mana-mana masjid berdekatan.

Masjid Koplik, Albania

Kami masuk simpang keluar dari jalan utama, menghala ke sebuah masjid di kawasan kampung. Kelihatan seorang petani menghalau 2 ekor lembunya balik ke rumah melalui tepi masjid. Masjidnya nampak baru dan masih cantik. Dengan bentuk segi empat sama, ruang sembahyang di bawah kubah dan terdapat menara yang agak kurus. Seperti design masjid-masjid di Turki. Ketika berwudhu’ terasa kedinginan airnya dan rasanya masam berasid. Mungkin ia adalah dari telaga ‘boring’ di tepi masjid itu.

Anjang lihat di dindingnya terdapat plak bermaklumat:

Plak di dinding Masjid

Masjid Koplik, Albania. Sumbangan dari Pertubuhan Syafiqah, Kuwait. 2015.

Patutlah nampak masih baru, sebab dibina 3 tahun lepas hasil dari dermawan sebuah pertubuhan kebajikan dari Kuwait.

Alhamdulillah, di ruangan solat berkarpet merah tebal yang indah tetapi malangnya jemaahnya hanya 4 orang. 3 orang tua dan seorang pemuda. Lebih menyedihkan, rupanya azan sedap yang dilaungkan tadi bukannya oleh salah seorang dari mereka tetapi dipasang dari hand phone yang di letak di microphone. Ampuuunnn.

Moga Allah meriahkan rumah Allah dengan hamba-hamba-Nya

Selepas solat berjemaah diimamkan oleh orang Malaysia, Tuan Nasir berbual-bual dengan pemuda Albania yang boleh berbahasa Turki melalui En Lokman RPU yang boleh bercakap dalam Bahasa Turki. Pemuda yang belajar di Turki itu berkata, semua penduduk di kampung itu beragama Islam tetapi kamu lihatlah berapa orang sahaja yang bersembahyang. Pengamalan Islamnya lemah. Rukun Islam yang utama iaitu sembahyang pun hanya dibuat oleh beberapa orang sahaja. Yang lain tak sembahyang. Tuan Nasir kata, adakah kerajaan menghalang bersembahyang? Dia kata, tidak tapi kesan pemerintahan komunis membuatkan orang jauh dari agama.

Berzikir-zikir boleh ke? Berzikir dan baca Quran boleh di rumah tetapi kalau beramai-ramai di masjid, Polis akan datang. Beruntungnya duduk di Malaysia, siapa pun tak halang kita berwirid zikir tapi lebih ramai orang suka melayan hp dari membaca Al Quran dan berwirid.

Bila ditanya tentang makanan halal, dia menjawab; susah hendak dipastikan makanan benar-benar halal di mana-mana restoran. Dia sendiri hanya makan di rumah untuk menjaga kesucian. Kalau keluar, dia hanya makan pizza mozzarella je. Yang lain diragui.

Tuan Nasir juga bertanya beberapa perkara berkaitan pembukaan perniagaan restoran dan makanan halal dan bakeri di Albania. Dia kata boleh dibuka tetapi orang Islam di sini tak mampu. Mereka hanya bekerja sebagai petani dan mengambil ubah atau makan gaji dengan non Muslim di ladang-ladang mereka. Anjang perhatikan air muka Tuan Nasir yang menahan perasaan sedihnya memikirkan nasib umat Islam yang tidak terbela di bumi yang pernah Islam berdaulat megah dan sangat ditakuti oleh musuh-musuh Islam yahudi dan Kristian ketika itu. Begitu juga perasaan para ALP yang lain. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Hampir pasti nanti, para RPU akan di letakkan di negara-negara Balkan, membuka perniagaan yang tujuan utamanya untuk membela Iman dan Islam umat ini. Kalau dilatih susah di Malaysia pun tak tahan, tak mungkin mampu berjuang di sini. Kalau kesusahan di Pochan, Kolam Teluk Tenggiri, Batu Hampar, Kuala Ketil dan lain-lain diungkit-ungkit kononnya satu penzaliman, apa yang kita boleh harapkan dari remaja begini? Ini belum kita bincangkan suhu di musim sejuknya yang sangat dahsyat. Amanah agama ini tak mampu dipikul oleh mereka yang belum mantap rasa bertuhan dan rasa kehambaan di hati mereka.

Orang-orang yang tiada rasa, atau ada sedikit tetapi tidak mantap, mereka tidak mampu mengawal kepentingan diri. Orang begini akan mengikut akal yang berpandukan nafsu yang jahat. Mereka tidak mampu taat 100% pada Allah tanpa beralasan dan berkhidmat sesama manusia.

Akal yang berpandukan nafsu yang jahat mampukah melihat keadilan Allah dalam peristiwa Siti Hajar ditinggalkan seorang diri bersama bayi di padang pasir yang tandus?

Akal yang berpandukan nafsu yang jahat mampukah mengatakan Allah itu adil apabila memerintahkan Nabi Ibrahim hanya memberi giliran kepada isteri keduanya, setahun sekali?

Akal yang berpandukan nafsu yang jahat mampu ke melihat keadilan Tuhan yang memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anak kecilnya yang jumpa pun jarang sekali, tiba-tiba disuruh sembelih.

Sebab itu perlunya pendidikan 24 jam. Ketika bermukim atau bermusafir. Waktu tenang atau sedang cemas. Secara rasmi atau tidak rasmi. Kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun sudah tua. Malah ketika mati di talkinkan.

Tanpa didikan dan pimpinan, masjid hanya jadi hiasan. Ramai orang boleh membantu dari jauh. Membina masjid yang besar dan indah. Kita sangat berterima kasih atas sumbangan mereka. Tetapi tidak ramai yang sanggup duduk bersama, mendidik umat ini, kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW itu bukan sahaja pemurah tetapi baginda sanggup duduk dan makan dengan orang yang berkudis-kudis badannya.

Jam 10.15 malam kami mula bergerak keluar dari Kampung Koplik. Tentu Masjid Kg Koplik sedih berpisah dengan para tetamu. Begitu juga kami yang keluar menuju ke boarder Montenegro membawa kesedihan di hati mendengar luahan pemuda berkupiah tadi. Terasa erat bersalaman dengan saudara seagama sebelum berpisah tadi namun perjalanan perlu diteruskan.

Bilik 1, Villa GISB Amman.

6.02pm, Jul 17, 2018

anjangmuor.com

Kongsikan kepada yang lain
Share

Cari produk Murah Online?

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *