Teks titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V

Kongsikan kepada yang lain
Share

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyampaikan titah diraja ketika Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda,Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V pada majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Keempat Belas, hari ini.

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.

Bismillaahir rahmaanir rahiim, Alhamdulillahi rabbil ‘alamin wassolaatu wassalaamu ‘ala asyrafil anbiyaai wal mursaliin, wa’ala aalihi wa sohbihi ajma’iin

Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah, beta merafak kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya memungkinkan beta pada hari ini hadir dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Parlimen ke-14.

Mesyuarat kali ini telah melakar satu sejarah tersendiri kerana istiadat pembukaan penggal parlimen diadakan dua kali dalam tahun yang sama dan dewan ini dapat menyaksikan penampilan bilangan yang besar anggota-anggota Parlimen yang baharu.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Negara kita baru sahaja selesai melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018. Beta mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan barisan kepimpinannya yang telah berjaya dipilih untuk menerajui pentadbiran negara. Beta juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, anggota-anggota keselamatan dan semua agensi kerajaan yang telah terlibat dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan tiada insiden negatif yang serius berlaku.

Tahniah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di dalam dewan yang mulia ini. Pemilihan tersebut adalah satu tanggungjawab yang besar. Ahli-Ahli Yang Berhormat harus menggalas tugas dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi. Beta percaya Ahli-Ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasusila. supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar.

Rakyat telah pun membuat keputusan. Justeru, semua pihak hendaklah akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu, sempit dan tertutup. Pemikiran yang banyak dibentuk oleh media yang sarat dengan berita-berita sensasi dan spekulasi. Beta berharap semua pihak hendaklah berusaha melakukan penjernihan yang ikhlas dan sungguh-sungguh bagi mewujudkan perpaduan yang tulen dan murni. Mencari titik persamaan bukan perbezaan dengan bekerjasama, untuk kesejahteraan rakyat dan survival negara.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta berharap semua kejayaan, pencapaian serta pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai oleh negara sebelum ini akan dapat dipertingkatkan. Justeru, kerajaan, pihak swasta dan rakyat hendaklah terus bekerjasama, dalam usaha menyusun masyarakat, terutama memperbaiki ekonomi rakyat yang masih terpinggir. Pembelaan terhadap ekonomi rakyat yang terpinggir tidak harus dilihat sebagai dasar diskriminasi perkauman, tetapi sebagai usaha menebus ketidakadilan sosial yang telah diwarisi sekian lama.

Di persada antarabangsa, beta amat menyokong langkah-langkah yang diambil untuk terus memperkukuhkan kerjasama yang terjalin dengan negara-negara anggota ASEAN khususnya dan dunia amnya demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengalu-alukan pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat bagi menangani kos sara hidup, beta menyokong langkah untuk memansuhkan GST, menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup yang diharap dapat meringankan beban rakyat. Pada masa yang sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara •

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Cabaran-cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi global, konflik politik, krisis kemanusiaan di peringkat antarabangsa dan ancaman fahaman radikal akan terus mempengaruhi geopolotik dan ekonomi dunia. Dalam hal ini, beta berharap kerajaan akan terus berusaha mencari jalan untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut bagi kebaikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Era Revolusi Perindustrian 4.0 merupakan satu cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh semua negara. Justeru, beta mengalu-alukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya. Beta berharap faedah yang diperolehi bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain.

Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11; hala tuju baharu 2018-2020 yang akan dibentangkan pada tahun ini adalah antara langkah kerajaan bagi mendepani cabaran-cabaran dalam agenda pembangunan negara. Kajian tersebut bertujuan untuk menilai semula program dan projek-projek yang telah diluluskan, hala tuju dan status pencapaiannya. Beta berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat mengambil bahagian dengan berbahas dan memberi pandangan bernas terhadap kajian tersebut.

Kerajaan beta akan meneruskan pelaksanaan pelbagai program dan projek bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan termasuk di Sabah dan Sarawak. Ini selaras dengan dasar kerajaan agar kehidupan rakyat dipertingkatkan dan kekayaan negara dikongsi secara adil dan saksama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sumbangan golongan pekerja yang berjumlah lebih kurang 15 juta orang amat besar kepada pembangunan negara. Beta berharap pengenalan inisiatif-insiatif seperti penubuhan suruhanjaya, cadangan menyamaratakan kadar gaji minimum di seluruh negara dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan akan dapat mensejahterakan mereka.

Sumbangan golongan wanita kepada negara dan masyarakat sangat besar dalam pelbagai bidang pekerjaan dan kemahiran. Beta yakin penglibatan golongan wanita dapat dipertingkatkan lagi. Langkah-langkah menggilap potensi, kemahiran serta menggalakkan mereka untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara perlu diperkasakan. Walau bagaimanapun aspek penjagaan institusi keluarga tetap diberi keutamaan.

Dalam menuju ke arah pemodenan, kepatuhan kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni tidak harus diabaikan. Beta meyeru semua pihak hendaknya lebih serius menangani gejala sosial dan elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat, organisasi kerajaan, NGO dan para ilmuan perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian ke atas masalah-masalah berbangkit.

Beta amat mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meningkatkan integriti, tadbir urus dan prinsip kedaulatan undang-undang. Langkah-langkah bijak yang lebih meyakinkan pihak pelabur yang sedia ada untuk mengekalkan pelaburan mereka, di samping usaha menarik minat pelabur-pelabur baharu.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Terdapat anggapan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di negara ini adalah percikan bunga api yang akan membakar hangus kedamaian, kestabilan dan kerukunan hidup. Namun beta bersyukur anggapan tersebut meleset sama sekali kerana rakyat telah membuktikan sebaliknya. Beta menyeru agar perpaduan dan keadaaan harmoni di kalangan rakyat negara ini terus dipelihara dan diperkukuhkan. Elemen-elemen negatif dan tindak tanduk, yang mengganggu-gugat kesepaduan dan keharmonian perlu dibenteras. Hentikan ungkitan terhadap isu-isu sensitif antara kaum. Beta juga menyambut baik cadangan mewujudkan majlis perundingan keharmonian rakyat agar program-program yang lebih berkesan bagi mempromosi perpaduan dapat diperbanyakkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin dan mengekalkan keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara yang dengannya membolehkan pembangunan dan kemajuan negara berjalan dengan baik seperti dirancang.

Akhir titah, beta berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

Sekian, Wabillahi taufik walhidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

www.anjangmuor.com
  • ang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V pada majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Keempat Belas (1)
Kongsikan kepada yang lain
Share

Cari produk Murah Online?

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *