Tauhu Ikhwan

Kongsikan kepada yang lain
Share

Malam tadi anjang tidur di rumah tetamu GISBH Kulim. Pagi-pagi, sebelum Subuh lagi AM dah pegi ke Kilang Tauhu Ikhwan. Nak jumpa En Padil atau nama penuhnya Mohd Pazil bin Abdullah dan staf Kilang Tauhu ni, nak tengok sendiri pemprosesan Tauhu. Anak saudara anjang, Mohd Syamil Yacoub pun ada di sini.

Klik untuk video

Tak seronok dengar orang cakap, Ikhwan cuma tampal label je, sedangkan produk makanan yang mereka jual ambil dari orang lain. Sedangkan hakikatnya, Ikhwan atau GISBH dah usahakan makanan halal sejak lama dahulu. Sejak di zaman Arqam lagi.

Contohnya kilang tauhu ini hakikatnya telah diusahakan seawal tahun 1986 lagi di Selama, Kedah. Menurut En Pazil, ketika itu hanya gunakan 150 kg kacang soya dan dapat hasilkan 800 keping tauhu sahaja. Tetapi sangat mengembirakan masyarakat Islam kerana adanya bekalan tauhu yang benar-benar dijamin halal dan suci. Ketika itu masak guna kawah, guna kayu api. Ada 2 dapur kawah. Kalau musim hujan kena tutup kayu-kayu api yang dijemur supaya tidak basah.

Setelah berpindah 4 kali selama beberapa tahun ini, akhirnya kilang ini beroperasi di Kulim. Hari ini di tahun 2019, kilang ini menggunakan kira-kira 500-700kg kacang soya dan dapat menghasilkan dari 9000 keping ke 15,000 keping tauhu sehari. Alhamdulillah, lebih banyak tauhu, lebih ramai anggota masyarakat yang dapat diberi khidmat. Permintaan sangat tinggi khasnya di bulan Ramadhan.

Sekarang En Fazil menggunakan ‘boiler 6 bar’ yang ‘auto refill’ air bila berkurang malah jika ‘pressure’ lebih had, burner akan ‘stop’ secara automatik. Boiler terpakai yang masih ‘tip top’ ini dibeli dengan harga RM30K sedangkan harga baru di pasaran sebanyak RM150K.

Buat masa ini, bilangan staf yang terlibat seramai 7 orang sahaja. Semuanya remaja yang dididik menjaga ibadah dan akhlak.

Tauhu yang sedap kita makan dalam mi goreng atau kuah lontong atau digoreng saja cicah dengan cili dan kicap itu sebenarnya melalui proses yang bukan sedikit sehingga tersedia di hidangan.

Ia bermula dengan kacang soya direndam dalam jam 6PM selama 6-8 jam. En Pazil menggunakan dua jenis kacang soya, yang pertama diimport dari Kanada, satu lagi dari AS. Rahsianya, kacang Kanada menghasilkan susu soya yang banyak tapi harganya mahal iaitu RM3/kg. Tauhu yang dihasilkan pula agak keras dan kasar teksturnya. Kacang AS pula menghasilkan susu yang sedikit atau kurang dari kacang Kanada tetapi tauhu yang dihasilkan lembut dan halus. Harganya jauh lebih murah iaitu RM2.10/kg. Mencampurkan kedua jenis kacang ini menghasilkan tauhu yang baik.

Setelah di rendam, kacang di tuskan airnya dan dibilas. Kemudian ia disedut mesin sedut untuk dimasukkan ke mesin kisar. Setelah itu ia dimasukkan ke mesin spin untuk diasingkan antara susu dengan hampas.

Setelah itu, air soya ditapis dan dimasukkan ke dalam tong lalu dimasak menggunakan boiler hingga mendidih. Percaya tak? Boiler sekarang boleh mendidihkan air hanya dalam masa 5 minit. Cepat giler. Tetapi untuk menjaga agar tidak bergoncang kuat dan tumpah, ia dilambatkan sikit.

Setelah mendidih, garam dan kalsium sulfat (ubat) akan dimasukkan ke dalam susu soya tersebut. Setiap satu tong memerlukan 30kg kacang soya akan dicampurkan bahan ubat tadi sebanyak 8 liter.

Setelah itu susu dibiarkan selama 20 minit untuk ia membeku. Lepas itu ia dikacau untuk asingkan antara air dengan dadih atau ketulan susu yang telah membeku.

Setelah air dibuang dari tong, dadih soya itu dimasukkan ke petak-petak steel yang telah dipasang dengan kain kasa dan disusun untuk di’press’. Zaman Arqam dulu buat sendiri alat ‘press’ ni guna kayu dan ‘Jerk’ kereta. Sekarang dah ada yang hidrolik.

Setelah beberapa minit di’press’ tauhu sudah tersedia untuk dipotong dan dibungkus untuk dipasarkan. Anjang sempat ambil yang masih panas-panas untuk rasa. Perghh… memang sedap!

Masih gelap-gelap lagi dah ada penternak haiwan yang datang membeli hampas soya untuk ternakan mereka. Bila dah mula terang tanah, berdatangan orang yang direct membeli di kilang di antaranya peniaga mini mart, pengedar tauhu, peniaga gerai. Ada seorang Cina pertengahan umur datang membeli air soya untuk restorannya. Orang-orang India khasnya yang vegetarian ramai yang membeli tauhu di sini. Begitulah bila Islam benar-benar diamalkan, ia menaungi bukan sahaja untuk ahli jemaah bahkan untuk semua orang Islam dan bukan Islam.

Airport Sultan Abd Halim

4.34PM, Jul 10, 2019

Naik teksi lagi…

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *