Perang Uhud ix

Kongsikan kepada yang lain
Share

Kisah Perjuangan Sahabat Di Uhud

Sayyidina Saad bin Abi Waqqas bertugas mengawal Rasulullah. Dia bertempur dengan panahnya. Bagindalah yang membantu menghulurkan anak panah kepadanya sambil Baginda mendoakan Sayyidina Saad. Setiap kali dia memanah semuanya tepat mengenai sasaran. Ramai musuh terbunuh dan ada yang tercedera. Rasulullah sangat gembira terhadap peranan Sayyidina Saad yang sangat membantu tentera Islam itu.

Diantara sahabat Rasulullah r yang syahid di medan Uhud ialah Sayyidina Hanzalah. Dia baru sahaja berkahwin sehari sebelum peperangan bermula. Mendengar seruan jihad dia segera menyertai tentera Islam sedangkan dia masih berjunub dan belum sempat untuk mandi junub. Sewaktu Rasulullah melihat mayatnya selepas peperangan tamat, Baginda bersabda, “Hanzalah sedang dimandikan oleh para malaikat.”

Ketika itu Baginda memalingkan mukanya dari jenazah Sayyidina Hanzalah. Para Sahabat bertanya kenapa tiba-tiba Baginda berpaling. Rasulullah menjelaskan, “Sedang bersama Hanzalah sekarang adalah dua orang isterinya dari bidadari syurga.”

Rasulullah bergerak dari Madinah pada hari Jumaat dan peperangan berlaku pada hari Sabtu. Pada hari itu Allah telah memberi hidayah ke dalam hati seorang ulama’ Yahudi yang dikenali sebagai Mukhairiq.

Apabila dia beriman dia menyeru kaumnya untuk menyertai Rasulullah dalam peperangan mempertahankan Madinah. Orang Yahudi berkata, “Bukankah hari ini hari Sabtu, kita tidak boleh berperang pada hari Sabtu.” Mukhairiq berkata, “Larangan Sabtu hanya untuk kamu.”

Sayyidina Mukhairiq terus berkejar ke Uhud dan turut bertempur bersama tentera Islam menentang tentera Kuffar. Akhirnya dia syahid pada hari itu. Melihat mayatnya Rasulullah bersabda:

“Barangsiapa yang nak lihat ahli syurga yang tidak pernah sembahyang walaupun sekali, lihatlah kepada orang ini.”

Sayyidina Mukhairiq telah memeluk Islam pada hari Sabtu, dia terus ikut berjihad pada hari Sabtu dan dia telah syahid pada hari Sabtu lalu dia telah mendapat syurga pada hari yang sama.

Ada seorang Sahabat Rasulullah yang cacat kakinya. Anak-anaknya tidak membenarkan dia ikut ke medan perang kerana Rasulullah juga tidak memberatkannya. Dia merayu kepada Rasulullah untuk bersama tentera Islam kerana dia mahu mendapatkan syahid. Dalam peperangan ini Allah telah mengabulkan hajatnya untuk mati syahid kerana mempertahankan Allah, Rasul dan agama-Nya.

Ada seorang pahlawan Islam yang dikenali sebagai Qazman. Dialah di antara tentera Islam yang paling tangkas merempuh tentera Kuffar dan menyerang mereka bertubi-tubi sehingga kucar-kacirlah barisan tentera Kuffar. Semua orang kagum dan memujinya.

Apabila Rasulullah terdengar pujian itu, Baginda bersabda,“Dia adalah ahli neraka.”

Para Sahabat sungguh terkejut mendengar kenyataan itu. Mereka melihat Qazman begitu hebat sekali memerangi tentera kafir. Apabila Baginda memberitahu bahawa dia ahli neraka, ada seorang sahabat ingin mengetahui apakah rahsia yang tersirat dalam ucapan Rasulullah itu. Oleh itu Sahabat ini sentiasa berada dekat dengan Qazman.

Suatu ketika Qazman tercedera. Rupanya dia tidak sabar menahan kecederaannya lalu dia mengambil senjatanya dan membunuh dirinya sendiri. Kini terbuktilah kebenaran kata-kata Rasulullah kerana orang yang membunuh diri tempatnya adalah neraka.

Apabila Sayyidina Abu Dujanah menghunus pedang Rasulullah, dia berjuang bermati-matian untuk menunaikan hak pedang yang Baginda amanahkan itu. Dia telah memerangi tentera Kuffar sehingga pedang Rasulullah itu telah bengkok.

Ketika Sayyidina Abu Dujanah menerima pedang Rasulullah itu, Sayyidina Ka’ab Bin Malik berazam mahu melihat bagaimana Sayyidina Abu Dujanah akan memperlakukan pedang Rasulullah itu. Dalam pertempuran Uhud dia sentiasa berada berdekatan dengan Sayyidina Abu Dujanah. Sehingga satu ketika dia melihat satu pertarungan hebat di antara Sayyidina Abu Dujanah dan seorang pahlawan kafir.

Apabila tentera kafir itu merasa dia tidak mampu mengalahkan Sayyidina Abu Dujanah, dia lari dari Sayyidina Abu Dujanah dengan kudanya. Sayyidina Abu Dujanah mengejar pahlawan itu sehingga dapat menetak pahlawan yang lengkap berbaju besi dari kepala sampai ke kakinya.

Oleh kerana kuatnya tetakan Sayyidina Abu Dujanah menyebabkan jasad pahlawan itu terbelah dua itu malah pedang Rasulullah telah mengenai kudanya. Pahlawan kafir itu jatuh terbelah dua.

Ketika itu Sayyidina Abu Dujanah mengangkat pedangnya sambil berpaling kepada Sayyidina Ka’ab. Dia tersenyum syukur dan mengisyaratkan permintaan doa dari Sayyidina Ka’ab agar dia terus dibantu Allah.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *