Perang Uhud v

Kongsikan kepada yang lain
Share

Pemedang Rasulullah

Rasulullah terus memberi semangat kepada tentera Islam dengan berbagai cara. Akhirnya Rasulullah mengangkat pedang Baginda dan bertanya pada semua tentera Islam :

“Siapakah yang mahu mengambil pedang ini dan menunaikan haknya?”

Sayyidina Hamzah bangun menawarkan dirinya kepada Rasulullah, tetapi Baginda tidak memberikannya kepada Sayyidina Hamzah. Rasulullah bertanya lagi. Sayyidina Ali pula bangun menawarkan dirinya, tetapi Baginda tidak memberikan kepadanya juga. Rasulullah bertanya lagi. Sayyidina Zubair bin Awwam pula bangun, tetapi Rasulullah juga tidak menyerahkan pedang kepadanya. Rasulullah bertanya lagi, Sayyidina Miqdad pula bangun, namun Baginda tidak memberikan kepadanya juga.

Empat orang panglima yang paling handal di kalangan tentera Islam telah menawarkan diri mereka untuk mengambil pedang Rasulullah tetapi tiada seorang pun yang menerimanya. Siapakah yang akan mengambilnya selain daripada mereka?

Rasulullah bertanya lagi untuk kali yang kelima, “Siapakah yang mahu mengambil pedang ini dan menunaikan haknya?” Ketika itu Sayyidina Abu Dujanah al-Ansari bangun dan bertanya kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, apakah dia hak pedang ini?”

Rasulullah sangat gembira mendengar soalan itu. Soalan inilah yang ditunggu oleh Baginda. Tiada siapa menyoalnya sehinggalah Sayyidina Abu Dujanah menyoalnya. Rasulullah r berkata, “Hak pedang ini ialah ia mesti digunakan sampai dia bengkok, kerana terlalu banyak memukul dan mencantas orang kafir.” Sayyidina Abu Dujanah berkata, “Aku bersedia, wahai Rasulullah !” Rasulullah pun menyerahkan pedang itu kepada Sayyidina Abu Dujanah.

Alangkah gembira dan bersyukurnya Sayyidina Abu Dujanah kerana mendapat kepercayaan Rasulullah untuk menggunakan pedang Baginda. Apalagi setelah Baginda tidak menyerahkannya kepada empat orang panglima Islam yang terbilang yang menawarkan diri mereka sebelumnya.

Lalu Sayyidina Abu Dujanah mengeluarkan kain merah yang dililit ke kepalanya sambil menghunus pedang Rasulullah. Dia berpusing dengan kudanya di kawasan tentera Islam dengan penuh megah dan gagah. Rasulullah yang memerhati gelagat Sayyidina Abu Dujanah ini tersenyum. Baginda bersabda

“Sesungguhnya gaya seperti ini adalah gaya yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya melainkan dalam suasana seperti ini.”

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *