Perang Uhud vii

Kongsikan kepada yang lain
Share

Persiapan Tentera Kuffar Quraisy

Kuffar Quraisy juga sedang membuat persiapan terakhir sebelum memasuki pertempuran dengan Rasulullah. Perempuan mereka menyanyi dan bersyair demi membakar semangat pasukan tentera.

Mereka bersyair, “Sekiranya kamu menang, kepulangan kamu ditunggu dengan layanan istimewa tetapi kalau kamu lari atau kalah, kami tidak kenal kamu lagi!”

Turut menyertai tentera kafir ini ialah seorang hamba kulit hitam yang bernama Wahsyi. Dia adalah seorang pelontar lembing yang sangat mahir. Lontarannya jarang meleset. Dia diberi tawaran oleh pembesar Quraisy, sekiranya dia dapat membunuh Sayyidina Hamzah dia akan dibebaskan.

Wahsyi menyertai peperangan ini dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk membunuh Sayyidina Hamzah demi melepaskan dirinya dari perhambaan.

Sebelum pertempuran bermula ada seorang bekas pemimpin Madinah yang terkenal di kalangan orang kafir dengan panggilan Abu Amru ar Rahib. Dia adalah seorang yang sangat memusuhi Islam. Sebelum kedatangan Rasulullah ke Madinah, orang Aus dan Khazraj hampir mengangkatnya menjadi Raja mereka di Madinah. Setelah Islam datang ke Madinah dan Rasulullah berhijrah ke Madinah namanya terus tenggelam.

Dia lari membawa diri ke Syam. Apabila dia mendengar Kuffar Quraisy bersiap untuk memerangi Rasulullah, dia kembali untuk menyertai mereka. Dia telah menggali sebuah lubang besar di medan Uhud untuk memerangkap tentera Islam. Selepas itu dia menyeru kepada orang Aus dan Khazraj supaya menyebelahinya dan meninggalkan Rasulullah. Seruan itu tidak bermakna apa-apa lagi bagi Aus dan Khazraj yang sudah berbai’ah untuk sehidup semati dengan Rasulullah. Mereka melaungkan pendirian tegas mereka kepada Amru bahawa hidup dan mati mereka adalah untuk Allah dan Rasul-Nya.

Perang Uhud tidak dimulakan dengan pertarungan satu lawan satu tetapi terus berlaku pertempuran antara dua pasukan tentera. Sudah menjadi adat dalam peperangan waktu itu setiap pasukan ada bendera. Bila bendera jatuh ertinya pasukan itu sudah kalah. Selagi bendera tegak ertinya tentera masih bertahan dan masih tersusun. Apabila bendera jatuh dan tidak diangkat lagi, ia adalah tanda kekalahan. Bendera Islam dipegang oleh Sayyidina Mus’ab bin Umair dan bendera Kuffar dipegang oleh anak-anak Abu Talhah dari Bani Abdul Dar. Sebelum pertempuran bermula Abu Sufyan datang kepada Bani Abdul Dar. Abu Sufyan berkata, “Wahai Bani Abdul Dar, di medan

Badar kamu juga yang memegang bendera Quraisy, ketika itu bendera kita rebah! Kali ini kalau kamu tidak sanggup untuk mempertahankan bendera kita, serahkan bendera ini dari sekarang kepada Bani lain.” Bani Abdul Dar bersumpah tidak akan membenarkan bendera Quraisy tumbang lagi kali ini. Dengan itu Abu Sufyan selaku Panglima tentera Kuffar mengekalkan bendera di tangan Bani Abdul Dar.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *