Perang Uhud viii

Kongsikan kepada yang lain
Share

Jatuhnya Bendera Kafir Quraisy

Sayyidina Hamzah, Sayyidina Ali dan Sayyidina Zubair mengepalai tentera Islam. Sayyidina Hamzah adalah seorang yang mahir dalam peperangan. Dia tahu jalan yang paling mudah dan paling cepat untuk mengalahkan lawan ialah dengan menjatuhkan bendera mereka.

Apabila pertempuran bermula, Sayyidina Hamzah dan pasukannya menyerang bertubi-tubi ke arah bendera Quraisy. Sayyidina Hamzah dilihat bagaikan seekor singa yang garang dan gagah menebas ke kiri dan ke kanan sehinggalah berhadapan dengan pemegang bendera Quraisy. Dia berjaya membunuh pemegang bendera itu. Demikianlah, di awal pertempuran lagi bendera Kuffar sudah jatuh. Semangat tentera Kuffar sudah mula goyang manakala semangat tentera Islam semakin tinggi.

Namun anak Abu Talhah yang kedua segera menjulang semula bendera mereka. Sayyidina Hamzah terus menggasak lagi ke arah bendera dan dia jatuhkan lagi kali buat kedua dengan menewaskan anak Abu Talhah yang kedua. Tentera kafir semakin goyang.

Anak Abu Talhah yang ketiga pula mengangkat bendera. Ketika tentera kafir sibuk menghalang Sayyidina Hamzah dan pasukannya, tanpa disedari Sayyidina Ali dan pasukannya pula tembus sampai kepada pemegang bendera. Sayyidina Ali berjaya membunuhnya lalu jatuh lagi bendera Quraisy. Sudah tiga kali bendera Kuffar jatuh, semangat dan jiwa mereka semakin goyah.

Anak Abu Talhah yang keempat pula memegang bendera. Sayyidina Ali yang masih berada di situ berjaya membunuh pemegang bendera yang keempat pula. Bendera Kuffar rebah lagi untuk kali yang keempat menyebabkan hati tentera kafir terus bergoncang.

Seterusnya, anak Abu Talhah yang kelima mengangkat semula bendera Quraisy. Sesungguhnya tentera kafir semakin menggelabah dan semakin kucar-kacir. Masakan tidak, sudah empat kali bendera mereka jatuh menyembah bumi dalam masa yang begitu singkat. Mereka sekarang bertubi-tubi pula menggasak pasukan Sayyidina Hamzah dan pasukan Sayyidina Ali

untuk menyelamatkan bendera mereka.

Sedang mereka sibuk dengan Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali , Sayyidina Asim bin Tsabit dan pasukannya pula berjaya menembusi pertahanan musuh lantas berjaya membunuh pemegang bendera. Bendera Quraisy jatuh lagi untuk kali

kelima. Tentera kafir terus kucar-kacir.

Apabila mereka bertahan di sebelah kanan, barisan sebelah kiri mereka tembus. Apabila mereka bertahan dari kiri dan kanan, barisan hadapan mereka pula tembus.

Ketika itu Sulafah, anak perempuan Abu Talhah sudah sampai ke situ, dia sempat menyaksikan saudaranya yang kelima dibunuh oleh Sayyidina Asim. Anak Abu Talhah yang keenam pula memegang bendera, namun Sayyidina Asim berjaya membunuhnya juga. Gugur lagi bendera Quraisy untuk kali yang keenam. Setelah enam kali bendera Quraisy tumbang di awal pertempuran, semangat juang tentera Kuffar semakin goyang.

Sulafah yang menyaksikan dua orang saudaranya terbunuh di tangan Sayyidina Asim menyangka yang membunuh keenam-enam saudaranya itu adalah Sayyidina Asim. Ketika itu dia menjerit,

“Siapakah yang boleh membawa kepala Asim kepadaku untuk aku minum arak dalam tempurung kepalanya?! Siapa yang boleh membawanya, hadiahnya adalah emas sepenuh tempurung kepala ini!”

Mendengar tawaran itu, tentera Kuffar menyerang Sayyidina Asim bertubi-tubi demi untuk mempertahankan bendera mereka dan untuk mendapat hadiah dari Sulafah. Setelah kesemua anak lelaki Abu Talhah tumbang, pahlawan Bani Abdul Dar yang lain pula mengangkat bendera kafir.

Panglima Kuffar Quraisy merasa susah hati, mereka mesti mencari jalan untuk menyelamatkan bendera mereka dan menyekat serbuan tentera Islam ke arah bendera mereka. Sudah enam kali bendera mereka jatuh. Akhirnya mereka bersepakat, “Kita mesti serang pula bendera tentera Islam!”

Mereka segera mengarahkan pasukan mereka ke arah Saidina Mus’ab. Tentera Islam terus menyekat kemaraan tentera Kuffar yang menyerbu ke arah Sayyidina Mus’ab.

Demikianlah medan perang Uhud menyaksikan dua sudut pertempuran paling sengit. Ia adalah di sekeliling bendera Quraisy dan di sekeliling bendera Islam. Sayyidina Hamzah, Sayyidina Ali dan Saidina Asim terus berjaya menembusi pertahanan tentera Kuffar.

Mereka berjaya membunuh pemegang bendera yang ketujuh pula. Bendera Kuffar jatuh lagi buat kali yang ke tujuh. Bendera Islam masih tegak dan gagah. Seorang lagi pahlawan Bani Abdul Dar menjulang semula bendera Quraisy.

  • hadith memegang bendera uhud (1)
Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *