Perang Uhud xii

Kongsikan kepada yang lain
Share

Akibat Mengingkari Arahan

Apabila medan Uhud telah dikuasai oleh tentera Islam dan mereka telah mula mengutip ghanimah, pasukan pemanah menyangka peperangan sudah berakhir dan tentera Islam sudah menang. Lalu mereka mahu ikut turun mengutip ghanimah.

Sayyidina Abdullah bin Jubair menahan mereka. Dia berkata kepada pasukan pemanah, “Rasulullah telah mengarahkan kita supaya jangan meninggalkan bukit!” Mereka berkata, “Arahan itu ketika perang berlangsung tetapi sekarang perang sudah selesai. Tentera Kuffar sudah lari dan semua orang sedang mengutip ghanimah.”

Pasukan pemanah pun turun dari bukit meninggalkan Sayyidina Abdullah dan dua orang yang lain. Khalid al Walid dapat melihat dari jauh pasukan pemanah sudah tiada lagi di atas bukit. Pasukan yang telah menghalang pasukannya menyertai peperangan kini sudah tiada lagi.

Khalid segera menggerakkan pasukannya berpusing dari belakang Bukit Uhud. Dia membawa pasukannya mendaki bukit pemanah dari belakang. Sayyidina Abdullah dan dua orang pemanah yang setia dengannya cuba menghalang mereka tetapi mereka tidak mampu lagi kerana mereka hanya tinggal tiga orang sahaja. Akhirnya pasukan Khalid berjaya menguasai bukit pemanah. Sayyidina Abdullah dan dua orang lagi anggota pasukannya gugur syahid di tangan pasukan Khalid.

Pasukan Khalid yang sudah berjaya menguasai bukit pemanah itu kini sudah berada di belakang tentera Islam. Ketika tentera Islam sedang sibuk mengutip ghanimah dan mengejar tentera kafir yang lari tiba-tiba pasukan Khalid menyerang mereka dari belakang.

Tentera Islam yang tadinya sudah menguasai medan Uhud itu pula menjadi kucar kacir. Sekarang pasukan Khalid yang menguasai medan Uhud. Mereka menyerang tentera Islam bertubi-tubi. Apabila Rasulullah melihat keadaan itu, Baginda menyeru tentera Islam supaya berkumpul dekat Baginda untuk menyusun kekuatan semula. Rasulullah berseru:

“Ke sini semua wahai hamba-hamba Allah! Ke sini semua wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya aku Rasulullah !!”

Rasulullah telah mempertaruhkan keselamatan dirinya di saat genting ini demi menyelamatkan tentera Islam. Seruan itu telah menyebabkan tentera Kuffar mengetahui kedudukan Rasulullah Ketika itu satu kumpulan tentera Kuffar menyerang Baginda.

Rasulullah berundur lagi ke belakang dan akhirnya Baginda terjatuh ke dalam lubang perangkap yang dibuat oleh Amru ar-Rahib.

Sementara itu Sayyidina Hamzah yang sedang mematahkan serangan pasukan berkuda kafir hanya tinggal seorang diri. Sudah tiada lagi pasukan yang membantunya. Wahsyi yang sejak awal peperangan mengawasi pergerakan Sayyidina Hamzah, segera mendekatinya. Dia mengekori Sayyidina Hamzah dari jarak yang selamat sehinggalah dia berada di belakangnya. Lantas dia melontar tombaknya tepat menikam belakang Sayyidina Hamzah dan menembusi ke perutnya. Walaupun tombak Wahsyi sudah menembusi perutnya, Sayyidina Hamzah masih tegak. Dia memusingkan kudanya ke arah Wahsyi.

Wahsyi menceritakan, “Ketika itu aku merasakan bahawa aku tidak akan terlepas lagi dari Sayyidina Hamzah. Aku hanya boleh berdiri tegak kerana terlalu takut. Apabila Sayyidina Hamzah sampai kepadaku barulah dia jatuh dari kudanya dan syahid di situ. Aku pun mengambil semula tombakku lalu berundur dari medan perang. Hanya itu sahaja yang aku mahu dari medan Uhud.” Demikianlah ‘Pedang Allah’ Sayyidina Hamzah bin Abdul Mutalib kembali kepada Tuhannya.

Sayyidina Mus’ab, pemegang bendera juga sudah jauh daripada kawalan pasukannya. Ketika itu satu pasukan tentera Kuffar telah menyerangnya. Sebelah tangannya memegang bendera dan sebelah lagi menghayun pedang menyekat kemaraan tentera Kuffar. Akhirnya mereka berjaya memotong sebelah tangannya. Lantas dipegang bendera dengan tangan yang satu lagi. Tentera Kuffra berjaya menetak sebelah tangannya lagi. Setelah itu Sayyidina Mus’ab t juga syahid demi mempertahankan bendera Islam. Ketika itu jatuhlah bendera Islam.

Sekarang kedua pasukan tentera tidak mempunyai bendera. Bendera Islam baru jatuh dengan syahidnya Sayyidina Mus’ab, sementara bendera Kuffar sudah lama jatuh.

Ketika itu Sayyidina Anas bin Nadr

merempuh barisan tentera Kuffar sambil dia memberitahu sahabatnya, Sayyidina Saad bin Muaz bahawa dia telah mencium bau syurga. Dia telah bersumpah mahu menebus kesilapannya kerana tidak menyertai peperangan Badar. Akhirnya dia syahid dalam keadaan tubuhnya penuh dengan tikaman senjata. Sayyidina Saad bin Muaz memberitahu Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku telah menyaksikan bagaimana Anas menyekat tentera Kuffar. Aku sendiri tidak mampu melakukan seperti yang dia lakukan.”

Selepas itu Sayyidina Ali berjaya mengangkat kembali bendera Islam. Bendera Kuffar juga telah diangkat kembali oleh seorang perempuan dari Bani Abdul Dar yang dikenali sebagai Amrah binti Alqamah. Apabila kedua- dua bendera tegak kembali, tentera berkumpul semula ke arah bendera masing-masing. Tentera Islam ketika itu berada di tengah-tengah. Mereka di serang dari depan dan belakang.

Rasulullah yang terjatuh ke dalam lubang itu menyeru lagi tentera Islam:

“Ke sini semua wahai hamba-hamba Allah! Ke sini semua wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya aku Rasulullah!!”

Beberapa orang Sahabat telah berkumpul di sekeliling Rasulullah. Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Abdul Rahman bin Auf, Sayyidina Abu Dujanah, Sayyidina Talhah bin Ubaidillah, pasukan 7 orang pahlawan Ansar dan pasukan wanita Islam.

Pasukan wanita ini menyertai Perang Uhud sebagai pasukan pembantu di barisan belakang terutama untuk menyediakan makanan dan merawat tentera yang cedera. Sementara itu Rasulullah memerintahkan Sayyidina Umar dan pasukannya menghalau pasukan Khalid dari Jabal Rummah.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *