Perang Uhud xiii

Kongsikan kepada yang lain
Share

Sayyidatina Nusaibah dan para Sahabat Mempertahankan Rasulullah SAW

Dalam keadan kucar kacir itu hanya tinggal beberapa orang sahaja di sekeliling Rasulullah. Baginda telah berjaya keluar dari lubang. Ketika itu satu pasukan tentera Kuffar datang menyerbu ke arah Rasulullah lagi. Tujuan mereka adalah mahu membunuh Baginda. Kerana ramainya bilangan mereka, ada yang berjaya sampai kepada Rasulullah. Salah seorang dari mereka berjaya menetak bahu Baginda. Walaupun Rasulullah memakai baju besi, tetapi tetakan itu telah menyebabkan kesakitan yang ditanggung oleh Baginda berlarutan lebih dari sebulan.

Tetakan itu menyebabkan Rasulullah terjatuh semula ke dalam lubang. Mereka menetak kepala Baginda pula. Kerana kuatnya tetakan itu, sebahagian topi besi Rasulullah r tertusuk ke isi kepala Baginda.

Rasulullah masih boleh bertahan. Para Sahabat yang berada di sekeliling Baginda terus menyekat dan mengusir tentera kafir yang sampai ke situ. Namun dengan jumlah mereka yang sedikit dan serbuan bertubi-tubi dari berbagai penjuru menyebabkan sebahagian tentera kafir tetap berjaya sampai kepada Rasulullah. Kali ini mereka berjaya menetak muka Baginda. Tetakan itu menyebabkan beberapa gigi Rasulullah patah, kepala serta muka Baginda luka.

Apabila Sayyidatina Nusaibah melihat keadaan itu dia mengambil pedang dan ikut menyekat serbuan tentera kafir ke arah Rasulullah. Salah seorang dari tentera kafir berjaya menetak bahu Sayyidatina Nusaibah yang sedang menghalang kemaraan tentera kafir dengan pedangnya. Walaupun tercedera Sayyidatina Nusaibah terus mempertahankan Rasulullah. Menurut Sayyidatina Nusaibah, luka di bahunya itu ditanggungnya sepanjang hayat.

Apabila tentera kafir berjaya disekat oleh sebilangan kecil pahlawan Islam yang bersama Rasulullah, mereka tak boleh lagi mendekati Baginda. Oleh kerana Rasulullah masih berada di dalam lubang, mereka memanah ke arah Baginda pula. Melihat hal itu Sayyidina Abu Dujanah melompat ke dalam lubang untuk melindungi Rasulullah dengan belakangnya. Semua anak panah yang menghujani lubang Rasulullah telah mengenai belakang Sayyidina Abu Dujanah. Diceritakan, belakang Sayyidina Abu Dujanah kelihatan bagaikan belakang seekor landak kerana banyaknya anak panah yang melekat dibelakangnya.

Akhirnya Rasulullah berjaya keluar dari lubang itu dengan kawalan para sahabat. Sambil menahan serangan bertubi-tubi daripada tentera Kuffar, mereka berundur ke Bukit Uhud.

Sayyidina Abdul Rahman bin Auf cuba mengeluarkan besi di kepala Rasulullah tetapi ia melekat kuat. Akhirnya dia menggunakan giginya sehingga beberapa batang giginya patah. Darah mengalir dari kepala Rasulullah. Sayyidina Ali

dan Sayyidatina Fatimah merawat luka kepala Baginda.

Apabila tentera Kuffar merasakan Rasulullah masih hidup, mereka berpusu-pusu menyerang lagi ke arah Baginda. Serbuan kali ini oleh pasukan Ubay bin Khalaf. Ketika itu Rasulullah menyeru siapa yang mahu menahan mereka. Tujuh orang pahlawan Ansar segera menyahut seruan Rasulullah menahan kemaraan pasukan Ubay bin Khalaf.

Rasulullah memerintahkan sahabat lain naik ke atas bukit. Rasulullah dengan kecederaannya tidak mampu untuk memanjat bukit. Sayyidina Abu Talhah telah memikul Baginda dibelakangnya. Ketika itu Ubay bin Khalaf berjaya menembusi pertahanan Islam. Sayyidina Abu Talhah berhenti untuk menghadapi Ubay.

Rasulullah menghalangnya kerana Baginda sendiri ingin menghadapi Ubay. Ubay ketika itu berbaju besi lengkap dari kepala sampai ke kakinya, tak ada ruang yang terbuka melainkan di tepi tengkoknya. Dia menunggang seekor kuda yang telah dipersiapkannya sejak sebelum Rasulullah berhijrah lagi. Setiap kali Rasulullah lalu di tepi rumahnya dia akan berkata kepada Baginda, “Tunggulah wahai Muhammad, nanti aku akan bunuh kamu dari atas kuda ini.”

Rasulullah menjawab, “Daku yang akan menewaskan kamu dari atas kuda ini dengan izin Allah” Baginda mengambil panah sambil para sahabat mengawal Baginda dari belakang. Panahan pertama oleh Rasulullah terus mengenai bahagian leher Ubay yang terbuka.

Kerana kuatnya panahan Rasulullah itu, Ubay terjatuh dari kudanya lalu bergolek ke bawah bukit. Dia bangun dan berlari ketakutan ke tempat tentera Kuffar sambil menjerit, “Muhammad telah memanah aku, matilah aku!!”

Apabila dia membuka topi besinya didapati lukanya hanya sedikit. Kawan-kawannya telah memperlecehkannya. Mereka berkata: “Wahai Ubay, luka ini tidak akan membunuh kamu.” Ubay berkata, “Demi Allah, kalau Muhammad ludah aku pun, aku boleh mati!” Sayyidina Abu Talhah memikul Rasulullah naik ke atas bukit.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *