Perang Uhud xiv

Kongsikan kepada yang lain
Share

Tentera Islam Berkumpul Di Atas Bukit Uhud

Apabila melihat Sayyidina Ali menjulang bendera Islam di atas Bukit Uhud, tentera Islam yang lain segera menuju ke situ. Melihat tentera Islam berkumpul semula di atas bukit dan bendera Islam masih tegak, Khalid al Walid menyerbu dengan pasukannya ke arah bukit. Mereka mahu menjatuhkan bendera Islam untuk memperkukuhkan kemenangan mereka.

Rasulullah memanggil Sayyidina Saad bin Abi Waqqas lalu mengarahkannya memanah pasukan Khalid. Sayyidina Saad mengadu kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, bagaimana aku seorang mampu memanah satu pasukan.”

Rasulullah pun mendoakan Sayyidina Saad. Setiap panahannya tepat mengenai seorang anggota pasukan Khalid. Melihat keadaan itu, pasukan Khalid tidak berani mara lagi. Demikianlah apabila Sayyidina Saad memanah dengan keberkatan mukjizat Rasulullah. Inilah rahsia kenapa pasukan Khalid yang masih mantap itu terpaksa berundur.

Sementara itu Ibnu Qaniah, seorang tentera kafir yang berjaya menetak Rasulullah tiga kali telah mengisytiharkan kepada tentera Kuffar bahawa dia telah berjaya membunuh Baginda. Ketika itu semua tentera Islam sudah berada di atas bukit.

Abu Sufyan datang dekat bukit Uhud sambil menjerit, “Apakah Muhammad masih hidup?” Rasulullah tidak membenarkan sesiapa pun menjawab pertanyaan itu. Abu Sufyan bertanya lagi, “Apakah Abu Bakar masih hidup?” Rasulullah tidak membenarkan pertanyaan itu dijawab. Abu Sufyan bertanya lagi, “Apakah Umar masih hidup?” Rasulullah tidak membenarkan pertanyaan itu dijawab. Setelah tiada jawapan kepada tiga soalannya, Abu Sufyan berseru, “Kalau tiga orang ini sudah mati maka tamatlah riwayat Islam. Kita telah berjaya menghapuskan Islam!”

Ketika itu Sayyidina Umar dengan izin Rasulullah r menjawab, “Wahai Abu Sufyan! Wahai musuh Allah! Semua yang kamu sebut masih hidup dan ada disini!” Abu Sufyan kenal itu suara Sayyidina Umar.

Tahulah dia bahawa dia belum berjaya tetapi untuk menutup perasan kecewanya dia menjerit, “Wa Hubal!” Melaungkan nama berhala Hubal adalah satu laungan kemenangan bagi orang Kuffar Mekah.

Rasulullah memerintahkan Sayyidina Umar sebagai jurucakap tentera Islam menjawab jeritan ini. Sayyidina Umar bertanya, “Apa yang patut kami jawab, wahai Rasulullah ?” Rasulullah bersabda, “Jawablah, “Allahu A’la wa Ajal!” iaitu ‘Allahlah yang Maha Tinggi dan Maha Mulia.’ Maka Sayyidina Umar t menjawab jeritan Abu Sufyan itu, “Allah yang Maha Tinggi dan Maha Mulia!” Mendengar jawapan itu, Abu Sufyan menjerit lagi, “Kami ada Uzza sedangkan kamu tidak mempunyai Uzza!” Sayyidina Umar menjawab, “Allah pembela kami dan kamu tidak ada pembela!”

Abu Sufyan berkata, “Kemenangan kami hari ini seperti kemenangan kamu di Badar!” Abu Sufyan mahu mengatakan bahawa kita seri sekarang. Di Badar kamu menang dan hari ini kami yang menang.

Lantas Sayyidina Umar menjawab, “Tidak ada persamaan antara kita. Para korban kami masuk syurga sedangkan korban kamu masuk neraka!” Abu Sufyan tidak mampu membalas kata-kata itu.

Mereka berundur sambil mencacatkan mayat para syuhada’ tentera Islam.

Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan, anak Utbah dan saudara kandung Walid bin Utbah dan anak saudara Syaibah, tiga orang panglima kafir yang terbunuh dalam Medan Badar telah bersumpah sebelum perang akan memakan hati Sayyidina Hamzah. Beliaulah yang menyebabkan kematian ayahnya, bapa saudaranya dan abang kandungnya. Hindunlah yang mengupah Wahsyi untuk membunuh Sayyidina Hamzah.

Apabila dia menjumpai mayat Sayyidina Hamzah, dia telah membelah perut Sayyidina Hamzah dan mengeluarkan hatinya lalu dikunyah hati itu. Namun dia tidak mampu mengunyahnya kerana kepanasan dan kepahitannya. Diletakkan kembali hati itu di dada Sayyidina Hamzah. Tidak cukup dengan itu, dia juga memotong telinga dan hidung Sayyidina Hamzah.

Selepas itu tentera Kuffar pulang ke Mekah. Dalam Perang Uhud ini 70 orang tentera Islam telah syahid sementara di pihak tentera Kuffar sebanyak 22 orang terbunuh. Selepas tentera Kuffar berundur, Rasulullah dan tentera Islam turun mengumpulkan mayat tentera Islam yang syahid.

Ketika itu Rasulullah belum menyedari bahawa Sayyidina Hamzah telah syahid sehinggalah Baginda sampai ke tempat mayat Sayyidina Hamzah yang berada dalam keadaan yang begitu rupa. Perutnya dibelah, hatinya di atas dadanya, hidung dan telinganya telah dipotong. Dia terkorban kerana mempertahankan Rasulullah dan memperjuangan agama Allah agar tertegak di muka bumi ini. Sebuah perjuangan agar semua manusia dapat mengenali Tuhan mereka yang sebenar dan kembali menyembah-Nya dan mentaati-Nya, mensyukuri dan membesarkan-Nya. Moga mereka selamat dari azab Tuhan di akhirat nanti dan agar mereka dapat hidup dalam keredhaan Tuhan di dunia.

Rasulullah menangis melihat mayat Sayyidina Hamzah, Sahabat berkata, “Rasulullah menangis teresak-esak, sehingga semua sahabat turut menangis di atas kesedihan Rasulullah itu.” Kesedihan Rasulullah itulah kesedihan mereka, kegembiraan Rasulullah itulah kegembiraan mereka. Hati mereka terlalu dekat dengan hati Baginda.

Selepas itu Rasulullah bersabda:

“Demi Allah, belum pernah aku lalui dalam hidupku sesedih suasana ini.”

Begitulah hati Rasulullah terhadap umatnya. Apatah lagi terhadap Sahabatnya yang bersamanya memperjuangkan agama Allah ini. Lebih- lebih lagi terhadap Sayyidina Hamzah, bapa saudaranya yang telah mendokong perjuangannya. Rasulullah memerintahkan semua Syuhada’ Uhud y dikebumikan di dalam satu kubur yang sama.

Kongsikan kepada yang lain
Share

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *