Maruah Melayu Siri iii – Bersatu Akhlak

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria,

Belum sempat anjang habiskan siri Maruah Melayu ini dah sampai berita operasi sebuah syarikat akhbar Melayu ditutup. Masih panas lagi lagi rasanya Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam tapi lagi panas berita akhbar Melayu yang telah berusia 80 tahun dihentikan . Sedangkan mewujudkan syarikat akhbar Melayu Islam itu termasuk dalam Urusan Fardhu Kifayah. Dikira sebagai bersatu dari sudut Syariat. Wajib diwujudkan akhbar mewakili umat Islam.

Persoalannya adakah setelah akhbar Melayu Islam diwujudkan, kita berjaya menggunakan akhbar itu tepat sebagaimana yang Allah kehendaki?

Adakah akhbar kita di gunakan untuk menyatu-padukan orang Melayu Islam dengan menguatkan hubungan mereka kepada Allah dan Rasul melalui pemimpin atau ia hanya digunakan untuk kepentingan politik parti tertentu semata-mata hingga menimbulkan perpecahan di tengah masyarakat?

Adakah akhbar ini menjadi medan dakwah orang Melayu Islam? Berapa ramai orang Cina dan India telah mendapat hidayah melalui seruan penuh hikmah dari akhbar ini? Atau di dalamnya bercampur antara hak dan batil. Antara berita benar dan fitnah. Antara keputusan nombor ekor / toto dan jadual waktu solat dan berbuka puasa? Ini akhbar kita, patutnya kita berhak menyusunnya. Kita telah merdeka, bukan setahun dua, dah puluhan tahun, patutnya kita boleh susun diri kita sesuai yang Allah redhai.

Berapa ramai orang Melayu Islam yang terbela sejak 80 tahun umur akhbar ini dibanding mereka yang terzalim dengan berita-beritanya, ulasan Ketua pengarangnya dan kolum agamanya? Apakah kita benar-benar membela Allah dan Rasul? Allah janjikan pembelaan kepada mereka yang membela agama-Nya.

إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

‏kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Muhammad: 7

Kalau kita benar-benar membela agama Allah, mengapa Allah tidak membela kita sekarang?

Allah juga berjanji dalam firman-Nya:

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ 

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Adakah kita bersyukur selama ini menjadi lidah orang Melayu dengan menggunakannya sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul? Kalau kita benar-benar bersyukur, Allah pasti akan tambah nikmat-Nya pada kita. Ya Allah! Jadikan akhbar berbahasa Melayu yang masih ada sesuai dengan hukum hakam syara’ agar melepaskan kami dari tuntutan Fardhu Kifayah di Akhirat atau Ya Allah munculkanlah akhbar berbahasa Melayu baru yang benar-benar menepati syarat hukum syara’ agar kami terlepas dari dosa Fardhu Kifayah.

Untuk pos kali ini, kita akan sambung syarat bersatu yang ketiga setelah kita bincangkan 2 syarat yang sangat penting sebelum ini iaitu bersatu akidah dan bersatu syariat.

3. Bersatu akhlak

Untuk mendapat kesatuan atau bersatu yang tepat menurut Islam semua ahli parti, organisasi, persatuan malah semua umat Melayu Islam kena bersatu dari sudut akhlak.

Apa maksud bersatu akhlak? Semua Umat Islam samada dari parti A, B, C atau dari Persatuan N, pertubuhan K, Syarikat J, asalkan dia orang Islam, semua kena bersama-sama berusaha memiliki akhlak yang baik iaitu mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam segala hal, seperti sifat sabarnya, ikhlasnya, tawadhuknya, zuhudnya, pemurahnya, pemaafnya, bersyukurnya, bicaranya, bergaulnya, kebersihannya, ibadahnya, makan minumnya, berpakaiannya dan lain-lain yang menjadi sunnah hidupnya.

Di samping itu hendaklah kita bersama-sama berusaha membuang semua perangai yang buruk dan keji seperti sombong, bakhil, penakut, cinta dunia, pemarah, hasad dengki, keluh-kesah dan mazmumah lain yang bersarang dalam hati manusia dan keluar pada sifat lahir manusia.

Akhlak ni asasnya ibadah yang dihayati. Kalau dalam beribadah betul-betul membawa rasa kita ini ialah hamba yang hina, lemah, banyak dosa, serba kekurangan, terasa takut kepada Allah, binbang, cemas, rasa Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dll semua ini akan membakar sifat-sifat buruk di hati kita. Yang terbaik kalau akhlak ni telah dididik dan dipupuk sejak kecil lagi. Sudah mendarah mendaging menjadi peribadi dan tidak berubah dalam apa keadaan sekalipun.

Akhlak itu bunga diri. Dengannya orang tertarik kepada kita. Walaupun Rasulullah mempunyai segala kesempurnaan seperti berani, berjiwa besar, kuat ibadah, kuat berjuang dan berkorban tetapi yang Allah puji secara jelas adalah akhlak baginda. Firman Allah:

‎وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Al-Qalam: 4

Dalam satu Hadis baginda bersabda:

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Semua umat Islam wajib mencontohi Rasulullah SAW lebih-lebih lagi pemimpin masyarakat. Begitu juga ahli parti atau pertubuhan kita. Masing-masing kena pastikan ahli parti atau pertubuhan mereka berakhlak barulah kita dikira bersatu dari sudut akhlak.

Mari kita bawa beberapa contoh:

Pemurah

Semua umat Islam kena bersatu menerima bahawa sifat pemurah itu akhlak yang mulia, bakhil itu sifat yang keji dan berusaha menjadi peribadi yang pemurah. Pemurah dengan senyuman, fikiran, tenaga, masa, wang ringgit. Orang pemurah ini semua orang suka. Jangan diri kita dan ahli parti kita jadi bakhil. Atau ada yang pemurah ada yang bakhil, tak bersatu akhlak namanya walaupun dalam satu parti.

Pemaaf

Semua umat Islam kena menerima pemaaf itu akhlak yang mulia dan berusaha menjadi seorang yang pemaaf. Orang yang pemaaf ini semua orang suka walaupun orang kafir. Kalau dalam parti atau persatuan kita, ada yang pemaaf, ada yang tidak maka kita belum bersatu dari sudut akhlak. Pemaaf yang dimaksudkan di sini ialah seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Merendah diri

Semua umat Islam, dari parti atau pertubuhan apa sekalipun kena bersatu menerima bahawa sifat merendah diri atau tawadhu’ itu ialah akhlak yang mulia dan mengamalkannya. Kalau ada yang tawadhu’, ada yang sombong, ada yang sombong bodoh maka kita dikira belum bersatu di sudut akhlak. Begitulah contoh-contoh akhlak yang kita kena bersatu memilikinya. Kiaskanlah dengan lain-lain akhlak yang mulia.

Malangnya bila kita sendiri tak berakhlak, kita pula memilih pemimpin seperti kita yang juga tidak berakhlak. Akhirnya bila masuk dewan parlimen yang mulia, tiba-tiba orang bukan Islam provoke kita, keluarlah perangai-perangai kita yang keji. Mencarut, menghina, memaki hamun, meninggi suara, menyindir, membela diri yang salah, menegakkan benang yang basah dll. Hilang akhlak kita.

Sanggup kita mengata orang lain lotong, menyamakan orang dengan binatang kerana sikap-sikapnya yang kita tidak senang, terkeluar pula kita dari akhlak Muslim apabila menyamakan atau menghina orang sebagai lotong. Bila lihat seseorang perempuan berperawakan lelaki, kita hina dia; kejap lelaki, kejap perempuan. Kita menjerit-jerit. Kita tinggikan suara. Menghina, menyindir, mengungkit, memburuk-burukkan orang. Sedangkan kita pemimpin masyarakat. Dari parti apa pun, kita orang Muslim. Seluruh rakyat boleh melihat gelagak kita di TV dan internet. Malu telah hilang dari kita. Hakikatnya kita tidak bersatu dari sudut akhlak. Maka kita dikira umat yang berpecah belah. Umat yang lemah dan tidak bermaruah.

Akhirnya setelah puluhan tahun merdeka, entah berapa ramai ahli parlimen Muslim di Parlimen tapi berapa orang non Muslim yang berjaya diislamkan hanya dengan melihat akhlak pemimpin Muslim? Berapa ramai ahli parlimen Muslim yang menyimpang keislamannya berjaya kita betulkan dengan hanya berakhlak di hadapannnya. Kita hanya meneruskan sistem lama memecah belahkan kita menjadi umat Islam yang tidak bersatu dalam memiliki akhlak yang mulia.

Walhal kalau kita semua bersatu akhlak, dari sudut akhlak semuanya sama. Sama-sama pemurah, pemaaf, merendah diri, sabar, pemalu, bersyukur, adil, bertolak ansur, bekerjasama, mendahulukan orang lain, berkasih sayang, prihatin, bersangka baik, bertimbang rasa, kasihan pada yang susah dll walaupun dari parti dan pertubuhan yang berbeza, kita sangat bersatu. Bersatu di sudut akhlak.

Sebab itulah kalau kita, orang yang berilmu, kenalah mengamalkan bukan bercakap dan berteori sahaja, kena merendah diri kerana selalunya orang ada ilmu ini ego, kasihan dengan orang yang jahil, menyampaikan, bertanggung jawab dan sabar. Kerana ilmu itu hakikatnya pinjaman dari Allah, kalau Allah putuskan satu urat penting di kepala kita, kita bukan saja boleh jadi bodoh tetapi boleh jadi gila atau mati.

Kalau kita orang yang kaya, kenalah merendah diri, orang kaya lumrahnya sombong, kena pemurah kerana ramai orang kaya ditimpa penyakit bakhil, kena kasihan dengan fakir miskin dan bertanggung jawab. Wang kita hanya pinjaman dari Allah, berakhlaklah dengan-Nya.

Kalau kita ialah pemimpin di mana sekalipun keluarga, pejabat, di tengah masyarakat kenalah adil, penyayang, merendah diri, bertanggung jawab dan sabar. Semuanya akan ditanya di akhirat. Mampukah kita menjawabnya.

Bersambung…

Villa GISBH Istanbul

8.41 am, Okt 11, 2019

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *