Kini bubar Parlimen kuasa mutlak YDPA

Kongsikan kepada yang lain
Share

SECARA umumnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri. Ia boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu ketika dalam keadaan biasa di bawah Perkara 55 Perlembagaan atau dalam keadaan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4). Untuk Perkara 55, nasihat Perdana Menteri diperlukan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 40(1).

Oleh itu, Parlimen tidak boleh dibubarkan melainkan jika ada permintaan atau nasihat dari Perdana Menteri, atau kerana tamat tempoh Parlimen selama lima tahun.

Prinsip berkenaan terpakai dalam situasi kewujudan Perdana Menteri dan Kabinet. Tetapi kini, Perdana Menteri telah meletakkan jawatan. Bila Perdana Menteri meletakkan jawatan, maka seluruh Kabinet tidak lagi berfungsi secara biasa. Dengan lain perkataan, peletakan jawatan Perdana Menteri membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet.  Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan.  Penamatan jawatan anggota Kabinet dan pemegang lantikan politik lain seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara di bawah Perkara 43(5) memperkukuhkan konsep ini.

Walaupun kita ada Perdana Menteri interim, peranan dan kuasa Perdana Menteri interim tidak sama. Dalam konteks pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sekarang, kuasanya hanya menguruskan pentadbiran negara. Dalam hal ini skop kuasa PM interim hampir serupa dangan skop kuasa kerajaan sementara (caretaker government) yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan.

Kuasa Perdana Menteri interim hanyalah sementara YDPA membuat keputusan berkaitan pemilihan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a). Memandangkan Perdana Menteri interim salah seorang daripada pihak yang berkepentingan dalam proses ini, maka beliau tidak kelayakan untuk bercakap mewakili YDPA berkaitan proses yang berlaku. Ketetapan YDPA dikeluarkan oleh pihak Istana Negara bukannya Seri Perdana.

Rakyat perlu menunggu keputusan YDPA. YDPA telah melaksanakan cara yang paling telus dan komprehensif melalui temubual secara berdepan dengan seluruh anggota Dewan Rakyat. Apa sahaja ketetapan YDPA perlu diterima dengan lapang dan terbuka. 

Dalam hal ini kita tidak dapat menolak kemungkinan pembubaran Parlimen. Kemungkinan ini timbul berasaskan suasana semasa yang menggambarkan bahawa tiada mana-mana individu yang mendapat kepercayaan lebih 112 orang Ahli Parlimen bagi memenuhi kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 43. 

Perkara 43(2)(a) secara jelas mensyaratkan Perdana Menteri yang ingin dilantik memiliki ‘kepercayaan’ majoriti anggota Dewan Rakyat. Konsep ‘kepercayaan’ amat penting kerana ia diperlukan bagi menjamin kestabilan politik. Kalau Perdana Menteri tiada sokongan majoriti dalam Dewan, dia mungkin kecundang melalui Undi Tidak Percaya. Kerajaan pula berdepan masalah besar bila belanjawan tidak dapat diluluskan.Dalam situasi tiada yang memperoleh kepercayaan majoriti, pilihan terbaik ialah memulangkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan. Walau bagaimana pun, terserah kepada YDPA untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang Baginda perolehi secara langsung daripada setiap Anggota Dewan Rakyat.

Dalam situasi ini, jika YDPA memutuskan untuk membubarkan Parlimen, maka semua pihak perlu akur. Baginda tidak memerlukan nasihat Perdana Menteri atau Kabinet kerana Perdana Menteri dan Kabinet telah tiada.  Perdana Menteri interim tiada kaitan dengan urusan pelantikan Perdana Menteri.

Prinsip ini berasaskan kepada kedudukan YDPA yang boleh difahami melalui peruntukan berikut:
a.    Perkara 55(2): Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog dan membubar Parlimen.
b.    Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV. 
c.    Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain. 

Kini timbul persoalan lain, adakah YDPA mesti mendapatkan pandangan Majlis Raja-raja. Jawapannya, bagi mengukuhkan keputusan YDPA, Baginda boleh meminta pandangan Majlis Raja-raja, walaupun ia bukanlah satu kemestian.

Ringkasnya, YDPA berhak membubarkan Parlimen bila-bila masa. Dalam keadaan tiada siapa yang mendapat sokongan majoriti, tiada siapa yang boleh menghalang atau melambat-lambatkan keputusan dan kehendak YDPA. Pembubaran mengejut penggal Parlimen bukan suatu yang ganjil dalam sistem demokrasi. Ia pernah berlaku dua kali di United Kingdom baru-baru ini, iaitu pada tahun 2017 dan 2019. Kita tunggu apa ketetapan YDPA.  Sama-sama doakan moga Allah menetapkan yang terbaik untuk Malaysia.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF – Kredit: HARAKAHDAILY 28/2/2020

𝓐𝓜:

𝓚𝓲𝓽𝓪 𝓶𝓮𝓶𝓮𝓻𝓵𝓾𝓴𝓪𝓷 𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓫𝓮𝓷𝓪𝓻𝓫𝓮𝓷𝓪𝓻 𝓫𝓮𝓻𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪 𝓾𝓷𝓽𝓾𝓴 𝓶𝓮𝓶𝓹𝓮𝓻𝓽𝓪𝓱𝓪𝓷𝓴𝓪𝓷 𝓴𝓮𝓼𝓾𝓬𝓲𝓪𝓷 𝓪𝓰𝓪𝓶𝓪 𝓘𝓼𝓵𝓪𝓶 𝓭𝓲 𝔃𝓪𝓶𝓪𝓷 𝓶𝓾𝓼𝓾𝓱 𝓘𝓼𝓵𝓪𝓶 𝓽𝓮𝓻𝓵𝓪𝓵𝓾 𝓻𝓪𝓶𝓪𝓲 𝓫𝓾𝓴𝓪𝓷 𝓼𝓪𝓱𝓪𝓳𝓪 𝓭𝓲 𝓴𝓪𝓵𝓪𝓷𝓰𝓪𝓷 𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰 𝓴𝓪𝓯𝓲𝓻 𝓫𝓪𝓱𝓴𝓪𝓷 𝓭𝓲 𝓴𝓪𝓵𝓪𝓷𝓰𝓪𝓷 𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰 𝓘𝓼𝓵𝓪𝓶 𝓲𝓽𝓾 𝓼𝓮𝓷𝓭𝓲𝓻𝓲.

𝓚𝓪𝓵𝓪𝓾 𝓱𝓪𝓷𝔂𝓪 𝓫𝓮𝓻𝓫𝓮𝓴𝓪𝓵𝓴𝓪𝓷 𝓴𝓪𝓻𝓲𝓼𝓶𝓪 𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝓼𝓮𝓹𝓮𝓻𝓽𝓲 𝓴𝓮𝓹𝓪𝓷𝓭𝓪𝓲𝓪𝓷, 𝓴𝓮𝓬𝓮𝓻𝓭𝓲𝓴𝓪𝓷, 𝔀𝓪𝓳𝓪𝓱 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓶𝓮𝓷𝓪𝔀𝓪𝓷, 𝓹𝓮𝓷𝓰𝓪𝓵𝓪𝓶𝓪𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓵𝓾𝓪𝓼, 𝓴𝓮𝓹𝓮𝓽𝓪𝓱𝓪𝓷 𝓫𝓮𝓻𝓱𝓾𝓳𝓪𝓱 𝓭𝓪𝓷 𝓶𝓮𝓷𝓰𝓮𝓵𝓾𝓪𝓻𝓴𝓪𝓷 𝓴𝓪𝓽𝓪𝓴𝓪𝓽𝓪, 𝓴𝓮𝓴𝓪𝔂𝓪𝓪𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓶𝓮𝓵𝓲𝓶𝓹𝓪𝓱, 𝓴𝓮𝓽𝓾𝓻𝓾𝓷𝓪𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓽𝓮𝓻𝓴𝓮𝓷𝓪𝓵, 𝓫𝓮𝓻𝓪𝓷𝓲, 𝓭𝓵𝓵 𝓲𝓪 𝓽𝓲𝓭𝓪𝓴 𝓶𝓮𝓷𝓬𝓾𝓴𝓾𝓹𝓲 𝓽𝓪𝓷𝓹𝓪 𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪.

𝓦𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪 𝓲𝓽𝓾 𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓶𝓮𝓵𝓪𝓴𝓼𝓪𝓷𝓪𝓴𝓪𝓷 𝓼𝔂𝓪𝓻𝓲𝓪𝓽 𝓵𝓪𝓱𝓲𝓻 𝓭𝓪𝓷 𝓫𝓪𝓽𝓲𝓷 𝓱𝓲𝓷𝓰𝓰𝓪 𝓫𝓮𝓻𝓽𝓪𝓴𝔀𝓪 𝓴𝓮𝓹𝓪𝓭𝓪 𝓐𝓵𝓵𝓪𝓱. 𝓞𝓵𝓮𝓱 𝓲𝓽𝓾, 𝓹𝓮𝓷𝓰𝓮𝓷𝓪𝓵𝓪𝓷 𝓵𝓪𝓱𝓲𝓻 𝓫𝓪𝓰𝓲 𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓫𝓮𝓻𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪 𝓲𝓪𝓵𝓪𝓱 𝓭𝓲𝓪 𝓼𝓪𝓷𝓰𝓪𝓽 𝓶𝓮𝓷𝓳𝓪𝓰𝓪 𝓼𝔂𝓪𝓻𝓲𝓪𝓽 𝓐𝓵𝓵𝓪𝓱.

𝓟𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓱𝓪𝓷𝔂𝓪 𝓫𝓮𝓻𝓴𝓪𝓻𝓲𝓼𝓶𝓪 𝓽𝓪𝓷𝓹𝓪 𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪 𝓹𝓮𝓽𝓪𝓱 𝓫𝓮𝓻𝓬𝓪𝓴𝓪𝓹 𝓭𝓪𝓷 𝓹𝓪𝓷𝓭𝓪𝓲 𝓫𝓮𝓻𝓱𝓾𝓳𝓪𝓱 𝓽𝓪𝓹𝓲 𝓬𝓮𝓴𝓪𝓹 𝓳𝓾𝓰𝓪 𝓫𝓮𝓻𝓫𝓸𝓱𝓸𝓷𝓰 𝓭𝓪𝓷 𝓶𝓮𝓷𝓲𝓹𝓾. 𝓜𝓾𝓴𝓪𝓷𝔂𝓪 𝓱𝓪𝓷𝓼𝓸𝓶𝓮, 𝓹𝓮𝓻𝓪𝓷𝓬𝓪𝓷𝓰𝓪𝓷𝓷𝔂𝓪 𝓷𝓪𝓶𝓹𝓪𝓴 𝓬𝓪𝓷𝓽𝓲𝓴 𝓽𝓮𝓽𝓪𝓹𝓲 𝓴𝓮𝓻𝓪𝓹 𝓶𝓾𝓷𝓰𝓴𝓲𝓻 𝓳𝓪𝓷𝓳𝓲. 𝓚𝓪𝔂𝓪, 𝓴𝓮𝓵𝓲𝓱𝓪𝓽𝓪𝓷 𝓫𝓮𝓻𝓪𝓷𝓲 𝓭𝓪𝓷 𝓶𝓮𝓷𝓸𝓷𝓳𝓸𝓵 𝓽𝓮𝓽𝓪𝓹𝓲 𝓹𝓮𝓶𝓪𝓻𝓪𝓱, 𝓫𝓪𝓴𝓱𝓲𝓵 𝓭𝓪𝓷 𝓬𝓾𝓵𝓪𝓼 𝓫𝓮𝓻𝓲𝓫𝓪𝓭𝓪𝓱.

𝓐𝓭𝓪𝓵𝓪𝓱 𝓵𝓮𝓫𝓲𝓱 𝓫𝓪𝓲𝓴 𝓶𝓮𝓶𝓹𝓾𝓷𝔂𝓪𝓲 𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓴𝓾𝓻𝓪𝓷𝓰 𝓹𝓪𝓷𝓭𝓪𝓲 𝓫𝓮𝓻𝓱𝓾𝓳𝓪𝓱 𝓽𝓮𝓽𝓪𝓹𝓲 𝓬𝓪𝓴𝓪𝓹 𝓼𝓮𝓻𝓾𝓹𝓪 𝓫𝓲𝓴𝓲𝓷. 𝓜𝓾𝓴𝓪 𝓽𝓪𝓴 𝓱𝓪𝓷𝓼𝓸𝓶𝓮 𝓽𝓮𝓽𝓪𝓹𝓲 𝓹𝓮𝓶𝓾𝓻𝓪𝓱 𝓭𝓪𝓷 𝓹𝓮𝓶𝓪𝓪𝓯. 𝓟𝓮𝓷𝓰𝓪𝓵𝓪𝓶𝓪𝓷 𝓽𝓪𝓴 𝓽𝓮𝓻𝓵𝓪𝓵𝓾 𝓫𝓪𝓷𝔂𝓪𝓴 𝓽𝓪𝓹𝓲 𝓼𝓪𝓷𝓰𝓪𝓽 𝓫𝓮𝓻𝓽𝓪𝓷𝓰𝓰𝓾𝓷𝓰 𝓳𝓪𝔀𝓪𝓫 𝓭𝓪𝓷 𝓽𝓪𝔀𝓪𝓭𝓱𝓾´. 𝓜𝓮𝓻𝓮𝓴𝓪𝓵𝓪𝓱 𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓫𝓮𝓻𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪.

𝓛𝓮𝓫𝓲𝓱𝓵𝓮𝓫𝓲𝓱 𝓵𝓪𝓰𝓲 𝓫𝓮𝓻𝓾𝓷𝓽𝓾𝓷𝓰 𝓾𝓶𝓪𝓽 𝓘𝓼𝓵𝓪𝓶 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓶𝓮𝓶𝓹𝓾𝓷𝔂𝓪𝓲 𝓹𝓮𝓶𝓲𝓶𝓹𝓲𝓷 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓫𝓾𝓴𝓪𝓷 𝓼𝓪𝓱𝓪𝓳𝓪 𝓫𝓮𝓻𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪 𝓶𝓪𝓵𝓪𝓱 𝓫𝓮𝓻𝓴𝓪𝓻𝓲𝓼𝓶𝓪 𝓽𝓲𝓷𝓰𝓰𝓲.

𝓜𝓸𝓰𝓪 𝓟𝓜 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓫𝓪𝓴𝓪𝓵 𝓭𝓲𝓵𝓪𝓷𝓽𝓲𝓴 𝓷𝓪𝓷𝓽𝓲 𝓹𝓮𝓻𝓲𝓫𝓪𝓭𝓲𝓷𝔂𝓪 𝓼𝓪𝓷𝓰𝓪𝓽 𝓫𝓮𝓻𝔀𝓲𝓫𝓪𝔀𝓪 𝓭𝓪𝓷 𝓹𝓾𝓷𝔂𝓪𝓲 𝓴𝓪𝓻𝓲𝓼𝓶𝓪 𝔂𝓪𝓷𝓰 𝓽𝓲𝓷𝓰𝓰𝓲 𝓴𝓮𝓻𝓪𝓷𝓪 𝓜𝓪𝓵𝓪𝔂𝓼𝓲𝓪 𝓪𝓭𝓪𝓵𝓪𝓱 𝓷𝓮𝓰𝓪𝓻𝓪 𝓘𝓼𝓵𝓪𝓶 𝓬𝓸𝓷𝓽𝓸𝓱 𝓭𝓲 𝔃𝓪𝓶𝓪𝓷 𝓲𝓷𝓲.

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *